Tuesday, August 27, 2013

Wajarkah gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong diteruskan?



KUALA LUMPUR - Menghantar Koo Kien Keat-Tan Boon Heong ke mana-mana kejohanan ketika ini adalah tindakan yang tidak wajar, sebaliknya pasangan No. 2 dunia itu sepatutnya dibekukan menyertai pertandingan selepas berakhir Kejohanan Dunia di Guangzhou, China, baru-baru ini.

Kien Keat-Boon Heong kini diambang untuk dipecahkan selepas gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) - layak ke aksi akhir Kejohanan Dunia dan kedudukan mereka bakal diputuskan apabila ahli majlis badan kebangsaan itu bersidang pada 7 September ini.

Namun, ketika kedudukan mereka masih tergantung, bekas juara All England dan Sukan Asia itu tetap berada dalam senarai skuad ke Siri Super Terbuka Jepun di Tokyo, bulan depan.

Selain Kien Keat-Boon Heong, turut disenaraikan ke kejohanan pada 17-22 September itu adalah pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, Liew Daren, Chong Wei Feng, Lim Khim Wah-Goh V Shem, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong, Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Menurut BAM, pendaftaran pemain ke Jepun telah dilakukan sebelum Kejohanan Dunia bermula lagi dan kerana itu nama Kien Keat-Boon Heong turut berada dalam senarai pasukan ke Tokyo.

Begitupun, mereka boleh menggugurkan mana-mana pemain yang difikirkan perlu dengan syarat ia harus dilakukan pada atau sebelum 30 Ogos ini kerana jika keputusan dibuat pada saat akhir, badan badminton kebangsaan itu boleh didenda.

"Kami akan membuat keputusan sebelum tarikh yang dibenarkan kerana pada masa sekarang BAM sedang melihat semula apakah kedua-dua pemain ini mempunyai komitmen yang perlu dipenuhi dengan penaja mereka (Yonex) atau sebaliknya.

"Seandainya pengguguran perlu dilakukan, ia harus dibuat pada atau sebelum Jumaat ini kerana kalau kita buat keputusan lewat, BAM sebagai badan induk akan didenda oleh badan badminton dunia (BWF)," ujar Pengurus Besar BAM, Kenny Goh.

Bagaimanapun difahamkan, nama Kien Keat-Boon Heong telah dicadangkan untuk tidak dihantar pada kejohanan bernilai AS$200,000 (RM640,000), malah BAM yang dijangkakan hanya menghantar dua wakil ke Tokyo iaitu Chong Wei dan Peng Soon-Liu Ying, yang masing-masing merupakan penyandang juara.

BAM telah banyak kali didesak supaya memecahkan beregu utama negara itu, terutama selepas mereka gagal membawa pulang sebarang pingat pada Sukan Olimpik di London, tahun lalu.

Desakan tersebut semakin kuat selepas Kien Keat-Boon Heong menunjukkan prestasi buruk pada kejohanan berpasukan campuran, Piala Sudirman, Mei lalu apabila diaibkan oleh pasangan Taiwan, Lee Sheng Mu- Tsai Chia Hsin dan pada Terbuka Indonesia sebulan kemudian, mereka ditunjukkan jalan keluar oleh beregu tuan rumah, Alvent Yulianto Chandra-Markis Kido di pusingan kedua.

Sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas