Showing posts with label khurafat. Show all posts
Showing posts with label khurafat. Show all posts

Thursday, July 23, 2015

300 OBJEK SEPERTI KUIL BOROBODUR DI TEMUI DI TANJUNG BALAU


KOTA TINGGI - Lebih 300 objek misteri yang menyerupai ukiran pada kuil Borobodur, di Jawa Tengah, Indonesia ditemui di atas batu di pantai Tanjung Balau dekat sini semalam.
    

Sesetengah penduduk setempat berkata objek dalam pelbagai warna itu digunakan untuk membuang ancak atau persembahan kepada makhluk halus.
    
Penolong Kurator Muzium Nelayan Tanjung Balau, Muhammed Iqbal Rosli berkata beliau menyedari kewujudan objek itu ketika mengiringi wakil kerajaan negeri ke lokasi tersebut.
    
Beliau berkata ia secara tidak langsung telah mengganggu pemandangan geologi di Tanjung Balau yang sedang diwarta sebagai kawasan sejarah.
    
"Kami tidak tahu siapa yang meletak objek-objek itu dan upacara yang dijalankan sama ada ia merupakan proses pemujaan atau ritual sesebuah agama.
    
"Pihak kami juga tidak mengalihkannya sebab ia terlalu banyak dan bimbang sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangkakan. Bagaimanapun jumlahnya semakin berkurangan kerana dibawa air pasang," kata Muhammed Iqbal.
    
Beliau berkata pengunjung jangan mendekati objek tersebut dan menyentuhnya kerana khuatir akan memudaratkan kerana belum dikenal pasti bahan yang terkandung padanya.
    
“Namun kita difahamkan ia merupakan upacara tahunan agama namun tidak tahu agama apa dan kita masih siasat perkara ini,” katanya.
     
Sementara itu Kadi Daerah Kota Tinggi, Mohd Fauzi Bachok berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada ia turut melibatkan masyarakat Islam. 

Friday, May 29, 2015

AMAL AMALAN YANG PELIK-PELIK


Jitra: Seorang lelaki berusia 40-an bertindak di luar kawalan apabila membakar motosikal Modenas Kriss sehingga mengakibatkan rumah pusakanya di Kampung Padang Luar, Jalan Wang Tepus, di sini, turut dijilat api dalam kebakaran itu selepas mendakwa mendengar suara ghaib mengarahkannya melakukan perbuatan itu.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam kelmarin, lelaki terbabit yang bekerja di pusat cuci kereta bertindak membakar kediaman itu bersama motosikalnya sebelum melarikan diri ke rumah jirannya yang tidak berpenghuni.

Bagaimanapun, kejadian itu disedari sepupunya, Mohd Tajuri Saidin, 49, yang baru pulang daripada kerja sejurus melihat api sedang marak dan terus menghubungi pihak bomba.

Mohd Tajuri berkata, dia yang melihat rumah pusaka berkenaan terbakar terkejut apabila dimaklumkan sepupunya bahawa dia yang membakar rumah itu.

“Akibat bimbang kejadian lebih teruk berlaku, saya kemudian menghubungi pihak bomba dan polis sebelum meminta bantuan orang kampung memadamkan kebakaran itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Wednesday, January 14, 2015

AWIE DI SIHIR ISTERI?


Pelbagai barangan syirik dan khurafat seperti botol berisi cecair, patung kemaluan lelaki bersalut emas, patung sami diperbuat logam berserta tangkal ditemui penyanyi rock Awie di rumahnya yang disyaki milik isterinya, Rozana Misbun.


Peguam syarie Awie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam bahawa penemuan tersebut merupakan antara lapan sebab Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, memfailkan permohonan hak penjagaan sementara (hadanah) ke atas tiga anaknya pada Julai tahun lalu.

Menurut Zaidi, Awie mempercayai isterinya mengamalkan perbuatan syirik, khurafat dan tahyul ekoran barangan terbabit ditemui disorok di bawah tilam, dalam almari pakaian, tertanam dalam pasu bunga dan disembunyikan dalam rak barangan perhiasan di rumah mereka.

“Barangan itu ditemui selepas Awie berubat dengan seorang ustaz setelah mengalami sakit misteri pada 1 Jun 2014 sebelum ustaz itu memberitahu Awie terkena sihir disyaki dilakukan oleh orang yang sangat hampir dengannya,” kata Mohd. Zaidi.

Mohd. Zaidi berkata demikian semasa memberi hujahan lisan ketika kes permohonan ubah perintah sebelah pihak (ex-parte) bagi hak penjagaan anak pasangan itu di hadapan Hakim Syarie Mohd. Amran Mat Zain yang dimohon Rozana, 37.

Tuesday, January 13, 2015

[Video] Awie Ada Bukti VIDEO Rozana Misbun Amalkan Perkara Syirik, Khurafat



Dalam prosiding terbaru di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur peguam Awie mendedahkan yang anak guamnya mempunyai bukti kukuh yang isterinya Rozana Misbun mengamalkan perkara syirik dan khurafat.

Rozana Misbun didakwa mengamalkan amalan khurafat sepanjang sembilan tahun perkahwinan mereka selepas penemuan barang-barang seperti darah, rambut dan tulang yang diletakkan di dalam botol kecil selain patung kemaluan lelaki diperbuat daripada emas tulen.

Barang barang tersebut termasuk patung logam Buddha ditemui di rumah kelamin Awie & Rozana Misbun di Ukay Bestari, Ampang yang didakwa disorokkan oleh wanita itu.

“Anak guam saya menemui sebahagian barang-barang tersebut sebelum responden (Rozana) meninggalkan kediaman mereka dan sebahagian lagi dijumpai setelah responden meninggalkan rumah,” ujar peguam Syarie yang mewakili Awie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain.

Dalam perbicaraan sama, peguam syarie Awie juga mendedahkan yang Rozana Misbun seorang tidak amanah apabila membelanjakan wang simpanan Awie.

“Responden juga seorang yang tidak amanah apabila telah menggunakan dan belanjakan wang simpanan pemohon (Awie) yang telah diamanahkan untuk disimpan di dalam akaun bank dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) demi masa depan keluarga”

“Wang berkenaan telah digunakan untuk membeli barangan jenama seperti Louis Vuitton, Chanel, Dolce & Gabanna dan lain-lain tanpa keizinan pemohon,” tambahnya lagi. (rtky/m)

Monday, September 29, 2014

AUTA BOMOH ARAB SAUDI MENJADI


Arab Saudi: Seorang "bomoh" sempat memperkosa seorang remaja yang sedang mendapatkan rawatan kerana masalah psikologi selepas dia membohongi mangsa kononnya terdapat jin dalam rahimnya.


Bomoh berkenaan memberitahu gadis itu, dia mempunyai kekuatan untuk menghalau jin berkenaan dalam satu sesi rawatan saja jika dia mahu berubat di rumahnya.

Apabila mangsa yang umurnya tidak didedahkan datang ke rumah bomoh terbabit, lelaki itu merogolnya.

Polis menahan bomoh berkenaan selepas mangsa yang masih dara itu menyedari kesilapannya dan membuat laporan polis.

“Lelaki itu memberitahu mangsa rahimnya dihuni jin dan dia mahu menghalaunya,” menurut laporan akhbar tempatan, memetik kata-kata polis.

Kisah itu menjadi viral di media sosial Saudi dan ramai pembaca mengecam bomoh itu dan ada juga yang menyelar gadis berkenaan.

“Nampaknya masyarakat kita masih percaya perkara khurafat dan mengamalkan upacara sebegini atas nama agama. Kami meminta kementerian kehakiman dan dalam negeri, menghukum Raqi,” kata aktivis masyarakat terkenal negara itu, Souad Al Shammari. Bagaimanapun, seorang pembaca, Sarah Al Waleed mempunyai pendapat berbeza.

“Gadis itu yang senang-senang menyerah diri kepada bomoh itu memang bodoh,” katanya.

Seorang lagi pembaca bernama Dalal bersetuju dengan berkata: “Kenapa menyalahkan bomoh saja. Kenapalah bodoh sangat gadis itu sehingga membenarkan dirinya diperkosa.” - Agensi

Sunday, September 14, 2014

MENGAPA SUSUK ITU HARAM?


"Susuk" adalah sesuatu perkara yang salah di sisi Islam. Kerana ia boleh membawa kita ke lembah kesyirikan ( menyekutukan Allah ).


Sebab apa? Kesimpulan mudahnya adalah, kita seolah – seolah meminta bantuan sesuatu yang lain dari Allah, dan menganggap ada sesuatu yang lain yang lebih berkuasa dari Allah S.W.T. Nazubillahi min dzalik. Sepatutnya, kita wajib meng-Esakan Allah, dan hanya Dialah selayak-layak tempat untuk kita memohon pertolongan.
   
Seterusnya kita berikhtiar ( berusaha ) untuk mendapatkannya. Selebihnya kita bertawakal ( berserah ) kepada Allah agar mengizinkan perkara tersebut berlaku. Dan apabila kita perlukan bantuan di dalam kesulitan dan inginkan sesuatu, seharusnya kita hanya memohon doa kepadaNya.




Surah Al-Fatihah – Ayat 4:

“Hanya kepada Engkau tempat kami menyembah dan memohon pertolongan”

Tetapi kita juga harus pastikan niat, tujuan dan keinginan kita itu benar-benar suci lagi baik di sisi Allah S.W.T.

Di antara keburukan susuk:
1. Menjadi syirik(menyekutukan Allah).
2. Solat dan amal ibadah tidak diterima selama 40 hari.
3. Pengguna susuk selalu bermimpi yang buruk-buruk sewaktu tidur.
Dan susuk ada jenis-jenis kategorinya:
1. Susuk biasa, iaitu susuk luaran seperti pembedahan plastik, botox dll.
2. Susuk luar biasa(susuk yang syirik), seperti susuk yang memasukkan sesuatu ke dalam muka atau tubuh dan ianya menggunakan Jin sebagai khadam.
Tapi sama ada anda percaya atau tidak, di zaman IT ini ada lagi satu jenis susuk yang canggih, iaitu ‘Susuk Digital’.

Susuk tersebut, membuat sesuatu foto digital boleh disunting menjadi macam-macam rupa menggunakan perisian seperti ‘Adobe Photoshop’.
Contohnya:

1. Seseorang yang kurang cantik, boleh menjadi bertambah cantik di dalam foto berkenaan dengan menggunakan kesan khas tertentu.

2. Ianya mungkin boleh di salah guna oleh segelintir wanita yang menyunting foto tersebut di dalam internet, bagi menipu lelaki demi mendapatkan sesuatu yang diingini dari pihak lelaki.

3. Lalu si lelaki tertipu/terpikat dengan kecantikan yang palsu itu.

4. Maka ianya memudahkan si lelaki yang ingin mencari pasangan hidup itu tertipu dan sanggup melakukan apa sahaja sehingga melanggar batas-batas agama demi mendapatkan wanita berkenaan.

Apa yang aku ingin maksudkan adalah, sekiranya perkara sebegitu rupa berlaku, ia adalah kesalahan akhlak oleh kedua-kedua pihak yang menyalah guna teknologi IT dengan perbuatan yang diharamkan agama.

Kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua pihak:
1. Si wanita melakukan penipuan dengan foto beliau sendiri.

2. Si lelaki terlalu mudah ditipu dan terpukau dengan kecantikan yang sementara sehingga melakukan pergaulan yang tidak sihat di alam maya(internet).

Mencari jodoh itu wajib, kerana perkahwinan itu sunnah Rasulullah S.A.W. Tetapi caranya juga mestilah halal mengikut syarak.

Ciri-ciri jodoh yang paling ditekankan oleh Baginda:
1. Agamanya.
2. Keturunannnya.
3. Hartanya.

Di dalam Islam beberapa perkara telah digariskan di dalam pergaulan. Pergaulan bebas adalah haram sama sekali.

Jadi kerana itulah Islam melarang berpasang-berpasangan sebelum bernikah.
Mungkin demi menghalalkan berpasangan sebelum nikah, ada juga orang yang memberikan alasan,

“Apa salahnya berpasangan sebelum nikah, kerana kami tidak buat apa-apa”
Tetapi bagi saya, jika kita berpasangan sebelum bernikah, macam-macam perkara tidak diingini boleh berlaku. Risiko ke lembah zina amatlah tinggi.
Cuba anda lihat, kes-kes kejadian buang bayi semakin berleluasa di kala ini. Semuanya jelas berpunca dari kejadian zina. Punca zina pula, akibat daripada pergaulan bebas yakni berpasangan sebelum nikah.

Surah Al-Zalzalah – Ayat 7 & 8:
“Barangsiapa mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, maka ia akan diperlihatkan balasannya”
“Barangsiapa mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, maka ia akan diperlihatkan balasannya juga”

Kesimpulannya: ‘Susuk Digital’ juga benar-benar berbahaya, sungguh pun ia tidak menyebabkan kesyirikan. Kerana ianya membuat lelaki lebih mudah tertarik untuk melihatnya. Seterusnya ia juga boleh menyebabkan berlakunya zina, iaitu zina mata.

Sungguh pun begitu, ia tidak sepenuhnya berpunca dari ‘Susuk Digital’. Ia juga boleh berpunca oleh keaslian kecantikan seseorang wanita itu. Oleh itu, para wanita yang mempunyai paras rupa menawan, jangan terlalu mudah memaparkan foto-foto mereka di laman-laman sosial seperti Facebook dan sebagainya. Kerana ianya juga boleh mengundang sesuatu perkara yang tidak ingini.

Sunday, September 7, 2014

BUAT RITUAL MAHU ANAK HIDUP SEMULA

Akibat taasub dengan kepercayaan karut, sepasang suami isteri sanggup menyembunyikan kematian bayi mereka sejak Selasa lalu bagi membolehkan upacara pemujaan roh dijalankan kononnya untuk ‘menghidupkan’ semula bayi berkenaan.

LELAKI terbabit memangku mayat bayinya.


Difahamkan, bayi lelaki itu adalah anak pertama hasil perkahwinan pasangan berusia 27 dan 30 tahun berkenaan yang dipercayai dilahirkan kira-kira jam 1 pagi pada hari kejadian di sebuah rumah sewa di Jalan Lapangan Terbang, di sini.

ISTERINYA ketika dibawa ke balai polis.

Bagaimanapun, bayi berkenaan meninggal dunia ketika dilahirkan sebelum pasangan itu dengan dibantu kedua-dua ibu mereka melakukan ritual karut bagi menghidupkan semula bayi berkenaan.

Sumber berkata, selepas gagal dalam ritual itu, bapa bayi itu menghubungi pemilik rumah sewa mereka bagi memaklumkan kematian bayi berkenaan yang kemudiannya melaporkan perkara itu kepada polis, kelmarin.

Katanya, pasangan terbabit bersama ibu mereka akhirnya akur bayi itu tidak dapat dihidupkan semula selepas cubaan mereka menjalankan upacara mistik berkenaan menemui jalan buntu.

Sumber dari Akhbar Tempatan

Wednesday, April 9, 2014

Sanggup dan Ketagih Air Mayat..

Tagih air mayat
Amalan khurafat dakwa boleh rawat AIDS, penerang hati

Kuala Terengganu: Air mandi mayat dijadikan ubat. Itu fahaman khurafat segelintir umat Islam di negeri ini yang masih menular dan sukar dibendung sejak puluhan tahun lalu.

Air mayat yang kotor dan berkuman itu digunakan semula sebagai air mandi kononnya untuk menghilangkan rindu kepada si mati, merawat kanak-kanak yang terkena badi mayat, sebagai air penerang hati dan mengubat ketagihan dadah.

Malah, ada juga ada yang meminta tali pengikat kain kafan dan sarung tangan digunakan tukang mandi mayat untuk membersihkan dubur si mati, juga dengan alasan dibuat ubat.

Tukang mandi jenazah wanita, Indong Awang, 66, yang berpengalaman selama 17 tahun dalam bidang itu, berkata, ada juga individu yang percaya air mandi mayat mampu menyembuhkan penyakit AIDS.


INDONG (kanan) menunjukkan kain yang dijadikan tali untuk mengikat jenazah manakala pembantunya Siti Nor menunjukkan air mandian yang ditadah di dalam jag.

“Perbuatan khurafat ini sudah lama berlarutan dan masih berlaku sekarang, menyebabkan kami serba salah. Ini kerana apabila kami menolak permintaan mereka, ada yang marah dan ada juga berkeras melakukannya sendiri,” katanya.

Tuesday, April 1, 2014

Kepercayaan dan Ritual Mengurangkan Kesengsaraan Para Hantu..

Hantu lapar cari mangsa

MENGIKUT kepercayaan masyarakat Tionghua, hari ke-15 pada bulan ketujuh dalam kalendar lunar Cina, merupakan permulaan Bulan Hantu Lapar. Kononnya pada masa itu pintu neraka akan dibuka dan para hantu serta roh dipercayai keluar dari alam ghaib dan merayau-rayau pada waktu malam.

Dek pegangan turun-temurun, pada bulan itu mereka akan lebih berhati-hati dan patuh kepada pantang larang yang diperturunkan nenek moyang bagi mengelak ditimpa nasib malang.

Bukan itu sahaja, sebagai langkah pencegahan supaya tidak diganggu oleh roh dan hantu itu, sebilangan besar pengamal kepercayaan Taoist membakar duit palsu, emas, kereta dan rumah kertas sebagai persembahan kepada roh jahat atau hantu lapar.

Menurut seorang peniaga di Kuala Lumpur, Lee Hock Ming, 29, dia percaya ritual itu mampu mengurangkan kesengsaraan para hantu.


“Orang Cina percaya dunia di bawah sana sama dengan dunia yang kita tinggal sekarang.

“Selain duit, ada juga orang yang sediakan makanan dengan kerusi kosong dan menganjurkan acara-acara hiburan.

“Mereka akan menyanyi dan berjenaka bagi mengurangkan penderitaan roh,” katanya yang mula menyambut hari tersebut Ahad lalu.

Roh mangsa kemalangan

Hock Ming berkata, rakan sekolahnya sendiri pernah disampuk roh jahat pada Bulan Hantu Lapar.

“Dulu semasa saya tinggal di Perak, seorang kawan Melayu saya tiba-tiba pengsan semasa kami menghadiri kelas malam. Bila sedar, dia bercakap dalam bahasa Hokkien.
“Rupa-rupanya roh itu milik seorang lelaki Cina yang mati akibat kemalangan dan dia hendak ‘balik’ ke rumahnya.

“Roh itu turut memberitahu tempat tinggal keluarganya. Bila kawan saya selidik, keluarga itu memang ada dan salah seorang anggota keluarga itu mati akibat kemalangan beberapa bulan sebelumnya,” katanya.

Seorang sami Buddha di sebuah tokong di Petaling Jaya, Chang Wen, berkata asal-usul perayaan ini adalah daripada seorang anak murid pendeta Buddha bernama Mu Lian.

“Semasa bermeditasi, Mu Lian yang merupakan antara 10 murid terbaik Buddha telah mendapat petunjuk yang ibunya sedang sengsara di neraka.

“Menurut kisah itu, ibu Mu Lian merupakan seorang yang kedekut dan sering menghina golongan pengemis. Apabila Mu Lian mengambil keputusan untuk menjadi sami, ibunya sangat marah.

“Sebagai tanda bantahan, ibunya telah memberi Mu Lian makanan berdaging iaitu makanan yang tidak boleh dijamah oleh para sami. Kerana perbuatannya, si ibu telah diberi balasan dengan dihantar ke neraka selepas dia mati.

“Sebagai anak yang baik, Mu Lian sentiasa berdoa untuk ibunya dan doa itu telah didengari oleh Buddha. Dengan keizinan Buddha, setahun sekali pintu neraka dibuka dan roh-roh boleh kembali ke bumi untuk diberi makanan,” cerita Chang Wen.

Bukan bulan malang

Mengupas kebenaran sama ada wujud roh atau hantu jahat yang berkeliaran dan mengganggu manusia pada bulan ini, Chang memberitahu, ia sebenarnya tidak wujud.

“Perayaan untuk memperingati tarikh 15 haribulan ini telah jauh menyimpang daripada ajaran Buddha. Mungkin ia banyak dipengaruhi oleh adat resam orang Cina itu sendiri.

“Dalam ajaran Buddha, Bulan Hantu Lapar adalah bulan yang paling bahagia dan sangat diberkati. Selain roh ‘dibebaskan’, ia juga hari kemuncak para sami belajar dan berbincang mengenai agama.

“Cara terbaik memperingati para roh ini adalah dengan bersedekah dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan mereka, bukan dengan membakar kertas atau menganjurkan pesta. Itu hanya perbuatan yang membazir dan sia-sia,” jelas Chang Wen.

Tambahnya lagi, ritual yang sering dilakukan oleh kebanyakan masyarakat Tionghua itu tidak sepatutnya diamalkan.

“Jangan fikir apabila duit, rumah, kereta atau emas dibakar, roh itu akan tenang. Kehidupan mereka di alam fana tidak sama dengan kehidupan kita di sini. Mereka tidak perlukan itu semua, yang mereka mahukan ialah doa dan nikmat sedekah,” katanya.

Menyelar sesetengah orang yang suka meramalkan peristiwa malang kerap terjadi pada bulan ini, Chang Wen memberitahu, semua hari adalah baik dan tiada hari yang malang.

“Pucuk pangkalnya ialah amalan dan perbuatan kita. Ia tiada kena-mengena dengan pantang larang, hari, warna atau perkara-perkara lain. Itu adat sahaja,” kata Chang Wen.

CHANG WEN - roh tidak perlukan wang

Tuesday, February 11, 2014

BALASAN BUAT PENGAMAL SIHIR


Kuala Terengganu: Satu ketika dia ibarat primadona kerana berbekalkan batu mani gajah yang dijadikan tangkal, lebih 50 lelaki kaya dikikisnya sehingga memiliki wang simpanan lebih RM3 juta dalam tempoh cuma setahun.


Bagaimanapun, kuasa amalan syirik itu hanya sementara kerana dia kini menderita pelbagai penyakit selepas isteri seorang lelaki bergelar Datuk yang menjadi mangsanya membalas dendam dengan turut mengenakan ilmu hitam ke atasnya.

Itu kejadian menimpa seorang wanita berusia 31 tahun mahu dikenali sebagai Haslinda yang sebelum ini hidup bergelumang dosa, semata-mata untuk hidup mewah.

“Ada rakan memberitahu mengenai batu mani gajah dimiliki seorang bomoh tinggal di sempadan Siam (Thailand) yang dikatakan mampu membuatkan sesiapa saja tunduk dengan permintaan dan arahan kita.“Saya sanggup menjual diri bagi memperoleh RM8,000 sebagai bayaran untuk memiliki batu itu dan saya juga memandu beratus-ratus kilometer bersendirian untuk ke rumah bomoh itu dua tahun lalu,” katanya.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk menjaga akidah kita supaya tidak dicemarkan oleh kepercayaan dan amalan syirik dan kurafat maka kita perlulah sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran dan sunah Rasulullah S.A.W. Banyak terdapat ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W. yang melarang umatnya daripada kepercayaan yang membawa kepada syirik dan juga kepercayaan kurafat .

Petikan dari Akhbar Tempatan

Monday, February 10, 2014

Susulan Curi Tulang Mayat - Syak kerja kaki nombor


Kejadian enam lelaki termasuk seorang remaja cuba mencuri tulang mayat di kawasan perkuburan Orang Asli Kampung Deraman, Batu 3 di sini, Sabtu lalu menimbulkan banyak persoalan kepada masyarakat berkenaan kerana peristiwa seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini.



Tok Batin kampung berkenaan Atan Deraman, 64, berkata, ketika ditahan semua suspek memberitahu mereka tiada pilihan dan terpaksa mencuri tulang mayat untuk tujuan perubatan, tetapi enggan menjelaskan kaedah sebenar perubatan dimaksudkan.

“Orang Asli sendiri tidak pernah mengamalkan kaedah perubatan dengan menggunakan tulang orang mati. “Tetapi menurut rakan dalam kalangan masyarakat Melayu mereka mengesyaki suspek berniat mengadakan upacara pemujaan dengan mendapatkan tulang si mati mengikut kepercayaan dan amalan tertentu yang diarah bomoh,” katanya.

Menurutnya, kubur digali suspek terbabit milik seorang penduduk dikenali sebagai Jirat dan meninggal dunia kira-kira 20 tahun. Katanya, pihaknya tidak tahu maksud dan tujuan sebenar kumpulan lelaki terbabit mereka.

“Selama ini, penduduk tidak pernah digemparkan dengan insiden pelik seperti ini, selain akan meningkatkan tahap pengawasan di kawasan perkuburan yang terletak di tepi jalan utama Rompin-Kuantan itu supaya tidak berulang lagi,” katanya.

Penduduk, Mat Saman, 51, berkata, nasib baik tindakan kumpulan berkenaan disedari penduduk kampung dan tidak sempat melarikan tulang mayat dari kubur digalinya.


PENDUDUK kampung menunjukkan lokasi kubur yang diceroboh.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan perbuatan itu ada kaitan dengan kepercayaan melakukan pemujaan pada tulang si mati bagi tujuan mendapatkan nombor ramalan.

“Saya tidak yakin dengan dakwaan mereka untuk mendapatkan tulang itu bagi tujuan perubatan,” katanya yang mengesahkan penduduk kampung sudah menimbus semula kubur itu,” katanya.

Yaakob Ketinggek, 56, pula berkata, kejadian itu dilakukan orang penduduk luar daerah dan kemungkinan mereka mempercayai unsur mistik menyebabkan mereka tergamak melakukan perkara sedemikian.

“Pada malam kejadian penduduk menjadi sangat marah kerana sejak kubur ini wujud hampir 150 tahun lalu, kami tidak pernah mendengar kejadian orang mencuri tulang mayat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Johari Jahaya mengesahkan semua suspek ditahan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana menceroboh tanah.

Menurutnya, siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan minta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenainya tampil membantu polis.

Petikan dari Akhbar Tempatan

Gali kubur untuk curi tulang??

Kelmarin kita di gemparkan dengan penangkapan beberapa individu yang menggali sebuah kubur untuk mendapatkan tulang temulang manusia.


Sekumpulan masyarakat Orang Asli di Kampung Deraman, Batu 3, Kuala Rompin, di sini, berjaya menggagalkan usaha sekumpulan enam lelaki yang sedang menggali salah satu kubur di tanah perkuburan kampung tersebut kononnya untuk tujuan 'perubatan'.


Kejadian tersebut disedari seorang penduduk kampung, Tan Din, 39, yang dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai bermesyuarat bersama dengan pemimpin kampung sekitar jam 9 malam tadi.

Menurutnya, dia curiga apabila melihat ada cahaya lampu suluh di dalam kawasan perkuburan dan sebuah kereta diletak di tepi jalan dalam gelap.

“Saya rasa tidak sedap hati dan curiga, lalu saya singgah dan bertanya kepada tiga orang yang berada dekat kereta tersebut dan mereka berkata sedang menunggu enjin kereta sejuk kerana ada masalah enjin panas.

“Namun apabila saya melihat keadaan kereta itu, saya tambah pelik kerana bonet depan tidak dibuka sedangkan kata mereka sedang menyejukkan enjin. Kemudiannya saya terus maklum kepada Tok Batin tentang hal yang mencurigakan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Tok Batin Kampung Deraman, Atan Abdul Rahman, 54, kemudiannya memaklumkan hal tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Deraman, Rosman Sulong, 39.

Menurut Rosman, beliau bersama penduduk kampung lain pada mulanya mengintai dari jauh dan melihat tiga individu sedang menggali kubur.

“Waktu itu ada dua kumpulan penduduk, salah satu kumpulan saya arahkan pergi menahan tiga individu yang sedang menunggu di kereta dan satu kumpulan lagi yang bersama saya pergi menyerbu tiga individu yang sedang menggali kubur.

“Ketika diserbu, tiga individu yang sedang menggali kubur itu melarikan diri dalam gelap meninggalkan barang-barang yang digunakan untuk menggali ke kereta mereka. Selepas itu saya terus telefon polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya yang dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk menjaga akidah kita supaya tidak dicemarkan oleh kepercayaan dan amalan syirik dan kurafat maka kita perlulah sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran dan sunah Rasulullah S.A.W. Banyak terdapat ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W. yang melarang umatnya daripada kepercayaan yang membawa kepada syirik dan juga kepercayaan kurafat .

Petikan dari Akhbar Tempatan

Wednesday, January 30, 2013

Sekadar berkongsi..KISAH SANTAU


Benarkah Limau nipis ubat santau? (HARIAN METRO)
      
Limau nipis ubat paling mujarab bagi mematahkan tindak balas santau ‘angin’ yang dikenakan kepada seseorang melalui kaedah belah atau memotong limau itu daripada tangkai atas ke bawah.

Pengasas Pusat Rawatan Islam Darul Ruqiyyah, Ustaz Mohd Suhaimi Rozali berkata, selain digunakan untuk memulihkan pesakit santau, limau nipis juga boleh digunakan untuk mengesan sama ada seseorang itu sudah terkena racun santau atau tidak.


“Apabila orang yang terkena santau angin memakan limau atau nanas bersama kicap mereka akan muntah darah kerana santau itu berlawanan dengan bahan berkenaan, malah, pesakit juga berasa sakit pada seluruh anggota badan seperti dicucuk dengan benda tajam,” katanya.

Menurut Suhaimi, santau angin yang turut dipanggil ‘tuju’ itu dihantar dari jauh oleh individu tertentu dengan niat mengkhianati seseorang atau memenuhi syarat pemilikan santau.

“Pengamal santau perlu membuang santau itu setiap tahun bagi memastikan ia tidak ‘memakan’ diri sendiri atau keluarga terdekat mereka,” katanya.




Katanya, santau angin boleh berlaku melalui dua cara iaitu secara manual iaitu penghantar meletak bahan santau ke dalam makanan atau minuman orang yang ingin disantau dengan meletakkan serbuk santau itu pada hujung kuku dan ditabur dengan cara merenjis.

Manakala cara kedua, melalui upacara pemujaan yang dilakukan bomoh menggunakan perantaraan makhluk halus atau jin. Ia dilakukan dari jauh tanpa pengetahuan mereka yang ditujukan santau berkenaan.


Semalam, Harian Metro melaporkan lima anggota polis yang menderita sakit perut dipercayai akibat ditujukan ‘santau katak puru’ dan ‘santau angin’ oleh seorang dalang sindiket mencuri motosikal.

Mengulas kejadian itu, Suhaimi berkata, ada beberapa panduan boleh digunakan orang ramai untuk mengenal pasti kehadiran santau di kedai makan atau sesebuah restoran.


“Ketika mengambil makanan, jangan mencampurkan kuah lauk dalam nasi, tetapi kedua-duanya hendaklah diasingkan dalam bekas yang berbeza. Pastikan kuah lauk yang dihidang tidak berbau basi kerana kemungkinan ia mengandungi racun santau.


“Bagi minuman pula, pegang gelas seperti biasa manakala jari kelingking ditekan pada bawah gelas jika rasa sakit seperti digigit semut api maka ia mengandungi santau,” katanya.

Beliau berkata, antara tanda-tanda awal seseorang itu terkena racun santau ialah mulut berbau busuk, kuku menjadi hitam dan batuk berpanjangan.



Ingatlah bahawasanya setiap ujian dan dugaan yang kita hadapi adalah kerana Allah swt menyayangi kita.Sentiasalah bersyukur dan paling penting janganlah kita menduakan `Nya` (Allah swt) dan sentiasa berpegang kepada Kitab kurniaanNya Al Quran insyaAllah kehidupan kita sentiasa dilindungi dari perbuatan yang keji dan mungkar.

Gambar Belangkas