Pelakon, Siti Elizad. - Foto Munira Abdul Ghani
KUALA LUMPUR: Pelakon Siti Elizad sedang menghitung hari bahagia untuk disatukan dengan Shamsul Baharin Rahman, 43. Lelaki berstatus duda dua anak itu bertugas di sebuah syarikat permotoran terkenal.
Cuma atas beberapa sebab pelakon itu yang bakal muncul dengan drama Teman Lelaki Upahan menerusi slot Akasia TV3, merahsiakan bila perkahwinannya bakal berlangsung. Difahamkan ia akan terjadi dalam tahun ini juga.
"Ia sebagai menghormati permintaan bapa saya yang baru saja menjalani pembedahan mata. Majlis nikah pun akan dibuat kecil-kecilan saja dan membabitkan ahli keluarga terdekat saja. Bapa tak mahu uar-uar dulu bila tarikh nikah.
"Bapa bimbang kalau beritahu tarikh nikah nanti pasti akan ada saudara mara yang jauh yang tak dijemput akan berkecil hati. Tetapi majlis resepsi pada April yang pastinya di Kuala Lumpur nanti akan diundang termasuk rakan media," katanya.
Ditanya mengenai bakal suaminya, Elizad yang pernah membintangi filem Berlari Ke Langit dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang menjelaskan Shamsul diperkenalkan sendiri oleh kakak iparnya.
"Dulu hidup saya segala-galanya untuk keluarga dan sampai satu tahap saya tidak pernah memikirkan untuk berumah tangga. Tapi pada satu tahap saya mula berfikir tidak boleh selamanya begitu dan Alhamdulillah fasa baru akan bermula tak lama lagi," katanya yang akan muncul dengan filem Coverina dan Harmonika pada tahun ini.
Mengenai majlis perkahwinan impian, Elizad mahupun bakal suaminya memilih untuk bersederhana saja.
"Ikutkan majlis resepsi pun bakal suami saya tak mahu adakan. Katanya cukup adakan majlis makan-makan sahaja. Tapi kerana keluarga mahu, ada juga majlis resepsi, ..sekurang-kurangnya dapat minta berkat tetamu yang hadir," katanya.