Showing posts with label MURUT. Show all posts
Showing posts with label MURUT. Show all posts

Saturday, April 11, 2015

BUNYI GONG BERMAKSUD ADA KEMATIAN


BUNYI paluan gong sayup-sayup kedengaran di Kampung Ansip, Keningau, Sabah. Bunyi itu menandakan terdapat kematian yang berlaku dalam sesebuah keluarga.


Sejurus gong dipalu, semua penduduk kampung perlu berhenti daripada melakukan apa-apa aktiviti. Jika ada yang masih berdegil, mereka perlu memberi seekor babi kepada keluarga si mati.

Selang beberapa minit selepas gong dibunyikan, seluruh ahli keluarga dan penduduk kampung berkumpul di rumah keluarga si mati untuk menangisi dan meratapi pemergiannya.

Mayat kemudian akan dimandikan, dikenakan pakaian cantik dan dibiarkan berada di rumah keluarganya selama dua hari sebelum dimasukkan ke dalam tajau iaitu tempayan yang diperbuat daripada tanah liat.

Bekas itu boleh didapati dalam pelbagai saiz dan dibeli daripada penjual tajau.Selesai upacara memasukkan mayat, tajau itu akan diusung untuk diletakkan di lima sirap iaitu sebuah pondok besar dan tinggi.

Menurut pembuat lima sirap, Simon Susuru, bagi suku kaum Murut, mereka percaya urusan kematian perlu dilakukan dengan tertib dan mengikut adat resam bagi mengelakkan berlakunya sebarang bencana atau musibah.

Mereka percaya mayat yang sudah meninggal harus dikebumikan seperti kedudukan mereka di dalam rahim ibu,” kata Simon.


Bomoh Babalian
Tambah lelaki berusia 61 tahun itu, proses pengebumian masyarakat Murut terbahagi kepada tiga bahagian iaitu sebelum, semasa dan selepas pengebumian.

Sebelum pengebumian, ahli keluarga akan membunyikan gong dengan bunyi tertentu untuk memberitahu seluruh masyarakat kampung bahawa terdapat keramaian bagi menghormati si mati.

Bunyi yang dihasilkan akan membawa maksud berbeza bagi mewakili jantina, pangkat dan punca kematian seseorang itu,” ujarnya sambil memberitahu aktiviti penguburan itu lazimnya diamalkan oleh masyarakat kuno Murut di Sabah sejak beratus bertahun lalu.

Simon yang merupakan suku kaum Murut daripada etnik Paluan berkata, pukulan gong itu akan dilakukan pada tiga hari berturut-turut.

Paluan pada hari pertama untuk mengkhabarkan terdapat kematian, manakala hari kedua bagi memaklumkan yang mayat masih berada di rumah.

Pukulan gong pada hari terakhir adalah untuk memberitahu mayat sudah dikebumikan.


Racun lontong
Bercerita lanjut, Simon memberitahu, pada hari ketiga, barulah mayat akan dimasukkan ke dalam tajau berkenaan.

Untuk memasukkan mayat ke dalam tempayan itu, terdapat satu upacara yang akan dilakukan oleh bomoh Babalian yang dipercayai boleh berhubung dengan kuasa ghaib.

Upacara yang perlu dilakukan bomoh itu adalah menyiram mayat dengan air panas untuk melembutkan otot dan tulang-temulang mereka supaya mudah untuk dimasukkan ke dalam tajau tersebut.

Mayat ini dilipat seperti kedudukan bayi dalam rahim ibu sebelum dimasukkan ke dalam tajau. Jika tidak muat, mayat ini dimampatkan sedikit sehingga dapat dimasukkan. Pun begitu, perkara ini jarang berlaku kerana mayat seolah-olah akan bergerak sendiri seperti sudah tahu cara kedudukan mereka.

Pernah juga terjadi yang mayat tidak boleh dimasukkan langsung tetapi setelah dibaca mantera tertentu, akhirnya ia berjaya diletakkan dalam tempayan berkenaan, ceritanya lagi.

Selesai upacara memasukkan mayat, tajau akan ditutup menggunakan penutup dan diikat dengan raut kulit pokok damar supaya baunya tidak keluar.

Di sebelah bawahnya pula, tajau ditebuk dan diletakkan buluh bagi mengeluarkan air mayat. Masyarakat Murut akan mengambil air tersebut kerana mereka percaya cecair itu boleh dijadikan racun yang dipanggil lontong.

Tambahnya lagi, bomoh Babalian kemudiannya akan memasang lilin pada tajau bagi menghalau roh jahat selain menakutkan hantu serta syaitan daripada datang mengganggu.

Jika lilin itu terpadam pada hari pengebumian, mereka percaya sesuatu yang malang bakal berlaku kepada keluarga si mati.

Acara pengebumian berakhir dengan ahli keluarga si mati mengadakan jamuan bagi mengucapkan selamat jalan dan sebagai kepercayaan rohnya akan selamat ke syurga.

Dalam pada itu, pembantu pembuat lima sirap, Taruly Bantangan, 58, pula berkata, selesai upacara memasukkan mayat dalam tajau, bekas itu akan diusung untuk dibawa ke sebuah pondok yang telah disiapkan dalam tempoh tiga hari sejurus mendapat khabar kematian.

Jelasnya, lima sirap yang dibina di kawasan tanah lapang di dalam hutan mempunyai ketinggian tidak lebih daripada 2 meter dan dilengkapi tangga, atap serta pintu. Ia dibina tinggi daripada tanah bagi mengelakkan ancaman binatang buas dan kecurian.

Setiap lima sirap yang dibina akan dibuat berdasarkan identiti si mati. Bagaimanapun, nama mereka tidak diletakkan baik pada tajau mahupun pondok tersebut.

MAYAT akan dibiarkan selama dua hari di rumah keluaraga si mati sebelum dimasukkan ke dalam tajau.


Lima sirap
Jika yang mati itu merupakan seorang pahlawan misalnya, maka senjata tradisional seperti sumpit, parang dan puputul (baju lelaki yang diperbuat daripada kulit kayu) akan digantung pada pondok tersebut.

“Begitu juga jika yang meninggal itu seorang wanita, lima sirapnya memiliki hiasan lain yang bercirikan identiti dirinya,” jelas Taruly.

Tambahnya, lima sirap dibina menggunakan kayu daripada batang pokok lembut seperti cengal, meranti dan keruing. Atapnya pula dibina daripada daun pokok belian, manakala raut pepohon buluh dijadikan tali pengikat kerana pada zaman dahulu tiada paku.

Mayat itu akan ditempatkan di lima sirap buat selama-lamanya kerana ia merupakan tempat persemadian akhir, ujarnya.

Sementara itu, Ketua Unit Pemulihan Kraf dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah, Laurence Kintau berkata, kini sudah tidak ramai masyarakat Murut yang mengamalkan adat kematian seperti itu kerana zaman sudah berubah dan mereka bebas menganut agama masing-masing.

Dalam lingkungan 10,000 keluarga, dianggarkan hanya 10 hingga 15 peratus sahaja yang masih mengamalkan upacara pengebumian tersebut. Itupun dalam kalangan orang-orang tua yang tinggal di kawasan pedalaman sahaja.

Selebihnya, mereka akan melakukan upacara pengebumian mengikut kepercayaan agama masing-masing seperti ditanam atau diletakkan di dalam keranda,” katanya yang turut memberitahu, kos untuk melakukan pengebumian tradisional tersebut menelan belanja kira-kira RM5,000.

Gambar Belangkas