Benarkah Limau nipis ubat santau? (HARIAN METRO)
Limau nipis ubat paling mujarab bagi mematahkan tindak balas santau ‘angin’ yang dikenakan kepada seseorang melalui kaedah belah atau memotong limau itu daripada tangkai atas ke bawah.
Pengasas Pusat Rawatan Islam Darul Ruqiyyah, Ustaz Mohd Suhaimi Rozali berkata, selain digunakan untuk memulihkan pesakit santau, limau nipis juga boleh digunakan untuk mengesan sama ada seseorang itu sudah terkena racun santau atau tidak.
“Apabila orang yang terkena santau angin memakan limau atau nanas bersama kicap mereka akan muntah darah kerana santau itu berlawanan dengan bahan berkenaan, malah, pesakit juga berasa sakit pada seluruh anggota badan seperti dicucuk dengan benda tajam,” katanya.
Menurut Suhaimi, santau angin yang turut dipanggil ‘tuju’ itu dihantar dari jauh oleh individu tertentu dengan niat mengkhianati seseorang atau memenuhi syarat pemilikan santau.
“Pengamal santau perlu membuang santau itu setiap tahun bagi memastikan ia tidak ‘memakan’ diri sendiri atau keluarga terdekat mereka,” katanya.
Katanya, santau angin boleh berlaku melalui dua cara iaitu secara manual iaitu penghantar meletak bahan santau ke dalam makanan atau minuman orang yang ingin disantau dengan meletakkan serbuk santau itu pada hujung kuku dan ditabur dengan cara merenjis.
Manakala cara kedua, melalui upacara pemujaan yang dilakukan bomoh menggunakan perantaraan makhluk halus atau jin. Ia dilakukan dari jauh tanpa pengetahuan mereka yang ditujukan santau berkenaan.
Semalam, Harian Metro melaporkan lima anggota polis yang menderita sakit perut dipercayai akibat ditujukan ‘santau katak puru’ dan ‘santau angin’ oleh seorang dalang sindiket mencuri motosikal.
Mengulas kejadian itu, Suhaimi berkata, ada beberapa panduan boleh digunakan orang ramai untuk mengenal pasti kehadiran santau di kedai makan atau sesebuah restoran.
“Ketika mengambil makanan, jangan mencampurkan kuah lauk dalam nasi, tetapi kedua-duanya hendaklah diasingkan dalam bekas yang berbeza. Pastikan kuah lauk yang dihidang tidak berbau basi kerana kemungkinan ia mengandungi racun santau.
“Bagi minuman pula, pegang gelas seperti biasa manakala jari kelingking ditekan pada bawah gelas jika rasa sakit seperti digigit semut api maka ia mengandungi santau,” katanya.
Beliau berkata, antara tanda-tanda awal seseorang itu terkena racun santau ialah mulut berbau busuk, kuku menjadi hitam dan batuk berpanjangan.
Ingatlah bahawasanya setiap ujian dan dugaan yang kita hadapi adalah kerana Allah swt menyayangi kita.Sentiasalah bersyukur dan paling penting janganlah kita menduakan `Nya` (Allah swt) dan sentiasa berpegang kepada Kitab kurniaanNya Al Quran insyaAllah kehidupan kita sentiasa dilindungi dari perbuatan yang keji dan mungkar.