Meskipun filem genre romantik percintaan Azura 2012 arahannya di bawah terbitan produksi sendiri, Ace Motion Pictures Sdn Bhd meraih kutipan kurang memuaskan di pawagam, namun Aziz M Osman tidak pernah mengalah.
Sebagai anak seni sejati, dia terus gigih berkarya walaupun industri perfileman tempatan kini agak merudum. Kini, Aziz akan mempertaruhkan filem baru terbitannya, Jengka.
Bergenrekan seram, filem Jengka arahan Ramdan Che Hassan dan Nyon Othman itu akan menemui penonton di pawagam tanah air mulai 26 Mac ini.
Antara barisan pelakon yang membintangi filem Jengka ialah Riezman Khuzaimi sebagai Basir, Ramona Zamzam (Nini) Afida Es (Mak Fida), Raja Azrey (Along), Eyka Farhana (Aqish), Jobot (Ustaz Mizi) dan Sahiddin (Nyun).
Berbicara mengenai inspirasi filem itu, Aziz, 53, berkata, semuanya berlaku secara kebetulan kira-kira lima tahun lalu.Katanya, ketika itu dia sibuk menyiapkan drama hari raya untuk TV3.
“Pada 2010, ketika terbabit menyiapkan penggambaran drama di satu lokasi, seorang lelaki datang bertemu saya dan dia menceritakan kisah ini yang didakwa berlaku pada keluarganya.
“Lelaki yang juga anak jati Jengka, Pahang itu berjaya meyakinkan saya bahawa kisah diceritakannya cukup menarik untuk dijadikan karya.
“Saya sendiri akui berminat dengan cerita itu kerana ia ada kelainan untuk dikongsi bersama penonton. Kisahnya bukan seperti cerita seram yang biasa didengar,” katanya.
Bagaimanapun, Aziz berkata, ketika itu dia tidak ghairah mahu menerbitkan filem hantu. Namun, dia tetap bercadang menghasilkan cerita itu ke layar perak.
Berbekalkan sumber kewangan yang dikumpul, pada mulanya Aziz merancang menghasilkan filem bajet kecil. Apapun, selepas melihat hasilnya dia dapati ada potensi untuk dibesarkan.
Membuat penambahan bajet pelaburan, maka terhasillah filem Jengka yang memberi ruang kepada Aziz bertindak sebagai penerbit dan penasihat cerita.
“Apapun, saya menganggap pertemuan dengan lelaki itu sebagai rezeki untuk terus menghasilkan karya baru. Pada masa sama, cerita itu ada kelainan tersendiri.
“Cerita disampaikan itu berbeza dengan kisah seram yang pernah diangkat menjadi karya filem sebelum ini. Ia lebih menjurus pada kewujudan entiti,” katanya.
Mengulas soal bajet, Aziz berkata, setakat ini, perbelanjaan digunakan untuk filem Jengka hampir mencecah RM1 juta.
Bercerita mengenai elemen entiti atau makhluk halus diketangahkan, Aziz berkata, bukan mudah sebenarnya menghasilkan filem bergenre seram atau hantu.
Katanya, filem seram menuntut seseorang pengarah itu lebih kreatif daripada pelbagai aspek seperti sudut penceritaan, teknik kamera, elemen kejutan, mendebarkan, takut dan sebagainya.
“Menghasilkan filem seram tak sama dengan karya cinta dan romantik. Biasanya dalam filem cinta, segala emosi dan perasaan digalas oleh pelakon sebagai peranan utama.
“Bagi filem seram, pengarah perlu bijak mencipta babak menarik yang mampu membuatkan penonton dapat merasai kisah penceritaan yang dimuatkan dalam karya itu,” katanya.
Menurut Aziz yang berkarya bukan untuk mengejar keuntungan, dia hanya mahu menjadi pencerita terbaik melalui karya berkualiti untuk dikongsi bersama penonton.
Sebagai penggiat seni yang tidak asing di persada industri hiburan tanah air, Aziz pernah menghasilkan karya filem hebat seperti Femina, Fenomena, XX Ray, Senario The Movie, Leftenan Adnan dan banyak lagi.
Sinopsis Filem Jengka
Filem ini berkonsepkan ‘paranormal’ menceritakan Nini yang sarat mengandung meminta suaminya, Basir menghantar dia pulang ke kampungnya di Jengka, Pahang untuk melahirkan anak.
Basir hanya mengikutkan saja kehendak isterinya dengan alasan dia pun sibuk dengan urusan kerja dan tidak boleh menemani Nini.
Kepulangan Nini di kampung diraikan keluarganya dengan mengaturkan majlis kenduri doa selamat sempena menyambut kelahiran bayi dikandung Nini.
Bagaimanapun, mak bidan yang dijemput datang ke majlis itu menasihatkan Nini supaya tidak dibebankan dengan tekanan perasaan. Ini kerana, Nini akan diganggu ‘semangat tidak baik’.
Malangnya, pada majlis kenduri itu Nini mengetahui kecurangan Basir yang memiliki kekasih gelap. Akibat kecewa dan memberontak, Nini akhirnya lari dari rumah.
Nini menyusup masuk ke ladang kelapa sawit yang didakwa ‘berpenunggu’ dan hilang secara tiba-tiba. Bahkan, paling megejutkan Basir, along dan orang kampung hanya mendengar jeritan Nini dan tangisan bayinya.
Apakah yang sebenarnya berlaku kepada Nini? Adakah Nini dan bayinya selamat? Semua jawapan untuk kisah yang berlaku ini ada jawapannya dalam filem Jengka.
Diterbitkan Ace Motion Pictures, Jengka yang menjurus pada kisah gangguan entiti dan makhluk halus itu diletakkan dalam klasifikasi tontonan P13. Filem ini berdurasi satu jam 20 minit.
TRAILER JENGKA!!