Showing posts with label Anwar Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Anwar Ibrahim. Show all posts

Sunday, May 6, 2012

Sejarah Ringkas Kejatuhan Anwar Ibrahim - Part 2

Akta Pencegahan Rasuah 1997 Punca Anwar Disingkir

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Ibrahim Ali, dalam temu bualnya dengan penulis Joceline Tan dalam New Sunday Times  berkata Anwar`ditatang macam anak raja' oleh Dr Mahathir.

Ibrahim, yang sama-sama memimpin pergerakan pelajar pada zaman revolusi kampus awal tahun 70-an, muncul sebagai pengkritik Anwar yang paling lantang dalam mesyuarat MT yang memecat Anwar daripada parti pada 3 September.

Daripada Timbalan Menteri, Anwar naik sepantas kilat menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan dan Menteri Kewangan.

Tiap kali beliau dinaikkan pangkat oleh Dr Mahathir, setiap kali pula pemimpin lain Umno berasa terpinggir. Sesetengahnya tidak menyembunyikan kemarahan mereka terhadap Dr Mahathir.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa Dr Mahathir kehilangan banyak kawan dan penyokong dalam Umno kerana beliau dianggap terlalu taksub menyokong dan menaikkan Anwar.

Antaranya ialah Tan Sri Musa Hitam yang pernah menjadi timbalan Dr Mahathir dalam kerajaan dan parti, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan beberapa lagi.

Jadi mengapakah pada saat terakhir ini, ketika tidak wujud lagi kecurigaan bahawa Anwarlah bakal pengganti Dr Mahathir, maka dia tiba-tiba disingkir?

Pada 9 September 1998, Dr Mahathir membuat kenyataan mengenai pemecatan Anwar disebabkan masalah MORAL.

Petikan daripada akhbar Harian Metro:

KUALA LUMPUR: Pelucutan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan diikuti dengan pemecatan keahliannya daripada Umno, adalah disebabkan masalah moral yang tidak melayakkannya menjadi seorang pemimpin.

Selain didakwa berkelakuan sumbang, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dituduh melakukan kegiatan yang boleh mengancam keselamatan negara,sehingga menyebabkan terpaksa dikenakan tindakan tegas terhadapnya.

Isu Sebenar

Menilai Kembali Manifesto Barisan Nasional  PRU9 Tahun 1995




Mengimbas kembali Manifesto Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum ke-9 pada tahun
1995 bertemakan, "Berwawasan, Adil dan Efisien,".


BN berjaya memenangi 162 kerusi Parlimen dan 338 kerusi Dewan Undangan Negeri. Dalam pilihanraya umum tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam kerajaan. Beliaulah Menteri Kewangan, Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional.

Anwar Ibrahim memberi sumbangan yang besar dalam kemenangan besar BN itu. Pilihanraya 1995 itu merupakan pilihanraya umum yang pertama sejak Anwar memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Harapan rakyat kepadanya untuk membawa perubahan adalah tinggi. Dia dilihat sebagai bakal Perdana Menteri.

Rasuah Di Kalangan Pemimpin Kerajaan BN

Tetapi Anwar gagal untuk membawa perubahan dalam Umno dan BN yang memerintah itu. Pada 2 September 1998, lima tahun selepas dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, Anwar disingkirkan dari jawatan dan  merengkok dalam penjara. Tuduhan salahguna kuasa polis dan salahlaku seks direka-reka
semata-mata.

Isu sebenar ialah rasuah dan penyelewengan dalam kerajaan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan tertinggi
dalam kerajaan BN itu sendiri. Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan yang rapat dengan Perdana Menteri itu adalah pelaku-pelaku utama rasuah dan penyelewengan itu.

Anwar Lancarkan Perang Lawan Rasuah

Anwar cuba melancarkan perang untuk membasmi rasuah dan penyelewengan itu. Ketika beliau memangku jawatan Pemangku Perdana Menteri beberapa minggu ketika Dr Mahathir Mohamad bercuti di luar negara, Anwar Ibrahim telah membentangkan Akta Pencegahan Rasuah Tahun 1997.

Inilah kesalahan besar Anwar yang tidak dapat dimaafkan oleh Perdana Menteri dan mereka yang bersubahat dengan Perdana Menteri. Mereka berasa tidak selamat dan terancam dengan Pindaan Akta Pencegahan Rasuah 1997 itu.

Kenapa? Kerana Akta itu boleh mengheret seseorang Menteri yang telah berhenti dari jawatannya ke mahkamah jika ada dakwaan kukuh dia berlaku rasuah semasa memegang jawatan Menteri itu dulu. Akta itu memberi tempoh 10 tahun selepas berhenti untuk mendakwa Menteri yang berlaku rasuah
itu.

Anwar Memerangi Rasuah Semasa Dalam Umno

  • Anwar telah berusaha membawa usul untuk meminda Akta Pencegahan Rasuah 1997 di Parlimen yang memberi lebih autonomi kepada BPR dan kuasa meminta Peguam Negara membuka kes yang ditutup namun dihalang oleh PM, Tun Mahathir.
  • Dalam tahun 1997 juga, Anwar telah memperkemaskan lagi jawatankuasa displin bagi membenteras rasuah dalam UMNO.
  • Tahun 1997 juga merupakan antara yang terbanyak kes siasatan rasuah dikalangan exco dan ahli UMNO.
  • 11 April 1997, lapan Exco negeri, 3 dari Melaka, 1 dari Kedah, Selangor dan Johor, Pahang dan Sabah disiasat atas tuduhan rasuah dan salahguna kuasa.
  • Anwar telah mengumumkan pada hari yang sama di Dewan Rakyat kes siasatan BPR ke atas Menteri Besar yang menyeludup wang tunai RM2.4 juta ke Australia.
  • 14 April 1997, skandal salahguna wang RM1.8 juta milik Wanita UMNO menyaksikan Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Siti Zainab Abu Bakar dan Setiausaha Wanita UMNO, Senator Habshah Osman dipecat dari semua kedudukan.
  • 9 Jun 1997, Anwar mengumumkan kempen basmi rasuah tidak terhad kepada UMNO sahaja, malah kepada semua komponen BN.
  • 12 Jun 1997, enam exco negeri dan seorang Menteri Sabah disiasat oleh BPR.
  • 4 Julai 1997, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Displin UMNO dalam kes rombongan 49 ahli UMNO Kemaman ke Zurich, Lucerne, Paris dan London.
  • Perakuan telah dibuat oleh Penolong Bendahari Pemuda UMNO Bhg Kemaman, Mohamad Abu Bakar tentang pembiayaan rombongan berkenaan pada 29 Mei 1997 dengan belanja sebanyak RM112,700 diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Ahmad Said (Menteri Besar Terengganu )

Menteri-Menteri Rasuah Cemas

Akta sebelumnya tidak memberi peruntukan sedemikian. Jika seseorang Menteri itu sudah kenyang membuat rasuah, dia boleh memilih meletak jawatan. Selepas itu, dia selamat dari dakwaan kerana tidak ada peruntukan bagi Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk mendakwa Menteri berkenaan.

Jika hendak didakwa seseorang Menteri yang rasuah, mestilah didakwa sebelum ia sempat meninggalkan jawatannya. Pindaan inilah yang menjadi Menteri-Menteri yang melakukan rasuah berasa
cemas.

Mereka bimbang jika tiada Mahathir dan Anwar menjadi Perdana Menteri, Anwar akan menggunakan Akta
Pencegahan Rasuah 1997 itu untuk mendakwa mereka. Inilah kesalahan utama Anwar bagi mereka.

Konspirasi Peringkat Tertinggi Bermula

Lalu selepas itu, rintitan sejarah pun terjadi seperti diketahui umum. Surat-surat layang bermula. Buku 50 Dalil dikarang dengan tergesa-gesa, tuduhan liwat dan salahlaku seks dicambah, ditetaskan dan dibiakkan. Daim Zainuddin, Megat Junid, Rahim Thamby Chik, Aziz Shamsuddin, Zela Jalil, Ummi Hafilda, Azizan
Abu Bakar, Khalid Jeffri masing-masing bertemu, berbincang, merancang, menulis surat, janji-janji wang dan kontrak bertukar tangan.

Kes Buku 50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM

Datuk Khalid Jafri Bakar Shah merupakan penulis yang menulis buku 50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi PM.

Khalid Jafri telah didakwa dan didapati bersalah membuat fitnah bertulis melalui buku 50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi PM. Dengan itu dia dan isterinya (sebagai penerbit) telah diperintahkan oleh mahkamah agar membayar RM4.5 juta kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai saman malu. (Khalid Jafri meninggal dunia pada 29 Ogos 2005 kerana pehanya dipotong akibat penyakit kencing manis.)

Pada 18 Jun 1998, Anwar menfailkan saman terhadap Khalid Jafri dan isterinya Rozihan A. Ghani (appellate kedua dalam rayuan tersebut).

Pada 20 Januari 2005, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan saman Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas penulis buku, 50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM iaitu Datuk Khalid Jafri atas dakwaan menulis kata-kata fitnah terhadapnya.Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus memutuskan demikian setelah membatalkan pembelaan Khalid apabila peguamnya, Shamsul Baharin tidak hadir.isterinya, Rozihan Abdul Ghani yang merupakan penerbit Media Pulau Lagenda, sebagai defendan kedua. Pada 18 Ogos 2005, Anwar diberi ganti rugi RM4.5 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Anwar Ibrahim menang dalam saman fitnahnya terhadap penulis buku tersebut dan isterinya.

Buku 50 dalil kenapa Anwar tak boleh jadi PM dikatakan cuba menjatuhkan Anwar Ibrahim.Buku tersebut diedar secara meluas semasa Perhimpunan agung UMNO 1997]] semasa Anwar hendak merasmikan persidangan pemuda dan wanita UMNO .

Pada 31 Julai 2007, panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Wan Adnan Muhamad membatalkan rayuan Rozihan. Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus memerintahkan supaya Anwar dibayar RM4 juta akibat fitnah dan RM500,000 lagi disebabkan konspirasi.

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Khalid_Jafri

Orang Yang Difitnah Yang Dipenjarakan

Sebaliknya Anwar Ibrahim, orang yang difitnah di dalam buku 50 Dalil itu yang dulu masuk penjara. Kenapa tidak perbicaraan buku 50 Dalil itu dibicarakan dulu? Tidakkah Anwar lebih dahulu membawa
saman malu ke atas buku itu? Waktu itu beliau masih Timbalan Perdana Menteri?

Sudah dikeluarkan perintah injunksi buku 50 Dalil itu tidak boleh diedarkan pada umum, kenapa Ibu Pejabat
UMNO mengedarkan buku tersebut ke dalam beg-beg perwakilan Umno dalam Perhimpunan Agung Umno Tahun 1998. Secara kebetulan? Tiada konspirasi untuk menjatuhkan Anwar dalam Umno?

Persubahatan Terjahat Bermula

Inilah bentuk keadilan sistem mahkamah yang tidak lagi bebas. Fitnah disebarkan dari Ibu Pejabat UMNO sendiri. Konspirasi pun bermula. Ada orang bernama Ummi Hafilda yang tersepit kewangan kerana banyak berhutang sanggup menulis surat kepada PM dan terlibat dengan konspirasi menjatuhkan Anwar.

Dia menafikan mempunyai masalah kewangan dalam perbicaraan Anwar. Tetapi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Oktober lalu mengisytiharkan ummi Hafilda muflis kerana tidak membayar bil RM300,000
untuk iklan demi memenuhi kontrak Megat Junid. Muflis ertinya bangkerap. Balasan berlaku di depan mata.

Pemandu Tiba-Tiba Menjadi Pengarah Syarikat

Ada pemandu kereta, yang pendidikan formalnya tidak seberapa, merebut tawaran menjadi pengarah syarikat. Dengan tiba-tiba, dia hidup mewah, punya syarikat dan pakai kereta mahal. Mengapa? Kerana manusia bernama Azizan Abu Bakar ini sedia untuk bersubahat membuat kerja jahat
memfitnah Anwar kononnya meliwat.

Akibatnya, Azizan Abu Bakar sendiri terpenjara tiga bulan kerana berkhalwat dan percubaan
untuk melakukan persetubuhan haram. Tilamnya pula yang diusung ke Mahkamah Syariah Alor Gajah, Melaka. Satu lagi pembalasan berlaku di hadapan mata.

Anwar Salahguna Kuasa?

Kesalahan Anwar bukan kerana kes yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekarang. Juga bukan kesalahan salah guna kuasa ke atas Polis dalam perbicaraannya yang terdahulu sehingga beliau dipenjara 6 tahun.

Bagaimana Anwar hendak menyalahgunakan kuasa Polis sedang Polis tidak terletak di bawah bidang kuasanya. Polis terletak di bawah Menteri Dalam Negeri. Waktu itu, Menteri Dalam Negeri ialah Dr Mahathir Mohamad. Anwar Ibrahim adalah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri. Dia tidak ada kuasa ke atas Polis.

Demikian hujah utama para peguam Anwar Ibrahim. Tetapi Hakim Datuk Augustine Paul ( dah mati akbat penyakit kronik thun 2010 ) tetap menjatuhkan hukum mengikut skrip yang telah disiapkan. Benar salah, tidak dihiraukan kerana hukumannya telah ada, iaitu Anwar mesti dipenjarakan. Anwar mesti disimpan dalam penjara.

Demikian kehendak orang nombor satu. Apabila Mahathir dipanggil ke Mahkamah sebagai saksi, Hakim
Augustine Paul tidak membenarkan. Kenapa?

Memerangi Rasuah Menerima Padah

Isu utama sehingga Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjara adalah kerana dia memerangi perbuatan rasuah dan penyelewengan di dalam kerajaan BN. Bagaimana dia tahu rasuah dan penyelewengan itu berlaku?

Pertama, Anwar sudah 16 tahun duduk dalam Kabinet. Bermula dengan jawatan rendah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas beliau memenangi Pilihanraya Umum tahun 1982. Kemudian,
memegang pelbagai jawatan menteri.

Dari Menteri Belia, Sukan dan Kebudayaan, Anwar kemudian memegang jawatan Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan dan akhirnya Menteri Kewangan. Beliau kemudian menjadi Timbalan Perdana Menteri dan pernah memangku jawatan Perdana Menteri buat beberapa ketika. Ertinya Anwar pernah berada di koridor kuasa begitu lama dan pernah duduk di tampuk kekuasaan itu untuk beberapa ketika.

Mana Bukti Anwar Rasuah Wang?

Kalau Anwar sendiri berlaku rasuah, sudah tentu senang sahaja Mahathir heret dia ke mahkamah dan dakwa Anwar. 16 tahun dalam kerajaan, bukannya tempoh yang pendek. Rasuah itu macam bangkai. Bangkai berbau. Rasuah juga berbau.

Beranikah Anwar memerangi rasuah jika dia sendiri rasuah? Orang yang duduk di rumah kaca tidak berani membaling batu ke rumah jirannya. Orang Melayu berkata, menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri. Tetapi Anwar begitu tekad melawan rasuah. Kerana dia tidak duduk di rumah kaca dan dulangnya
kering bersih tak ada air. Kalau dia menepuk dulang tak ada air yang terpercik ke mukanya.

Salahkah Mempertahankan Marwah Diri?

Tuduhan rasuah yang dikenakan ke atas Anwar sehingga 6 tahun terpenjara adalah kerana dakwaan kononnya beliau menyalahgunakan kuasa polis untuk menukar pengakuan Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda. Peguambela Anwar, Raja Aziz Addruse berkata di mahkamah, apa salahnya seseorang yang tidak
berbuat salah melakukan usaha untuk menjaga nama baiknya dan membersihkan dirinya yang tidak bersalah itu dari difitnah dan dicemar?

Semua orang yang benar akan mempertahankan marwah dirinya apabila nama dan maruahnya diperhina dan
dimalukan. Demikian kata peguam terkenal itu. Malah, Mahkamah Tinggi itu diberitahu bahawa Anwar tidak pernah mengarah-arah pihak Polis bagaimana untuk melakukan kerjanya. Anwar sekadar membuat laporan polis akan tohmahan dan fitnah ke atas dirinya.

Kenapa Mahathir Dan Konco-Konconya Marah

Mana wang yang Anwar telah kebas dan selewengkan jika beliau melakukan rasuah selama menjadi menteri dan orang nombor dua dalam kerajaan? Tidak ada. Tetapi Anwar mempunyai rekod yang
banyak tentang kes rasuah dan penyelewengan menteri-menteri dalam kerajaan. Ini yang menjadikan orang-orang UMNO dan BN, terutama Mahathir dan konco-konconya, begitu marah kepada Anwar. Anwar dituduh cuba membuka pekung di dada mereka.

Cara Anwar Mendapat Maklumat Tentang Penyelewengan

Bagaimana Anwar boleh mendapat akses akan segala dokumen dan laporan salahlaku rasuah dan penyelwengan itu. Ada dua saluran sebenarnya. Anwar telah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kabinet tentang Penyelewengan di dalam kerajaan.

Kedua Anwar juga menjadi pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO (Baru). Apakah fungsi Pengerusi Jawatankuasa Kabinet menentang penyelewengan di dalam kerajaan? Salah satu ialah Anwar menerima segala macam aduan, komplen, laporan tentang kesalahan rasuah dan penyelewengan pegawai-pegawai
kerajaan dari yang kecil hingga setinggi-tingginya, termasuklah menteri-menteri dan Perdana Menteri sendiri.

Tembelang Rasuah Menteri-Menteri BN Terdedah

Sebab itulah Anwar tahu sangat akan rasuah yang dilakukan oleh Daim Zainuddin, Rafidah Aziz, Rahim Thamby Chik, Eric Chia, dan Mahathir sendiri. Anwar juga tahu rasuah yang didakwa berlaku ke atas Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, Ketua EPU waktu itu, Tan Sri Ali Abul Hassan, yang
kini jadi Gabenor Bank Negara.

Anwar juga dapat aduan akan tuduhan rasuah Peguam Negara sekarang, Tan Sri Mohtar Abdullah. Anwar juga mendapat maklumat rasuah Samy Vellu dan Ling Liong Sik. Malah, rasuah Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan penyelewengan PM berhubung perniagaan anak-anaknya semua berada dalam pengetahuan Anwar Ibrahim. Termasuk aduan rasmi kepada BPR
akan tiga orang anak PM yang memiliki lebih 200 buah syarikat.


Rasuah Di Kalangan Pemimpin Umno

Tidak itu sahaja. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Anwar Ibrahim juga menerima bermacam-macam laporan dan aduan tentang perlakuan rasuah pemimpin-pemimpin Umno dari
ahli-ahli Umno sendiri. Seperti diketahui umum, perebutan kuasa dan jawatan dalam Umno sangat sengit. Masing-masing semuanya ada kes rasuah dan penyelewengan, yang selama ini orang di luar Umno hanya dapat mengagak secara rambang sahaja.

Tetapi dalam proses perebutan jawatan Umno yang sengit di peringkat Cawangan, Bahagian apatah lagi Majlis Tertinggi, maka bertaburlah bukan sahaja surat-surat layang, tetapi laporan-laporan sah dan benar akan kes-kes rasuah yang dilakukan oleh orang-orang Umno, terutama yang memegang jawatan kerajaan.

Wabak Rasuah Yang Menjolok Mata

Dengan sumber-sumber maklumat dari pelbagai aduan serta laporan, maka begitu jelas rasuah sudah keterlaluan dalam kerajaan BN. Perbuatan rasuah itu telah melibatkan wang negara dan rakyat bernilai beribu-ribu juta ringgit. Anwar akhirnya merasakan gejala itu tidak boleh dibiarkan berterusan. Maka Anwar pun bertindak. Apabila Mahathir tidak ada dalam negeri kerana bercuti, Anwar mengambil kesempatan membentangkan Akta Pindaan Pencegahan Rasuah 1997.

Adakah tindakan Anwar itu salah? Adakah Anwar merugikan negara? Adakah Anwar menjadi agen asing kerana membentangkan pindaan Akta Pencegahan Rasuah itu? Adakah Anwar mengkhianati bangsa, agama dan negara kerana berbuat demikian?

Sanggup Terima Risiko

Adakah Anwar tidak sedar bahawa Mahathir akan marah kerana dia membawa pindaan itu ke Parlimen ketika Mahathir tidak ada dalam negeri? Anwar sedar. Kalau Anwar jenis penakut menurut perintah macam Haji Najib , maka Anwar tentu tidak akan berani buat demikian. Tetapi Anwar berani mengambil
risiko. Yang utama baginya ialah perbuatan jahat mesti dihapuskan. Negara dan rakyat mesti diutamakan.

Pindaan Akta Pencegahan Rasuah 1997

Bolehkah menghapuskan rasuah sekadar menghantar memorandum dan membuat usul-susul dalam seminar sahaja? Bolehkah membanteras rasuah sekadar menjerit-jerit sahaja? Hantar memorandum dan menjerit itu pun penting. Tetapi membuat perubahan radikal dalam undang-undang adalah saluran yang tepat. Inilah yang Anwar telah lakukan.

Rasuah tidak boleh ditentang sekadar dengan pujuk rayu dan ugut-ugut sahaja? Tidak boleh. Oleh kerana negara berjalan atas dasar hukum dan undang-undang, jadi undang-undang rasuah itu mesti
diperkuatkan, diperluaskan bidang kuasanya dan dijadikan senjata yang berkesan untuk memerangi gejala yang merosakkan itu. Inilah yang Anwar telah lakukan. Untuk itu, beliau dipecat, diseksa, dituduh dan dipenjarakan.

Bijak Mengambil Kesempatan

Selepas pindaan Akta Pencegahan Rasuah 1997 itu dibentangkan oleh Anwar di Parlimen dan diluluskan, rakyat semakin yakin akan komitmen Anwar. Ini satu kejayaan politik Anwar. Memang Anwar pandai mengambil kesempatan ketika Mahathir tiada dalam negeri. Dia orang politik yang bertanggungjawab. Pandai
mencari kesempatan terbaik untuk bertindak. Dia bukan pengikut membuta tuli. Tetapi kesempatan yang dia ambil itu untuk keburukan atau kebaikan negara?

Kes Skandal Perwaja Ke Parlimen

Tetapi tidak itu sahaja. Selepas pindaan Akta Pencegahan Rasuah 1997 itu diluluskan, kemudian sekali lagi ketika Mahathir tiada dalam negeri, Anwar bertindak lagi. Kali ini, dia membentangkan laporang perbuatan rasuah dan penyelewengan dalam syarikat besi waja Perwaja milik kerajaan. Tan Sri Eric Chia, yang
menjadi kawan rapat Mahathir, yang memegang jawatan

Pengerusi Eksekutif Perwaja, telah melakukan rasuah dan penyelewengan sehingga syarikat itu rugi hampir RM3,000 juta. Tidak itu sahaja, syarikat Perwaja, milik kerajaan, itu juga dibebankan
dengan hutang hampir RM7,000 juta.

Kesemuanya hampir RM10 bilion dibebankan ke atas kerajaan angkara rasuah dan penyelewengan dalam syarikat Perwaja itu.

Mahathir Terlibat Dalam Skandal Perwaja

Anwar dedahkan ini semua dalam Dewan Rakyat di Parlimen, bukan di kedai kopi atau kelab-kelab. Apabila dia terpenjara, dari dalam penjara, Anwar membuat laporan polis secara rasmi, dengan dikepil dua pucuk surat Perdana Menteri kepada Eric Chia berhubung perjalanan syarikat Perwaja tersebut.

Surat-surat itu menunjukkan secara jelas betapa Mahathir sendiri terlibat melakukan salah jenayah dalam pengurusan Perwaja kerana menyalahi perjalanan dan prosedur urusan kewangan kerajaan.

Ertinya penyalahgunaan kuasa telah berlaku. Mahathir terlibat sama melakukannya. Negara rugi beribu juta. Eric Chia masih bebas. Mahathir masih bebas. Tetapi Anwar dibelenggu di penjara

Sungai Buloh! Anwar dedahkan ini di Parlimen ketika
dia bebas, dan dari dalam penjara ketika kebebasannya dirampas, Anwar
masih melawan terus.

Perwaja Mercu Tanda Rasuah Dan
Penyelwengan Mahathir

Anwar cukup tahu apabila beliau membawa ke Parlimen akan penyelewengan Perwaja dengan laporan lengkap dari syarikat akaun Price Waterhouse, Mahathir tentu marah. Kalau Anwar penakut dan sayangkan jawatan menteri dan TPM, buat apa dia cari penyakit? Lebih baik diam. Bila Mahathir dah turun nanti, bolehlah buat sesuatu kemudian. Tetapi Anwar tidak boleh tunggu lama lagi. Perbuatan rasuah dan penyelewengan itu mesti ditentang. Itu komitmennya.

Idealisme Melawan Rasuah Sejak Muda

Dokumen-dokumen yang dikepilkan oleh Anwar tentang kesalahan rasuah dan penyelewengan Mahathir, Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Rahim Thamby Chik itu semuanya dikelaskan sebagai rahsia rasmi. Anwar boleh didakwa melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA). Hukumanya penjara mandotori.

Ertinya risiko terpenjara  sentiasa berada di atas kepala Anwar. Tetapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu, bekas Presiden ABIM, bekas pemimpin pelajar, Anwar lakukan ini semua kerana perjuangan hidupnya sejak muda untuk membanteras rasuah dan penyelewengan.
.
Tiada wawasan sekiranya pemerintahan sesebuah negara itu penuh dengan rasuah dan penyelwengan. Tiada keadilan sekiranya yang rasuah dan menyeleweng tidak dihukum, sebaliknya yang memerangi perbuatan rasuah dan penyelewengan dipenjarakan. Tiada sebuah kerajaan yang efisen sekiranya rasuah dan
penyelewengan berakar umbi dalam birokrasi pentadbiran dan meluas di kalangan Jemaah Menterinya.


Firman Allah Dalam surah Ali-Imran ayat 54 yang bermaksud, “Mereka merancang, Allah juga merancang, Sesungguhnya Allah ialah sebaik-baik perancang,”

Saturday, May 5, 2012

Sejarah Ringkas Kejatuhan Anwar Ibrahim - Part 1

Apabila Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pemerintahan negara pada 16 Julai 1981, beliau membawa bersamanya dinamisme seorang pemimpin akar-umbi dan memberi nafas baru kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Walaupun DEB lahir dan bertapak pada zaman Tun Abdul Razak, umum mengakui falsafah dan matlamatnya banyak dipengaruhi oleh pemikiran Dr Mahathir seperti yang terkandung dalam buku Dilema Melayu.

Dr Mahathir menyuntik dinamisme, reformasi dan wawasan ke dalam dasar itu dengan memberikannya pentakrifan dan pendekatan baru. Beliau melakukan anjakan di dalam pelaksanaannya.

Ini tidak sukar dilakukan kerana beliau faham secara mendalam titik-tolak dasar itu.

Bagi membolehkan dasar itu berjalan lancar dan reformasi ekonomi berjaya, Dr Mahathir memerlukan kestabilan politik.

Pas yang dipecat daripada Barisan Nasional (BN) pada 1977 semakin mengancam dan kejayaan Revolusi Iran pada 1980 memberikan parti itu semangat baru.

Untuk menyekat pengaruh Pas, Dr Mahathir perlu memperkukuhkan kepemimpinan Islam dalam Umno. Walaupun beliau sendiri faham isu agama dan fasih mengenai pemikiran Islam, Dr Mahathir mahu Umno dan kerajaan dianggotai lebih banyak pemimpin dan cendekiawan Islam berwibawa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan terbilang sebagai penggerak massa dikatakan sedang membuat pertimbangan untuk memasuki politik secara cergas. Pilihan terbuka kepada beliau sama ada menyertai Umno atau Pas.

Kejayaan Dr Mahathir menarik beliau menyertai Umno hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya umum 1982 disifatkan oleh pemerhati dan pengulas politik sebagai political coup (rampasan kuasa politik) yang besar.

Ganjaran kemasukan Anwar ke dalam Umno adalah besar, risikonya juga tinggi. Sejak awal, Dr Mahathir terpaksa mempertahankan keputusannya membawa masuk Anwar ke dalam Umno. Banyak pihak kurang senang dengan kemasukannya.

Mereka bimbang dan curiga dengan latar belakangnya sebagai penentang kerajaan dan cara beliau dibawa masuk ke dalam parti. Tidak kurang pula yang melihat Anwar sebagai saingan.

Belum pun berita kemasukan Anwar tersebar, Dr Mahathir sudah ditekan oleh wartawan yang menghadiri sidang akhbar di Jabatan Perdana Menteri pada 29 Mac, 1982 supaya memberi bukti bahawa Anwar sejak sekian lama menjadi `ahli tidak rasmi' parti itu.

Pada sidang akhbar itulah Dr Mahathir memperkenalkan `Saudara' Anwar yang ketika itu berusia 35 tahun sebagai ahli terbaru Umno.

Beliau juga ditanya apakah keistimewaan Anwar sehingga berita kemasukannya ke dalam Umno diumumkan di Jabatan Perdana Menteri dan tidak di Ibu Pejabat Umno.

Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah. Anwar menang Pilihan Raya Umum 22 April 1982 di Permatang Pauh, Pulau Pinang, dengan menjatuhkan Ahli Parlimen Pas, Zabidi Ali dengan kelebihan undi yang besar.

"Anak ayam yang baru tumbuh bulu pahat sudah boleh berlari. Pilihan kita tepat," kata Dr Mahathir mengulas kemenangan Anwar.

Dr Mahathir segera melantiknya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sekali gus meletakkan Anwar sebagai `ayam didik' Perdana Menteri.

Bersambung Dalam Part 2

Gambar Belangkas