Showing posts with label salji. Show all posts
Showing posts with label salji. Show all posts

Thursday, December 2, 2010

Maut kerana salji

8 maut suhu cecah –20 Celcius

Penerbangan di beberapa negara Eropah dibatal akibat salji tebal

LONDON: Salji tebal mula melanda Britain dan beberapa negara Eropah semalam, ketika bermulanya musim sejuk, menyebabkan jadual penerbangan di sekurang-kurangnya empat lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Gatwick di selatan London terpaksa dibatalkan.
Di Scotland, lapangan terbang Edinburgh ditutup selepas salji tebal melitupi landasan, manakala jurucakap lapangan terbang City yang lebih kecil menyatakan ia masih beroperasi tetapi beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan.
Polis di Kent dan Surrey di selatan negara itu menasihati pemandu kenderaan agar tidak membuat sebarang perjalanan kecuali benar-benar penting, manakala keadaan sesak teruk berikutan kenderaan bergerak terlalu perlahan dilaporkan berlaku di lebuh raya M52 London menuju ke beberapa kawasan.

Kebanyakan wilayah di Britain dilanda salji tebal, dengan angin kencang memburukkan lagi keadaan.

“Berikutan masalah cuaca buruk, tiada penerbangan yang akan berlepas atau mendarat di Gatwick. Landasan akan terus ditutup sehingga sekurang-kurangnya jam 6 petang esok,” kata jurucakap lapangan terbang itu dalam satu kenyataan yang dihantar ke laman webnya.

Agensi Lebuh Raya juga melaporkan kelewatan di laluan M1, East Midlands dan di lebuh raya A1 berhampiran bandar Catterick di Yorkshire. 
Di WARSAW, Poland, polis berkata lapan orang mati kesejukan selepas iklim sejuk melanda, dengan suhu jatuh kepada –20 Celcius di sebahagain besar negara berkenaan.

Jurucakap polis, Mariusz Sokolowski berkata lapan lelaki, semuanya sebelum itu minum minuman beralkohol, meninggal dunia kelmarin saja. Beliau meminta rakyat Poland menghubungi polis jika ternampak ada orang gelandangan di luar.

Ramai rakyat Poland mati kesejukan di Poland, kebanyakannya orang gelandangan dan mabuk.

Di BRITAIN, perkhidmatan kereta api Eurostar antara London dan Eropah juga lewat berlepas dengan enam kereta apinya terlewat jadual sehingga 30 minit.

Britain yang mengalami musim sejuk paling buruk dalam tempoh 30 tahun pada 2009, tidak pernah dilitupi salji pada awal musim sejuk sejak 1993.

Setakat ini, tiada tanda salji akan cair, sebaliknya jabatan kaji cuaca meramalkan lebih banyak salji dijangka turun di timur Scotland dan bahagian tengah serta selatan England.

Lapangan terbang Zurich di Jerman melaporkan kelewatan dan pembatalan penerbangan ketika ramai orang kenamaan termasuk bekas Presiden Amerika, Bill Clinton dan Perdana Menteri Sepanyol menuju ke ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Geneva untuk pembidaan tuan rumah kejohanan Piala Dunia 2018 dan 2022.

Pihak berkuasa kawalan trafik Eropah, Eurocontrol juga melaporkan kelewatan teruk di lapangan terbang Tegel di Berlin dan utara Sepanyol. Jurucakap lapangan terbang Geneva, Bertrand Staempfi berkata lapangan terbang itu akan ditutup hingga jam 2 petang esok waktu tempatan. – Reuters/AFP 

(sumber: Barita Harian Online)

Gambar Belangkas