Showing posts with label Harimau Jadian. Show all posts
Showing posts with label Harimau Jadian. Show all posts

Friday, July 4, 2014

KISAH HARIMAU JADIAN DI SEBALIK MASYARAKAT KERINCI


Masyarakat Kerinci baik di Sumatera, Indonesia dan Kuala Lumpur sejak dahulu lagi memang terkenal dengan sifat merendah diri dan tidak begitu menonjol berbanding dengan masyarakat keturunan Jawa, Minang dan lain-lain di negara ini.

Justeru, tidak hairanlah banyak kisah-kisah di sebalik masyarakat tersebut termasuk cerita-cerita misterinya semakin hilang dan menjadi rahsia.

Ini kerana orang-orang Kerinci yang berhijrah ke Tanah Melayu pada abad ke-19 telah lama meninggalkan amalan dan kepercayaan harimau jadian itu di Indonesia.


Kumpulan pertama yang sampai ke Bukit Nanas pada waktu itu ialah keluarga Abdullah Ahmad bersama isteri, Fatimah Arfah dan ipar duainya.

Abdul Hakam Jamaluddin, 29, generasi kelima keturunan Abdullah Ahmad, berkata, kajian tentang sejarah penghijrahan masyarakat Kerinci mendapati Abdullah merupakan seorang yang alim dan tinggi ilmunya tentang agama Islam.

"Penghijrahan masyarakat Kerinci ke Tanah Melayu disebabkan beberapa faktor iaitu peningkatan ekonomi keluarga untuk menunaikan haji di Mekah. Sebelum berhijrah ke sini, keluarga Abdullah memang tiada kaitan dengan cerita harimau jadian," katanya.

Terdapat sebuah cerita tentang harimau jadian dalam buku Perihal Orang Melayu yang ditulis oleh Sir Frank Swettenham.

Dalam buku tersebut, diceritakan tentang harimau jadian yang menjadi kepercayaan masyarakat Kerinci di Sumatera.

Menurut buku itu lagi, orang Kerinci memiliki kebolehan bertukar menjadi harimau untuk menjaga keluarga, kebun dan harta benda, tetapi ia disangkal oleh masyarakat Kerinci.

Persatuan Waris Kerinci Kuala Lumpur, Mohd. Husaimi Ismail, 60, berkata, kisah harimau jadian ini umpama kisah dongeng.

"Di Kerinci, Indonesia sana..., ada banyak harimau. Semuanya yang betul dan bukan jadian," seloroh Husaimi mengenai kisah tersebut.

Tambahnya, langsung tidak pernah berlaku di kawasan penempatan orang Kerinci di Malaysia mengenai penduduk atau sesiapa sahaja mampu bertukar menjadi harimau.

"Kami penduduk di sini tidak pernah percaya tentang wujudnya harimau jadian yang dianggap syirik ini.

"Saya rasa kisah ini jadi pelik sebab ia hanya dipercayai oleh orang lain," katanya.

Menurutnya lagi, jika ada pun, ia adalah amalan ilmu sihir yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Pendapat yang sama turut dizahirkan oleh Asril Sematludin yang berhijrah dari Indonesia ke Kuala Kubu Bharu pada 1970-an.

"Saya akui harimau jadian ini sering dikaitkan dengan orang Kerinci, tetapi itu cerita dahulu ketika masyarakat di sana belum memeluk Islam," katanya yang berasa sedikit hairan kerana kisah harimau jadian di Kerinci, Indonesia tidak lagi disebut seperti yang berlaku pada orang Kerinci di Malaysia.

Asril menambah: "Apabila saya datang ke sini (Malaysia), ceritanya lebih hangat berbanding di sana."

Selain itu, Asril yang dikenali sebagai Mamok Kincai Niang oleh masyarakat tempatan turut menyatakan kisah harimau jadian ini umpama cerita penglipur lara seorang pahlawan.

"Mungkin dahulu seseorang yang dianggap kuat dan bergelar pahlawan dikatakan mempunyai kuasa yang mampu mengubah dirinya menjadi harimau jadian.

"Justeru, untuk menjadikan dirinya dihormati dan digeruni maka diceritakan kebolehan yang tidak pernah dapat dilakukannya.

"Sekarang tiada lagi cerita harimau jadian, malah orang Kerinci (Abdullah Ahmad) yang menjadi peneroka di negara ini pun merupakan seorang yang alim dan mempunyai ilmu agama yang tinggi.

"Kalau disuruh ceritakan kebenaran dan bertukar menjadi harimau, pasti dia tidak dapat melakukannya," ujar Asril.

Petikan dari Utusan Melayu

Gambar Belangkas