Showing posts with label SUMPAHAN. Show all posts
Showing posts with label SUMPAHAN. Show all posts

Tuesday, January 20, 2015

PULAU TIOMAN PULAU NAGA?


ROMPIN – “Pada mulanya saya tak percaya legenda Pulau Tioman yang didakwa terbentuk daripada seekor naga, namun setelah lihat sendiri dengan jelas keadaan bentuk pulau berkenaan ketika sedang bersiar di Pantai Hiburan.


MITOS Pulau Tioman diceritakan dalam pelbagai versi yang berkisar mengenai seekor naga dari Tasik Cini yang terkena sumpahan lalu bertukar menjadi pulau.

Tidak mahu terlalu bergantung pada cerita yang biasa didengar,kami menjejak warga paling tua di Kampung Mukut yang dikhabarkan dapat berkongsi kisah asal-usul Pulau Tioman.

"Cerita ini cerita dongeng, tapi ada logiknya juga,'' seloroh Mohd. Dom Mohd. Ajam, 85, atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Dom sebelum memulakan ceritanya dengan nada seorang sang penglipur lara.

Tetapi dalam cerita Tok Dom, tidak disebut kisah naga bernama Seri Pahang yang bertukar menjadi pulau selepas terdengar bunyi ayam berkokok seperti yang biasa diceritakan.

Namun ceritanya tidak lari daripada kisah naga Tasik Chini.

Menurut Tok Dom, asal-usul Pulau Tioman bermula daripada kisah seekor naga yang meninggalkan Tasik Chini selepas kalah dalam pertarungan dengan naga penghuni tasik tersebut iaitu Naga Seri Gumum.

Katanya, selepas tewas kepada Seri Gumum, naga jantan bernama Daik itu membawa diri dengan berenang ke Kepulauan Riau yang terletak di bahagian selatan Semenanjung Malaysia.

"Daik yang malu atas kekalahannya melarikan diri dan meninggalkan pasangannya sendirian di Tasik Chini.

"Selepas menyedari kehilangan Daik, naga betina itu kemudian mengambil keputusan untuk keluar menjejak Daik,'' katanya.

Katanya, dalam perjalanan merentasi perairan Mersing, naga betina itu dikatakan tersangkut pada sebuah bubu lalu terkena sumpahan dan bertukar menjadi sebuah pulau.

Pulau yang dimaksudkan itu tidak lain tidak bukan adalah Pulau Tioman yang mempunyai dua 'tanduk' iaitu Gunung Nenek Semukut dan Batu Sirau.

"Bubu yang dilanggar oleh naga betina itu bukan sembarang bubu. Ia adalah bubu yang menjadi tempat kurungan pasangan adik-beradik yang dihukum kerana dituduh melakukan sumbang mahram.

"Bubu itu dikatakan timbul dan tidak tenggelam ke dasar laut kerana mereka sebenarnya difitnah oleh penduduk kampung. Begitulah ceritanya menurut orang dulu-dulu,'' jelasnya lagi.

Sementara itu katanya, kerinduan yang ditanggung oleh Daik selepas berpisah dengan pasangannya menyebabkan naga itu turut menjelma menjadi pulau di Riau.

"Jadilah ia Pulau Daik kerana kecewa menunggu pasangannya yang tidak kunjung tiba,'' tambahnya.

Menariknya menurut Tok Dom, Pulau Daik yang kini berada di daerah Lingga, Kepulauan Riau itu mempunyai banyak persamaan dengan Pulau Tioman.

Antaranya adalah nama-nama kampung di pulau tersebut yang sama dengan kampung-kampung di Pulau Tioman seperti Mukut, Genting, Juara, Salang dan Paya.

Katanya, selain persamaan pada nama-nama kampung, kedua-dua pulau itu juga mempunyai bentuk yang cukup mirip kerana mempunyai puncak gunung berbentuk tajam seperti tanduk atau cula naga.

"Cuma..., Pulau Daik itu culanya ada tiga, Tioman culanya dua. Cula tiga itu tandanya si jantan dan cula dua itu tandanya si betina,'' ujar beliau merujuk cerita yang diperturun oleh nenek moyangnya.

Jelas beliau lagi, persamaan nama-nama kampung itu turut membuktikan dakwaan yang mengatakan penduduk Pulau Tioman berasal dari Kepulauan Riau ada kebenarannya.

"Orang-orang terawal yang membuka penempatan di Pulau Tioman ini dipercayai adalah golongan pelayar dari Pulau Daik.

"Bila sampai ke sini, mereka abadikan nama-nama kampung yang ada di kampung asal mereka,'' katanya.

Gambar Belangkas