Showing posts with label Perdana Menteri. Show all posts
Showing posts with label Perdana Menteri. Show all posts

Monday, June 11, 2012

Pengadu mohon maaf, minta Mat Sabu dibebas

Saksi pertama kes perbicaraan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengenai isu komunis Bukit Kepong, hari ini mengaku di Mahkamah Sesyen di Butterworth bahawa beliau membuat dakwaan terhadap Mohamad hanya bersandarkan laporan akhbar bahasa Melayu.

Pesara polis Visva Nathan, 75 dari Raub, mengaku beliau telah
menfitnah Mat Sabu dan meminta maaf kerana membuat aduan polis terhadapnya dengan hanya merujuk kepada laporan akhbar tersebut, lapor Bernama.

Nathan juga mengaku telah membuat aduan polis pada 27 Ogos selepas membaca laporan akhbar tersebut di mana dakwaan itu hanya berdasarkan pada sangkaan dan andaian.

"Saya minta maaf dan tidak mahu pihak polis mengambil tindakan," beliau dipetik sebagai berkata di hadapan Hakim Ikmal Hisham Ahmad Tajuddin di Mahkamah Sesyen di Butterworth hari ini.


Nathan mengaku telah membuat fitnah itu selepas diberikan dua laporan iaitu keratan akhbar berkenaan dan teks ceramah Mat Sabu yang tidak mengandungi perkataan komunis.

Mat Sabu, 57, didakwa membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka di Bukit Kepong dalam satu ceramah di Tasek Gelugor Ogos tahun lepas.

Mahkamah menetapkan 13, 16 dan 17 Julai untuk sambungan perbicaraan.

Sementara itu, dalam laporan Harakahdaily pula, Visva menjawab 'ya saya bersetuju' apabila disoalbalas oleh peguam bahawa bukan Mat Sabu yang memfitnah polis tetapi beliau (Visva) yang sebenarnya memfitnah Mat Sabu dalam laporan polisnya.

Berikut adalah petikan soal balas peguam Mat Sabu - Mohamed Hanipa Maidin - seperti diterbitkan di akhbar web PAS Harakahdaily:

Soalan: Kamu setuju kamu sendiri tak dengar ceramah Mat Sabu?

Jawapan: Ya, setuju.

Kamu setuju apabila kamu tak dengar apa yang Mat Sabu kata, kamu sebenarnya tak tahu apa yang Mat Sabu kata?

Ya. Setuju.

Cuba kamu lihat laporan laporan akhbar Utusan dan petikan ucapan Mat Sabu, setuju tak apa yang ditulis oleh Utusan adalah tidak sama dengan apa yang Mat Sabu kata?

Ya, setuju.

Mat Sabu tak ada kata perkataan komunis langsung dalam ucapan beliau tapi Utusan ada kata, betul tak?

Betul.

Kamu setuju atau tidak apa yang kamu tulis dalam laporan polis kamu yang katakan Mat Sabu menfitnah polis dan menyokong komunis adalah tidak betul?

Ya, setuju.

Jadi laporan polis kamu tidak betul dan saya katakan bukan Mat Sabu yang memfitnah polis tetapi kamu yang sebenarnya memfitnah Mat Sabu dalam laporan polis kamu?

Ya, saya setuju. Saya mahu minta apology (maaf) kepada beliau (sambil tunjukkan tangan minta maaf pada Mat Sabu yang ada di kandang orang kena tuduh).

Dalam laporan polis kamu ada sebut minta polis ambil tindakan undang-undang Mat Sabu, kamu masih mahu stick kepada apa yang kamu katakan?

Tidak, saya mahu minta maaf pada Mat Sabu dan he is now my brother. Saya mahu Mat Sabu dibebaskan.

Kamu kata Mat Sabu derhaka pada Yang Dipertuan Agong, saya ingin tanya pada kamu macam mana kamu boleh kata dia derhaka kepada Agong, sedangkan pada masa peristiwa Bukit Kepong Malaysia belum wujud dan Yang Di Pertuan Agong pun belum ada. Macam mana Mat Sabu boleh derhaka pada benda yang belum ada?

Saya tidak boleh jawab soalan itu.

Jadi kamu setuju kamu tidak cakap benda betul dalam laporan polis kamu?

Setuju.

Harakahdaily juga melaporkan saksi mengakui tidak tahu di mana Bukit Kepong dan apabila ditanya oleh Hanipa beliau menyatakan Bukit Kepong terletak di Selangor dan Hanipa lantas menyampuk: "Itu Kepong bukan Bukit Kepong!"

Saksi tersebut yang mengidap diabetik beberapa kali terpaksa berhenti memberi keterangan kerana dikhuatiri akan pengsan kerana berdiri terlalu lama, lapor lidah rasmi PAS itu lagi.

Selepas selesai memberikan keterangan saksi tersebut juga dilapor berjalan menuju ke kandang Mat Sabu dan terus bersalam dengan beliau dan meminta maaf sekali lagi.

Saturday, May 5, 2012

Mengapa Haji Najib takut pilihan raya adil, bersih?

KUALA LUMPUR, 5 Mei: Mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri  Haji Najib Tun Razak begitu takutkan pilihan raya yang adil dan bersih sehingga sanggup menjadikan dirinya dilihat begitu bodoh, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

"Asalkan dapat mengelakkan pilihan raya yang bersih dan adil, Najib sanggup hina dirinya sehingga beliau nampak bodoh sungguh," katanya.

Beliau juga tidak sangka Najib sanggup bercakap merapu dan menuduh rakyat yang menuntut pilihan raya yang adil dan bersih mahu menggulingkan kerajaan.

Mohamad juga mempersoalkan, Najib terancam dengan siapa sebenarnya?


Siapa mahu guling kerajaan, Bersih atau pesaing-pesaingnya di dalam Umno, tanya beliau lagi.

"Dakwaan Najib mengenai percubaan hendak guling kerajaannya itu ditujukan kepada siapa?

"Ditujukan kepada desakan-desakan dalam Umno sendiri termasuk dari godfather mereka atau kepada Bersih?

"Kalau ditujukan kepada Bersih, dia salah alamat," katanya.

Menurut Mohamad, hanya orang gila sahaja yang sanggup mendakwa perhimpunan Bersih 3.0 minggu lepas bertujuan mahu menggulingkan kerajaan di luar cara pilihan raya.

"Perhimpunan itu menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Perhimpunan itu menuntut dibersihkan daftar pengundi. Perhimpunan itu menuntut ahli Umno berhenti sebagai Pengerusi SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya).

"Kalau mahu guling kerajaan Najib di luar cara pilihan raya, hendak buat apa tuntut semua itu?" tegas beliau.

Mohamad berkata, walaupun kejayaan perhimpunan Bersih 3.0 menjadikan Najib berasa sangat terancam, tetapi yang lebih mengancam kedudukannya ialah arus deras dari dalam Umno sendiri yang begitu tidak puas hati terhadap cara beliau dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengendalikan kebangkitan rakyat itu.

"Rakyat yang berhimpun dalam Bersih 3.0 itu tak boleh buat pakatan sulit untuk jatuhkan kerajaan Najib, mereka hanya mampu jatuhkan kerajaan Najib melalui pilihan raya dan sebab itulah mereka menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

"Yang boleh buat pakatan sulit untuk jatuhkan Najib ialah orang-orang utama Umno yang tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Najib," kata beliau.

Mohamad juga ketawa besar bila ditanya tentang dakwaan Najib kononnya ada rancangan mahu mengheret perhimpunan Bersih 3.0 sehingga dua tiga hari atau lebih daripada itu dan menjadikan Dataran Merdeka seperti Dataran Tahrir di Mesir.

"Kalau Najib kata begitu dengan tujuan menjadikan dakwaan itu sebagai propaganda terdesak untuk menipu rakyat, hanya orang bodoh yang percaya.

"Rakyat sudah melihat tiga perhimpunan Bersih dan rakyat yang cerdik tahu bahawa bukan mereka yang berhimpun yang mencetuskan kekacauan itu," katanya.

Jika dengan membuat dakwaan itu Najib menganggap dia telah menghebahkan maklumat sulit yang diberitahu kepadanya, kata Mohamad lagi, akan lebih teruklah penilaian rakyat terhadap kebolehan Najib.

"Kalau Najib mahu rakyat kutip 'disinformation' seperti itu dan mempercayainya, saya bimbang rakyat akan menganggap beliau sebagai Perdana Menteri paling bodoh dalam sejarah Malaysia.

"Najib janganlah jadikan dirinya dilihat begitu bodoh," katanya.

Mohamad juga yakin "dakwaan tidak cerdik" Najib itu langsung tidak dapat membantu kepercayaan rakyat yang semakin merudum terhadap beliau dan kerajaannya.

Sumber: http://bm.harakahdaily.net

Gambar Belangkas