Showing posts with label singapura. Show all posts
Showing posts with label singapura. Show all posts

Saturday, March 14, 2015

Singapura Akan Mula Larang Jual Rokok Di Pasaran Terbuka



SINGAPURA – Selepas berjaya mengharamkan penjualan shisha, sejenis rokok paip tradisional masyarakat Arab akhir tahun 2014; Singapura kali ini mengorak langkah lebih jauh – langsung mengharamkan pula penjualan rokok.

Stesen tempatan, Channel NewsAsia pada Jumaat melaporkan, usaha terbaharu itu bakal menyaksikan semua peruncit tidak lagi dibenarkan menjual rokok secara terbuka susulan pindaan akta kawalan iklan dan penjualan tembakau tahun ini.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan Singapura, Dr. Muhammad Faishal Ibrahim memberitahu Parlimen, pindaan tersebut akan diusulkan tahun ini bagi mengharamkan penjualan rokok di kaunter kedai runcit secara terbuka.


Namun, sama seperti langkah pengharaman shisha pada 27 November lalu, tempoh selama 12 bulan akan diberi kepada para peruncit untuk mematuhi undang-undang baharu itu termasuk menghabiskan simpanan semua bekalan lama di setor.

Menurut Dr. Faishal, pihak kementerian itu turut akan mengadakan sesi pengumpulan maklum balas daripada masyarakat mengenai sama ada segala aktiviti penjualan produk-produk tembakau seharusnya diselaraskan agar lebih seragam.

Beliau menegaskan, penyelarasan ini juga mungkin dapat mengurangkan daya tarikan kepada rokok dan ia salah satu cara yang berkesan dalam menggalakkan individu supaya berhenti merokok atau membuang terus tabiat itu sama sekali.


Tahun lalu, Singapura mengharamkan penjualan shisha mengikut Peraturan Larangan Produk Tembakau Seksyen 15 Akta Tembakau (Kawalan Pengiklanan dan Penjualan) tetapi memberi masa cukup kepada peruncit menghabiskan stok sedia ada.

Jika peniaga berdegil, mereka boleh didenda maksimum S$10,000 (RM26,696) atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-dua sekali dan kesalahan susulan, denda maksimum S$20,000 (RM53,393) atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Singapura mengharamkan larangan merokok di tempat awam sejak 1970 malah diperluaskan ke pelbagai premis terbuka termasuk kelab malam dan pengangkutan awam dengan hukuman denda maksimum S$1,000 (kira-kira RM2,670). – Agensi

Gambar Belangkas