Showing posts with label BOMOH. Show all posts
Showing posts with label BOMOH. Show all posts

Thursday, July 2, 2015

[EKSKLUSIF] KETAHUI KISAH SEBENAR MONA FENDY SEBELUM DIA DI GANTUNG SAMPAI MATI

Anda kenal dengan nama Maznah Ismail atau lebih mengenalinya dengan nama Mona Fandey?

Kisah Mona menjadi tumpuan di akhbar sejak tahun 1993. Bahkan, ia semakin rancak diperkatakan ramai apabila satu persatu kegiatan jahat pasangan bomoh, Mona dan Affandi sewaktu hidup ketika dahulu didedahkan.

Namun, pernahkah anda terfikir sejauh mana kesahihan cerita yang disebarkan itu?

Adakah anda berani meletakkan jaminan seratus peratus bahawa memang ternyata Mona mati di tali gantung dengan keadaan mengerikan? atau anda lebih percaya pada versi cerita yang kononnya Mona tidak mati biarpun dia telah digantung?

Sejauh mana keyakinan orang ramai percaya 1,001 versi cerita mengenai bekas banduan terakhir di Penjara Wanita Kajang itu?

Membongkar kembali kisah benar Mona di penghujung hidupnya, wartawan Malaysian Digest berjaya menjejaki pegawai penjara yang berpengalaman bertugas di sel akhir Mona sewaktu dia dipenjarakan dahulu.


Satu temubual eksklusif bersama Pegawai Penjara Wanita Kajang, Sarjan Azizah, diatur untuk mendedahkan kepada semua masyarakat Malaysia perihal kehidupan bekas banduan akhir yang selama ini menjadi rahsia hidup wanita berusia 53 tahun itu.

Azizah sedia berkongsi kepada umum sisi-sisi rahsia Mona yang mana dia merasakan satu kenangan manis buat dirinya sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai warden penjara.

“Masa itu saya sedang bercuti tetapi saya dah tahu yang Mona bakal ditempatkan di sel akhir bawah jagaan saya. Kes dia memang cukup gempar pada waktu itu.

"Saya sangat takut apabila dapat tahu saya akan berjumpa dengan Mona sampaikan saya minta air penawar dekat ustaz,

“Sel akhir Mona berada paling depan sekali dan tentulah dia orang pertama yang akan saya lalui dulu. Waktu saya melangkah masuk pada hari pertama selepas bercuti, saya dengar ada orang bagi salam.

"Saya tahu itu Mona. Saya buat tak tahu. Hari kedua dan ketiga pun, saya dengar Mona beri salam lagi tapi tetap saya buat tak tahu,

“Pada hari keempat apabila dia bagi salam, baru saya jawab salam dia. Mona kata antara ramai-ramai staf di penjara, dia paling suka saya. Saya tanya kenapa? Dia jawab gerak hati.

"Saya tak pernah sangka seumur hidup saya, dengan ‘salam’ yang diberikan Mona itu telah menjadikan dia seorang sahabat saya,” katanya.

Tambahnya, Mona merupakan seorang yang sangat gemar berbual. Tidak pernah kering dengan topik perbualan membuatkan Azizah berasa sangat senang mendengar cerita-cerita daripada Mona.


Malah, Mona sangat suka bercerita mengenai anak-anaknya, bekas suami, suami kini, resepi masakan dan banyak lagi.

Hanya Azizah sahaja yang ketika itu tidak gentar bersua muka dan bertentang mata dengan wanita yang dikatakan memiliki ilmu kesaktian luar biasa itu.

Kebanyakkan kakitangan penjara ketika itu, rata-ratanya berusaha untuk mengelak daripada menguruskan rutin harian Mona kerana bimbang dengan ‘ilmu hitam’ dimilikinya.

“Saya panggil Mona ‘Makcik’ dan dia panggil saya ‘Cik Jah’. Percaya atau tidak, Mona ni sebenarnya seorang wanita yang sangat menjaga solat lima waktu.

"Bukan itu saja, solat sunat dan wirid juga tidak pernah ditinggalkannya, Setiap hari saya dengar Mona mengaji al-Quran sehingga saya sendiri rasa terpegun.

"Waktu dia baca wirid pula, saya pernah minta dia kuatkan suara kerana saya bimbang dia membaca bacaan yang ‘salah’. Apa yang saya dengar adalah perkataan ‘Subhanallah’ yang tidak berhenti keluar dari mulut Mona, 

Sarjan Azizah (kiri) bersama Mona Fandey

“Mona seorang wanita yang sangat sopan apabila bercakap. Dia sangat peramah tetapi masih menjaga adab dalam percakapannya. Sebaik-baik Mona apabila berbual, tidak pernah sekalipun dia bercakap buruk mengenai orang,

“Walaupun pada ketika itu kakitangan penjara ramai yang mengatanya tetapi Mona sangat sabar dan positif. Tak pernah dia nak membalas atau memburukkan orang,

“Mona sangat suka berkongsi resepi masakan dengan saya. Dia kata dia suka letak daun pandan dalam masakan sebab akan jadi wangi. Saya nampak dia seorang yang penyayang dan ikhlas,” katanya.

Pernah beberapa kali Azizah terbaca cerita mengenai Mona di akhbar seperti, Mona terapung di dalam sel, Mona boleh membaca Surah Al-Fatihah dengan terbalik, Mona dilihat keluar dari sel oleh salah seorang kakitangan penjara dan bersiar-siar di Chow Kit dan banyak lagi.

Demi mendapatkan kepastian, Azizah akan terus bertanya kepada Mona mengenai cerita-cerita mistik yang dibacanya.

“Saya suruh Mona apungkan badan dia macam dalam suratkhabar laporkan. Mona kata gila ke apa? Mana dia boleh apungkan diri dia.

"Kemudian saya suruh dia baca Surah Al-Fatihah terbalik. Mona jawab, sedangkan nak baca bismillah terbalik pun susah apatah lagi Surah Al-Fatihah,

“Paling menarik, saya pernah tanya pada Mona betul ke dia keluar sel dan ke Chow Kit? Mona jawab, kalau dia boleh keluar sel buat apa dia nak ke Chow Kit? Baik dia balik ke rumah dan tak perlu masuk ke dalam sel lagi.

"Namun, apabila kita fikirkan balik, apa yang dikatakan Mona itu benar. Kalau betul dia ada kuasa yang boleh memboloskan diri dari penjara, lebih baik dia pulang ke rumah dari ke Chow Kit,” seloroh Azizah sambil tersenyum.

Seketika Azizah terdiam, kemudian menyambung semula ceritanya.

Dia akui terdapat satu cerita di sebalik kes ini yang tidak diketahui umum. Barangkali yang tahu sekalipun, mereka yang terlibat secara langsung sepanjang tempoh perbicaraan kes pembunuhan Datuk Mazlan ini.

Ujarnya, Mona sering meyakinkannya mengenai kejadian sebenar yang berlaku pada tarikh pembunuhan ahli politik itu dan Azizah akui pada awalnya sukar untuk mempercayai kata-kata Mona.

Namun, ternyata Mona berjaya membuktikan kepada Azizah bahawa dia tidak menipu kerana kenyataannya di penjara dan mahkamah begitu konsisten sekali. Tiada perubahan cerita, tiada perubahan fakta. Mona kelihatan begitu tenang menghadapi perbicaraan kesnya itu.

Tahukah kita semua bahawa sebenarnya Mona bukan suspek utama kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris?

Dia merupakan OKT-3 (Orang Kena Tuduh Ketiga) manakala dalang sebenar kes pembunuhan ini adalah OKT-1 dan OKT-2 yang merupakan suami Mona sendiri, Affandi dan pembantu peribadi mereka, Juraimi.



Hakikatnya, pada hari kejadian mangsa dibunuh kejam Mona sekadar mendapat arahan daripada Affandi untuk keluar memetik bunga sebelum satu upacara mandi bunga bersama mangsa dijalankan.

Mona duduk di atas bahagian kepala mangsa yang berada dalam posisi baring kemudian secara tiba-tiba Juraimi meluru masuk dan... (Azizah terdiam)

“Saya berada sepanjang prosiding mahkamah berlangsung kerana atas permintaan Mona sendiri, dia tidak mahu pegawai lain yang mengiringinya.

"Jadi, tangan saya akan digari bersama tangan Mona ke mana sahaja. Mona telah membuktikan dia bukanlah dalang dalam kejadian ini. cuma silapnya Mona berada di tempat kejadian. Dia tidak bersalah sebenarnya. Hakim telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap OKT-1, OKT-2 dan OKT-3. Peguambela Mona tidak berputus asa dan telah membuat rayuan,

"Hakim mempertimbangkan perkara itu kerana Mona hanya OKT-3 dan Mona boleh dibebaskan. Peguambelanya memujuk Mona untuk pulang bersama anak-anak yang sedang menantinya. Ujar Mona,  jika dia dibebaskan, dia mahu Affandi juga dibebaskan. Jika suaminya digantung, biarkanlah dia digantung bersama Affandi,

" Itu pilihan Mona. Dia nak bersama suaminya. Saya nampak Mona seorang isteri yang sangat baik dan sayangkan Affandi. Secara jujurnya, selama saya menjaga Mona di sel akhir saya sendiri gagal menemui kejahatan dari dalam dirinya,

“Saya masih ingat satu cerita dimana orang yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan jenazah Mona selepas digantung menyatakan dia sendiri tidak tahu dimana nak mencari cacat cala pada jenazahnya kerana Mona meninggal dengan keadaan sangat baik. Tubuh yang bersih dan mudah diuruskan,” ujarnya lagi.


Menariknya, bekas suami Mona yang juga merupakan seorang anggota polis tidak pernah terlepas daripada menghadiri perbicaraan kes bekas isterinya itu. Kehadiran bekas suami Mona tanpa jemu ke mahkamah membuatkan Azizah tertarik untuk mendekati lelaki itu.

Apa yang mengharukan hatinya apabila bekas suami Mona menjawab:

‘Mona nak bunuh semut pun tak sampai hati. Waktu nak siang ikan pun dia menangis, apatah lagi nak kerat manusia."

Bahkan, anak-anak Mona juga sentiasa hadir dalam perbicaraan ibu mereka sebagai tanda memberi sokongan kepada Mona. Anak-anak Mona pernah menyatakan bahawa mereka lebih mengenali siapa ibu mereka yang sebenar.

Disitu Azizah mengakui Mona merupakan seorang ibu yang berjaya membentuk keperibadian serta akhlak yang tinggi dalam diri anak-anaknya.

Mereka sangat mentaati Mona biarpun ibu mereka itu bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati dan menelan stigma masyarakat kita yang sentiasa negatif sehingga ke hari ini.

Kerana cintakan suami, si isteri mengorbankan kebebasannya biarpun sudah terbukti tidak bersalah. Begitu juga, kerana kasihkan suami, Mona memilih untuk sehidup semati di tali gantung bersama Affandi.

“Saya pelik macam mana orang luar yang tak pernah masuk penjara, tak pernah jumpa Mona atau menguruskan halnya selama dia dipenjara, lebih banyak bersuara seperti mengetahui segala-galanya berbanding saya yang bersama Mona siang dan malam?

"Saya sampai tarik kerusi duduk depan sel Mona untuk teman dia berbual, orang lain lagi mengetahui selok belok hal Mona?

“Benda yang paling saya sedih sekali, sehari sebelum Mona digantung saya nampak dia dibawa turun dari tingkat atas ke bawah. Muka dia nampak ceria sangat. Senyum tak sudah! Saya tanya Makcik nak kemana?

"Mona jawab dia nak pergi 'shopping'! Sebenarnya, dia dapat jumpa Affandi dipenjara sebelah, Sampai pusing di 'corner' bangunan, saya nampak dia toleh dekat saya dan tersenyum biarpun kedua tangannya bergari.

"Saya sendiri terlupa hari itu adalah hari Khamis, dimana banduan beragama Islam akan digantung pada pagi Jumaat. Itupun kawan saya yang juga baik dengan Mona beritahu, Mona dah nak digantung esok, 

“Saya terduduk dan menangis tak berhenti. Itulah kali terakhir saya jumpa Mona dan saya sampai sekarang tak dapat lupa senyuman dia. 


"Kalau saya tahu dia akan digantung, tentu sekali perkara yang nak saya buat adalah memeluk Mona. Saya kenal siapa Mona Fandey. Saya terlalu rindukan dia,” katanya dan pada saat itu Azizah menitiskan air matanya.

Ujarnya, Mona tidak seperti banduan akhir yang lain. Keikhlasan yang ada dalam diri Mona benar-benar dapat dirasai Azizah. Kenakalan Mona yang sering mengusik kakitangan penjara yang lemah semangat dan gemar mengatanya kadang kala membuatkan Azizah tersenyum sendirian tatkala teringatkan kenangannya menjaga sel akhir Mona.

Sehingga hari ini, Azizah tetap setia menyimpan kenangan manis bersama seorang wanita yang amat ‘digeruni’ rakyat Malaysia dan ‘kononnya’ pembunuh paling kejam di Malaysia.

Biarpun berstatus banduan akhir yang telah digantung, Mona tetap mempunyai ruang istimewa di hati Azizah dan dia percaya Allah lebih mengetahui dimana kedudukan yang selayaknya buat insan semurni Allahyarhamah Maznah Ismail.

Ternyata setiap manusia tidak terlepas dari membuat kesilapan sewaktu hidup. Bahkan, urusan pahala dan dosa bukanlah selayaknya diadili oleh manusia lebih-lebih melibatkan aibnya sewaktu hidup.

Memetik kata Ustaz Abdul Rasyid yang sudah berpengalaman lebih tiga dekad mengendalikan hal ehwal agama banduan:

"Alhamdulillah, Mona mengucap dengan fasih siap dengan terjemahan sekali. Pada sayalah, dia tahu waktu dia nak mati. Balasan dunia dia dah terima. Dengan Tuhan, kalau Tuhan terima taubat dia, mungkin dia jauh lebih baik dari kita semua." – Sumber Arkib Negara : Mona Fandey.

Apakah dengan tulisan ini mampu mengubah stigma anda pada wanita bernama Mona Fandey supaya diletakkan dalam ruang yang adil berdasarkan kebaikannya sewaktu hidup dahulu?

Atau anda lebih selesa untuk terus memahami ‘cakap-cakap’ orang mengenai kejadian yang berlaku kerana sudah dididik dengan ‘trend’ bahawa Mona Fandey adalah pembunuh paling kejam di Malaysia?


Terima kasih kepada Malaysian Digest kerana memberi kebenaran kepada kami untuk berkongsi artikel ini bersama peminat.Al fatihah dan semoga rohnya (mona fendy@maznah ismail) dicucuri rahmat.

*Cerita ini adalah eksklusif dan hak milik Malaysian Digest sepenuhnya.

Tuesday, June 23, 2015

UGANDA SEMAKIN PARAH AKIBAT TAKSUB PADA AMALAN KARUT


UGANDA : Kanak-kanak diculik ketika dalam perjalanan ke sekolah sebelum anggota badan mereka dipotong dan mayat mangsa yang dalam keadaan mengerikan dicampak di dalam hutan.


Itulah kisah menakutkan yang menghantui kanak-kanak di Uganda akibat kepercayaan karut sebilangan penduduk di negara itu.

Setiap tahun ratusan kanak-kanak di Uganda menjadi mangsa bomoh yang mempengaruhi golongan elit bahawa dengan mengorbankan kanak-kanak akan menjadikan mereka lebih kaya.

Lebih mengejutkan lagi, jenayah kejam ini dijangka akan meningkat menjelang pilihan raya Uganda yang dijadualkan berlangsung pada 2016.

Satu pertubuhan kebajikan kanak-kanak memberitahu, ahli perniagaan kaya sanggup membayar ribuan pound kepada pengamal perubatan tradisional untuk memburu kanak-kanak miskin.

Anggota badan kanak-kanak yang diculik ini kemudiannya dipotong untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit mati pucuk dan meningkatkan kesuburan.

Bomoh akan memotong beberapa bahagian anggota badan termasuk kemaluan mangsa.Mayat yang sudah dikerat kemudian dibuang di hutan ataupun tapak pembinaan.

Lebih kejam lagi apabila anggota badan kanak-kanak yang dipotong itu bukan untuk ubat tetapi dipersembahkan kepada roh yang mengarahkan bomoh melakukan kekejaman berkenaan.

Bagi mengatasi kekejaman itu, kerajaan Uganda pada Februari lalu, mewujudkan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi menghentikan pembunuhan terhadap kanak-kanak.

Kerajaan juga meluluskan rang undang-undang bagi mendaftarkan semua pengamal perubatan tradisional.

Namun, ahli perniagaan yang membayar ribuan pound untuk ritual kejam berkenaan jarang dikenakan tindakan kerana keengganan bomoh mendedahkan identiti mereka.

Kanak-kanak yang terselamat tetapi mengalami kecederaan teruk pada badan biasanya terpaksa menanggung kecacatan sepanjang hayat.

Kerajaan memberi amaran amalan mengorbankan kanak-kanak sukar dihentikan selagi penduduk negara itu mempercayai kepercayaan karut.

Bagaimanapun, beberapa aktivis kanak-kanak mendakwa pembunuhan kejam itu akan berterusan kerana ia didorong oleh ketamakan.

Friday, May 22, 2015

DUKUN PAKSA BAYI 2 HARI BERJALAN


Assam (India): Seorang bayi yang baru berusia dua hari dipaksa ‘berjalan’ oleh seorang dukun wanita, kononnya untuk mengubati demam panas yang dihidapi kanak-kanak itu.


Video yang dirakam seorang lelaki menunjukkan dukun berkenaan memegang tengkuk kanak-kanak itu dan memaksanya berjalan di depan puluhan penduduk kampung di daerah Morigaon.

Ibu bapa bayi itu membawa anak mereka kepada wanita berusia 50-an itu kerana percaya dia boleh mengubatinya.

Mereka diarah menanggalkan lampinnya sebelum dukun itu melakukan ‘ritual’ berkenaan yang didakwa untuk menurunkan suhu badannya.Bayi itu menangis sekuat-kuatnya sepanjang ritual itu.

Saturday, March 14, 2015

MASYARAKAT ALBINO JADI SASARAN BUNUH OLEH AHLI SIHIR

KANAK-KANAK albino berusia enam tahun, Baraka Cosmas, yang hilang sebelah tangan selepas dipotong oleh sekumpulan lelaki Tanzania.

Dar es Salaam: Lebih 200 orang ditahan dalam kempen kerajaan memerangi tukang sihir yang terbabit dalam serangan dan pembunuhan masyarakat albino yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini di Tanzania.


Polis menahan 225 dukun tidak berlesen itu dalam satu operasi khas yang dilakukan di beberapa bahagian negara itu.Kempen itu dijadual diluaskan ke semua 30 wilayah selepas ini.

Kami menemui pelbagai barangan, termasuk kulit cicak, gigi babi hutan, telur burung unta, ekor monyet, kuku burung, ekor keldai dan kulit singa pada sebahagian mereka, kata jurucakap polis Advera Bulimba.

Menurutnya, kempen itu menyasarkan seluruh rangkaian samseng, peniaga dan tukang sihir.

Penangkapan dilakukan beberapa hari selepas Presiden Jakaya Kikwete menyifatkan serangan yang berterusan terhadap penduduk albino negara itu sebagai memalukan negara.

Masyarakat albino menjadi sasaran pembunuhan kerana anggota tubuh mereka menjadi bahan untuk melakukan sihir.

Sekurang-kuranya 76 albino dibunuh sejak tahun 2000 dengan anggota tubuh mereka dijual pada harga sebanyak kira-kira AS$600 (RM2,200).

Untuk seluruh badan, harganya boleh mencecah sehingga RM280,000.Kira-kira 34 albino berjaya diselamatkan selepas sebahagian anggota tubuh mereka dikerat.

Pencuri juga menggali sekurang-kurangnya 15 kubur, untuk mendapatkan mayat atau anggota tubuh mayat albino.

Thursday, March 12, 2015

FILEM TERBARU MR. VAMPIRE VERSI MALAYSIA?


Sudah bergelar penyampai radio dan pengulas sukan, Kieran kini melebarkan langkah dalam bidang lakonan pula menerusi filem Zombie vs The Lucky Exorcist arahan Jaguar Lim yang mula ditayangkan hari ini.


Menerusi filem genre komedi aksi kungfu ini, Kieran membawakan watak bomoh bernama Osman yang berlawan dengan Zombi yang menyerang sebuah kampung.

Saya memang suka filem kungfu dan waktu kecil dulu suka juga layan filem Cina. Tak sangka tiba-tiba datang pula tawaran untuk berlakon filem Cina tempatan. Saya memang tak pernah terfikir nak berlakon filem Cina.

Saya terima tawaran ini kerana wataknya yang tak berat. Jaguar hubungi saya dan seterusnya saya diberikan skrip. Saya juga diberitahu pelakon Hong Kong, Bobby Yip dan Hidy Yu turut berlakon sekali gus membuatkan saya lagi bersemangat,” katanya.

Kieran berkata, dia pernah didatangi tawaran lain, tapi terpaksa menolak kerana terikat dengan kerjayanya sebelum ini sebagai penyampai radio di Hot FM.

Agak susah kerana saya bekerja pada waktu petang dan penerbit sukar membuat jadual. Tapi Jaguar Lim sanggup buat penjadualan dan tak ganggu masa bekerja saya. Bahkan dia sanggup ikut kesesuaian masa saya untuk penggambaran.

Saya pun tak sukar nak bawa watak Osman kerana dah tahu karakter bagaimana yang dikehendaki pengarah, sekali gus memudahkan saya berlakon. Menariknya, saya juga bertutur beberapa dialog bahasa Mandarin dalam filem ini,” katanya.

Menurutnya lagi, penggambaran filem ini dibuat dua tahun lalu ketika bulan Ramadan dan baru sekarang ditayangkan.

Ia bukanlah filem pertama lakonan Kieran kerana sebelumnya dia sudah berlakon filem berjudul Kantoi.

Saya pun tak tahu perkembangan filem ini, tapi saya sekarang terfikir nak serius berlakon sekiranya ada tawaran. Tambahan lagi saya dah tak terikat dengan tugas sebagai penyampai radio dan hanya bekerja secara sambilan dengan Sinar FM setiap Sabtu.

Sekiranya ada penerbit yang tawarkan peluang berlakon, tak salah untuk saya mencuba. Secara peribadi saya dikenali dengan karakter keras, jadi tentunya saya sukakan watak antagonis seperti gangster dan mafia kerana lebih mudah dihayati, katanya.

Fokus pada perniagaan
Selain bertugas secara sambilan di Sinar FM, Kieran juga selesa dengan perniagaan sejuk Kieransfoodproducts sejak 8 Oktober tahun lalu.Dia gembira kerana sambutan yang diterima semakin hari semakin menggalakkan.

Saya lebih senang menjual secara online atau menerusi pengedar kerana setakat ini saya belum ada kedai tetap. Ejen pengedar saya kini berkembang di Alor Setar dan Johor Bahru dan saya menyasarkan banyak lagi kawasan akan dimasuki nanti.

Sebenarnya bukan mudah terbabit dengan perniagaan kerana saya perlu fokus dan banyak habiskan masa di sini. Saya lebih senang pasarkan produk sendiri dan bukan ambil barang orang kemudian labelkan dengan jenama saya, katanya.

Biarpun sibuk, Kieran tetap bersyukur kerana bidang ini memberikan lebih banyak masanya untuk bersama dua anaknya, Muhammad Adam, 6, dan Muhammad Iman, 4, serta ibunya, Kamariah Akbar Ali, 60.

TRAILER Zombie vs The Lucky Exorcist

Wednesday, January 14, 2015

AWIE DI SIHIR ISTERI?


Pelbagai barangan syirik dan khurafat seperti botol berisi cecair, patung kemaluan lelaki bersalut emas, patung sami diperbuat logam berserta tangkal ditemui penyanyi rock Awie di rumahnya yang disyaki milik isterinya, Rozana Misbun.


Peguam syarie Awie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam bahawa penemuan tersebut merupakan antara lapan sebab Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, memfailkan permohonan hak penjagaan sementara (hadanah) ke atas tiga anaknya pada Julai tahun lalu.

Menurut Zaidi, Awie mempercayai isterinya mengamalkan perbuatan syirik, khurafat dan tahyul ekoran barangan terbabit ditemui disorok di bawah tilam, dalam almari pakaian, tertanam dalam pasu bunga dan disembunyikan dalam rak barangan perhiasan di rumah mereka.

“Barangan itu ditemui selepas Awie berubat dengan seorang ustaz setelah mengalami sakit misteri pada 1 Jun 2014 sebelum ustaz itu memberitahu Awie terkena sihir disyaki dilakukan oleh orang yang sangat hampir dengannya,” kata Mohd. Zaidi.

Mohd. Zaidi berkata demikian semasa memberi hujahan lisan ketika kes permohonan ubah perintah sebelah pihak (ex-parte) bagi hak penjagaan anak pasangan itu di hadapan Hakim Syarie Mohd. Amran Mat Zain yang dimohon Rozana, 37.

Tuesday, November 11, 2014

AUTA TARIK WANG DARI ALAM JIN

Hanya kertas kosong yang dijumpai di dalam beg suspek.


Di Ampang seorang 'bomoh' warga Georgia mendakwa mampu menarik wang dari alam jin sebanyak 1.6 bilion.

Suspek juga mendakwa mampu berkomunikasi dengan mahluk dari alam ghaib untuk berurusan menyedut wang jenis dolar dari alam ghaib.

Pembohongan licik itu bagaimanapun dapat memperdaya seorang ahli perniagaan tempatan berusia 40an yang sanggup memberikan suspek wang tunai RM393,500.

Bomoh auta itu turut mengarahkan mangsa membeli sebentuk cincin sakti berharga RM2,000 kononnya sebagai 'kunci' untuk menarik wang daripada alam jin.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, penipuan itu dikesan bermula selepas mangsa bertemu suspek di kawasan Pandan Indah, di sini, September lalu.

Tuesday, October 14, 2014

PAWANG DAKWA MILIKI TONGKAT AZIMAT MODAL UNTUK KIKIS DUIT ORANG


Bermodalkan dua batang tongkat yang didakwa mempunyai kesaktian tertentu, seorang lelaki yang mendakwa dirinya bomoh dan boleh mengubati pesakit yang terkena sihir bijak mempergunakan mangsa apabila mengikis wang mereka untuk menampung kehidupannya sekeluarga.


Bomoh berusia 48 tahun itu dikatakan menggunakan dua tongkat berbentuk kepala naga serta ular yang diperbuat daripada kayu dan besi.

Tongkat berkepala ular yang diperbuat daripada besi itu juga sebenarnya pedang dan kedua-dua tongkat itu turut bertatahkan batu permata di sekelilingnya.

Difahamkan, bomoh berkenaan mendakwa tongkat itu azimat yang dianugerahkan kepadanya untuk mengubati setiap pesakit dan dia kononnya menjadi insan terpilih untuk menyimpan tongkat terbabit yang didakwa diperoleh melalui mimpi.

Bagaimanapun, semua barangan itu dirampas polis dan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) untuk tindakan selanjutnya.

Bomoh berkenaan, isterinya dan seorang lelaki yang menjadi pembantu mereka dilihat turut tampil ke pejabat JAIPP untuk diambil keterangan pada jam 10 pagi semalam.

GAMBAR - Dua tongkat yang di rampas


Monday, October 13, 2014

BOMOH AJARAN SESAT SEMBAH KUIL BERLIAN


Seorang Bomoh disyaki mengajar ajaran sesat di sekitar Butterworth telah di tangkap oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) kelmarin.


Mengikut risikan yang telah di buat berbulan-bulan, bomoh terbabit telah merekrut masyarakat setempat untuk mengikut ajarannya dan menyembah sebuah (kuil) kubah berlian.

Dalam pada itu dia juga didapati telah mengubah cara solat dan mengubah mengucap dua kalimah syahadah dengan separah sebutan sahaja.

Lelaki terbabit yang berumur dalam lingkungan 48 tahun turut menjadikan sebuah rumah di atas bukit dalam kawasan hutan yang agak terpencil untuk menyebarkan ajarannya kepada pengikutnya.

Rumah itu yang dikenali sebagai 'Kubah Berlian' atau `Diamond Temple` oleh pengikutnya turut dijadikan sebagai tempat mengubati pesakit yang kononnya terkena ilmu sihir dan pelbagai kelengkapan perubatan seperti keranda, tembikar, keris serta kain tertera tulisan jawi disimpan dalam rumah terbabit.

Malah, bomoh itu yang tinggal bersama seorang wanita berusia 42 tahun mendakwa wanita terbabit isterinya dan meminta pengikutnya memanggil isterinya itu dengan gelaran puteri seawang-awangan.

Bagaimanapun, perbuatan bomoh itu terbongkar baru-baru ini apabila seorang lelaki membuat laporan polis selepas kedua ibu bapanya tidak pulang selama dua bulan sejurus mendapatkan rawatan dengan bomoh terbabit kerana mendakwa terkena sihir.

Susulan laporan itu, polis melakukan serbuan awal pagi Jumaat lalu dan menahan lima individu bagi membantu siasatan dan kes mereka kemudian diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), untuk tindakan selanjutnya.



Monday, September 29, 2014

AUTA BOMOH ARAB SAUDI MENJADI


Arab Saudi: Seorang "bomoh" sempat memperkosa seorang remaja yang sedang mendapatkan rawatan kerana masalah psikologi selepas dia membohongi mangsa kononnya terdapat jin dalam rahimnya.


Bomoh berkenaan memberitahu gadis itu, dia mempunyai kekuatan untuk menghalau jin berkenaan dalam satu sesi rawatan saja jika dia mahu berubat di rumahnya.

Apabila mangsa yang umurnya tidak didedahkan datang ke rumah bomoh terbabit, lelaki itu merogolnya.

Polis menahan bomoh berkenaan selepas mangsa yang masih dara itu menyedari kesilapannya dan membuat laporan polis.

“Lelaki itu memberitahu mangsa rahimnya dihuni jin dan dia mahu menghalaunya,” menurut laporan akhbar tempatan, memetik kata-kata polis.

Kisah itu menjadi viral di media sosial Saudi dan ramai pembaca mengecam bomoh itu dan ada juga yang menyelar gadis berkenaan.

“Nampaknya masyarakat kita masih percaya perkara khurafat dan mengamalkan upacara sebegini atas nama agama. Kami meminta kementerian kehakiman dan dalam negeri, menghukum Raqi,” kata aktivis masyarakat terkenal negara itu, Souad Al Shammari. Bagaimanapun, seorang pembaca, Sarah Al Waleed mempunyai pendapat berbeza.

“Gadis itu yang senang-senang menyerah diri kepada bomoh itu memang bodoh,” katanya.

Seorang lagi pembaca bernama Dalal bersetuju dengan berkata: “Kenapa menyalahkan bomoh saja. Kenapalah bodoh sangat gadis itu sehingga membenarkan dirinya diperkosa.” - Agensi

Gambar Belangkas