Showing posts with label Selamatkah Selamat Hari Raya. Show all posts
Showing posts with label Selamatkah Selamat Hari Raya. Show all posts

Monday, July 29, 2013

Selamatkah “Selamat Hari Raya” Kita??


Ramadan datang lagi dengan ribuan peluang untuk meraih kebaikan dan keberkatan.  Sebelumnya kita menunggu dengan pelbagai harapan dan azam.  Azam untuk melakukan yang terbaik.  Namun, mengapa nafsu masih tidak jinak?  Peluang keemasan terlepas dan terbiar……
Azam yang membara menjadi kendur dan akhirnya terbentur.  Hati menjadi korban dalam perang maha dahsyat dalam diri.  Mulut, telinga, mata, hidung dan seluruh diri masih tega dan rela dengan dosa.  Berpuasa hanya sekadar menahan lapar dan dahaga.  Kesan pada jiwa dan pancaindera masih di takuk lama.
Malangnya, tidak ramai antara kita yang menyedari hakikat ini.  ‘Mood’ hari raya kadangkala sudah menenggelamkan keberkatan Ramadan yang belum pun berakhir.  Beradabkah kita dengan Allah?
Apakah kekesalan pada Ramadan yang lalu akan berulang lagi tahun ini?  Hingga dengan itu apabila takbir Syawal bergema, kita sayu kerana terasa Ramadan telah pergi meninggalkan diri kita yang masih bergelumang dosa.  Rupa-rupanya, kita masih berangan-angan dengan rahmat dan pengampunan Allah tanpa berjuang penuh kesungguhan.  Kita kalah kerana selalu mengalah di jalan mujahadah.
Bayangkan ….dua orang tetamu sedang menuju pintu rumah kita.  Seorang yang lebih mulia berjalan di hadapan, sementara seorang lagi berjalan di belakang.  Siapakah yang patut kita alu-alukan dahulu?  Tentulah yang dihadapan.  Sudahlah dia lebih mulia, dia pula berjalan di hadapan.  Tentulah tidak beradab kalau kita mengalu-alukan tetamu yang dibelakang dan meminggirkan tetamu yang berjalan di hadapan.  Begitulah kita selalunya.
Hari raya ialah hari kemenangan dan kesyukuran, bukan hari kekalahan yang mempamerkan kekufuran.  Namun itulah yang berlaku kini.  Zikir kita dengan kalimah takbir, tahmid dan tasbih telah digantikan dengan nyanyian dan tarian yang melalaikan.  Pendedahan aurat, pergaulan bebas, pembaziran dan lain-lain perbuatan dosa dan sia-sia sudah begitu dominan dan membudaya.


Pengajaran:
Dengan segala bentuk kemungkaran itu, selamatkah kita pada hari raya ini?  Maksudnya bukan sahaja selamat dari kemalangan jalanraya ataupun mercun raya, tetapi yang lebih penting adakah kita selamat dari neraka dan masuk ke syurga?  Muhasabah diri kita….. sekiranya ini Ramadan terakhir, layakkah kita berhari raya? Jangan ‘gaduh’ nak balik raya… ikut giliran @ keperluan….Kita kena bijak mangenal pasti yang mana adat, yang mana ibadat. Pejam celik, tiba-tiba Syawal sudah hampir di ambang pintu.  Begitulah hakikat pantasnya masa berlalu…….

Kak Chak dan keluarga memohon ampun dan maaf di atas segala kekhilafan dan kesalahan zahir dan batin. Moga kita selamat pada hari raya ini. Amin.

Gambar Belangkas