Ohio– Seorang penduduk di sini terpaksa mengalihkan beberapa patung hantu yang diletakkan sebagai hiasan di depan rumahnya selepas mendapat aduan daripada orang ramai.
Penduduk tersebut, Jasen Dixon yang tinggal di kawasan kejiranan Sycamore dekat sini berkata, pihak majlis tempatan memberinya masa selama satu minggu untuk mengalihkan patung-patung berkenaan.
“Pihak berkuasa memberitahu terdapat dua aduan dibuat oleh orang ramai yang berasa tidak selesa dengan hiasan patung hantu di depan rumah saya ini.
“Mereka mengarahkan saya mengalihkan patung-patung ini kerana didakwa diletakkan di luar kawasan rumah dan mengganggu jalan raya berhampiran,” katanya.
Ujarnya, dia meletakkan patung-patung hantu itu sebagai salah satu cara untuk menarik perhatian orang ramai supaya melawat sebuah rumah hantu yang dimilikinya.
“Hiasan patung ini tidak mengganggu sesiapa tetapi saya akan mematuhi arahan pihak berkuasa itu,” jelasnya. – AGENSI