Showing posts with label TORNADO. Show all posts
Showing posts with label TORNADO. Show all posts

Sunday, June 28, 2015

HOBI MAUT - MENGEJAR TORNADO


Puting beliung atau lebih dikenali sebagai tornado menyebabkan banyak nyawa terkorban dan kemusnahan harta benda bernilai jutaan dolar pada setiap tahun di Amerika Syarikat (AS).


Tornado sangat digeruni penduduk AS kerana ia boleh muncul pada bila-bila masa dan membawa kemusnahan yang besar.

Bagaimanapun, terdapat segelintir golongan yang berpendapat tornado sesuatu yang unik dan menakjubkan walaupun memiliki kuasa pemusnah yang dahsyat.

Seorang daripada mereka adalah Blake Knapp, 35, yang bertahun-tahun cuba meramal dan mengejar tornado di seluruh AS.

Dengan bersenjatakan kamera digital, Knapp merakam gambar tornado yang menakjubkan.

Selepas puas mengejar tornado kini Knapp mahu berkongsi kegilaannya dengan sesiapa yang mengagumi fenomena alam luar biasa berkenaan.

Knapp menubuhkan sebuah syarikat pelancongan Weather Adventures Storm Chasing Tours yang menawarkan perkhidmatan mengejar tornado kepada sesiapa yang berminat merasai pengalaman berbahaya itu.

Dengan pakej lawatan selama 10 hari berharga serendah £2,300 (RM13,632) seorang, pelancong akan dibawa mengejar tornado di seluruh AS.

Bagi melihat tornado yang luar biasa, pelancong mungkin terpaksa menempuh pengembaraan sejauh 8,000 kilometer.

Knapp berharap, pelancong bukan sahaja dapat merakam gambar tornado yang menakjubkan tetapi turut membawa pulang pengalaman yang tidak dilupakan sepanjang hayat mereka.

Sejak menjadi pengejar tornado, Knapp pernah berdepan beberapa situasi yang mengancam nyawa kerana kesilapannya membuat keputusan.

Saya tidak dapat lupakan bunyi serpihan sampah menghentam kenderaan dan melihat ranting serta batang pokok disedut ke dalam tornado ketika saya melarikan diri daripada ribut.

Tiga rakan saya mati akibat terperangkap dalam tornado dan pengalaman itu memberikan saya perspektif berlainan terhadap kuasa alam itu.

“Pada hari pertama mengejar tornado saya sedar akibatnya amat buruk sekiranya melakukan kesilapan,” katanya.

Bagi Knapp, keselamatan adalah keutamaannya setiap kali membawa pelancong mengejar tornado.
“Secara visual, ribut sangat menakjubkan.

“Bukan hanya tornado tetapi struktur ribut itu sendiri sangat unik,” ujarnya.

Walaupun sangat cantik Knapp tidak pernah memandang rendah sesuatu ribut dan memperkecilkan kuasanya.

Knapp berkata, kerjayanya membolehkan dia menggabungkan minatnya dalam bidang fotografi, mengembara, alam sekitar dan cabaran dalam meramalkan cuaca buruk.

Tornado atau ribut mungkin terbentuk dalam waktu singkat sebelum ia hilang untuk selama-lamanya.

“Apabila saya merakam gambar ribut ia akan kekal sampai bila-bila,” jelasnya.

Tambahnya, dia akan mengambil langkah berjaga-jaga dan merancang dengan teliti untuk mengurangkan risiko bahaya dan memastikan pelancong dapat merakam gambar tornado yang menarik.

Kebanyakan tornado terjadi di kawasan Great Plains atau juga dikenali sebagai Lorong Tornado di tengah AS.

Kebiasaannya lawatan itu berlangsung ketika musim luruh hingga awal musim panas Mei dan Jun adalah bulan paling sibuk dalam kalendar pengejar tornado.

Kini apabila mempunyai syarikat pelancongan sendiri, saya boleh mengejar tornado dengan cara yang saya rasa paling selamat.

“Pengejar tornado sepatutnya berada jauh di depan ribut dan cuba mengurangkan risiko,” katanya.
Menurutnya, mengejar tornado tidak semestinya berdepan situasi bahaya seperti anggapan setengah pihak.

“Melihat kepulan awan kecil berkumpul membentuk awan yang dua kali lebih tinggi dari Gunung Everest dalam tempoh tidak sampai sejam sudah cukup menyedarkan anda betapa menakjubnya kejadian ribut itu,” ujarnya.

Jelasnya, dia berasa sangat puas apabila melihat impian pelancong untuk merasai pengalaman mengejar tornado tercapai.Saya sangat seronok dengan pekerjaan saya sebagai pemandu pelancong.

“Melihat mata pelancong yang bersinar selepas impian sepanjang hayat mereka tertunai adalah sesuatu yang tidak ternilai,” jelasnya.

Gambar Belangkas