Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Saturday, November 15, 2014

UKM Di Tempat Ke-19 Senarai Universiti 'Top 50 Under 50'

PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan satu-satunya institusi di Malaysia yang tersenarai dalam ranking 'Top 50 Under 50' (50 teratas di bawah usia 50 tahun) QS.

Ia melonjak ke tempat ke-19 tahun ini daripada kedudukan 23 pada tahun lepas.

Ketua Unit Penyelidikan Kecerdasan QS, Ben Sowter berkata ranking universiti 'Top 50 Under 50' QS telah ditubuhkan sejak 50 tahun yang lalu.

"Sifat dinamik dalam kedudukan ini menjadikannya suatu perbandingan yang menarik dengan kedudukan global dan serantau.

"Memandangkan ranking ditentukan oleh umur, sesetengah institusi akan turun dari senarai sebaik sahaja mereka mencapai ulang tahun ke-50.

"Kami telah mempertimbangkan semua 800 universiti yang disenaraikan dalam QS World University Rankings 2013/14 untuk 'Top 50 Under 50'," katanya dalam satu temu bual melalui e -mel.

Sowter berkata kedudukan UKM meningkat kerana University of Warwick dan University of Lancaster, kedua-duanya di Britain, dan Universiti Macquarie di Australia terkeluar dari senarai selepas melepasi ulangtahun ke-50 mereka.

Beberapa universiti yang disenaraikan sebelum UKM pada tahun lepas juga secara keseluruhannya telah terkeluar daripada ranking.

Universiti Warwick berada di tempat ketiga pada 2013.

'Top 50 Under 50' QS disusun oleh QS Quacquarelli Symonds, yang juga menghasilkan Ranking Universiti Dunia tahunan.

Sowter berkata '50 Top Under 50' adalah berdasarkan kaedah yang digunakan untuk menyusun kedudukan ranking universiti dunia tahunan QS yang terdiri daripada reputasi akademik dan majikan, nisbah fakulti - pelajar, pelajar antarabangsa dan fakulti antarabangsa.

"Dalam industri di mana sejarah yang lebih panjang sering dilihat sebagai lebih wajar, universiti yang telah ditubuhkan jauh lebih lama sering memegang kelebihan reputasi berbanding institusi yang lebih muda," katanya.

Sowter berkata senarai itu bertujuan mengesan kuasa pendidikan tinggi pada masa akan datang di arena global dengan memberi tumpuan kepada prestasi institusi muda.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata beliau gembira apabila mengetahui bahawa UKM telah disenaraikan dalam 'Top 50 Under 50' QS.

"Ia akan menjadi berita baik untuk semua orang di UKM," katanya.

Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong mendahului 'Top 50 Under 50' QS tahun ini, diikuti Universiti Teknologi Nanyang, Korea Advanced Institute of Science and Teknologi dan City University of Hong Kong.

Untuk maklumat lanjut, sila layari topuniversities.com/50under50. - mStar Online

5 produk ciptaan UniSZA sertai pameran reka cipta di Geneva

KUALA TERENGGANU: Lima produk ciptaan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) akan menyertai Pameran Reka Cipta Antarabangsa di Geneva pada 2 hingga 6 April depan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Unisza, Profesor Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, kelima-lima produk itu telah memenangi pingat emas di Pameran Ciptaan, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa di Kuala Lumpur pada Mei lepas.

"Kelima-lima produk ini mempunyai kekuatan dan keunikannya yang tersendiri untuk manfaat masyarakat dan industri merangkumi bidang pendidikan, agama, kesihatan dan persekitaran.

"Harapan kita memenangi mana-mana kategori dalam pameran itu dan berharap ia akan mencetus lebih banyak hasil kajian dan penyelidikan oleh warga Unisza," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Minggu Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi 2014 di sini.

Antara lima produk itu ialah permainan interaktif pendidikan untuk kanak-kanak pesakit sawan, alat pencegahan mengesan banjir, pembelajaran ibadah umrah bagi umat Islam dan sistem data untuk pemarkahan dalam peperiksaan universiti.

Mengulas mengenai minggu penyelidikan itu, Dr Mohd Ekhwan berkata, pihaknya bercadang menganjurkannya secara bersama dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang lain dalam skala lebih besar pada masa akan datang.

Menurutnya Unisza tidak akan mengehadkan hasil kajian penyelidikan warganya semata-mata untuk memenuhi keperluan industri, sebaliknya membuka ruang kepada mereka untuk terus berkarya tanpa had. - mStar Online

USM cipta kit pengesan punca karat 18 kali lebih pantas

GEORGE TOWN: Kit pengesan bakteria punca karat yang dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) dijangka dapat menjimatkan kos penyelenggaraan industri minyak dan perkapalan yang pada masa ini mencecah berbilion ringgit.

Ketua penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan dan Elektronik USM, Dr Zaini Abdul Halim berkata, ini kerana kit itu berupaya mengesan bakteria tersebut 18 kali ganda lebih pantas berbanding teknik konvensional.

"Pengaratan besi dipengaruhi mikrob dikenali sebagai bakteria penurun sulfat. Pertumbuhannya perlahan, justeru kaedah pantas untuk mengesan kehadirannya lebih awal adalah perlu bagi mengelakkannya daripada terus membiak dan menyebabkan kerosakan lebih besar," katanya kepada pemberita, di sini, Jumaat.

Beliau berkata, kaedah konvensional bertumpu kepada aktiviti pertumbuhan bakteria menerusi pengambilan sampel dari kawasan yang dipercayai tercemar dan kaedah itu mengambil masa sehingga 18 jam sebelum beroleh keputusan.

Menerusi kit ciptaan penyelidik kami, bakteria boleh dikesan dalam tempoh sejam menggunakan sensor yang berkepekaan pada 5ppm (partikel per sejuta) dan boleh dipercepatkan kepada beberapa minit dengan penggunaan sensor yang lebih sensitif serendah 0.05ppm, katanya.

Beliau menambah, pihaknya mengambil masa empat tahun untuk menghasilkan prototaip itu dengan kos penyelidikan RM280,000.

Kini produk ini sudah sedia untuk dikomersialkan dan USM mempelawa mereka yang berminat membuat tawaran, katanya.

Menurut Zaini, inovasi itu ialah yang pertama di Malaysia dan produk tersebut memenangi anugerah emas dalam Ekspo Teknologi Malaysia 2014 yang berlangsung di Kuala Lumpur bulan lepas. - mStar Online

UniRazak Tawar Ijazah Sarjana Berganda Melalui IBSA

KUALA LUMPUR: Penuntut ijazah sarjana Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), salah sebuah daripada universiti swasta terkemuka di Malaysia yang menawarkan pelbagai ijazah MBA pengkhususan tinggi selain dalam Kewangan Islam Global, kini berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada program International Business School Alliance (IBSA).

IBSA, yang diasaskan pada 2003, merupakan sebuah rangkaian yang berkembang dinamik menawarkan ijazah sarjana berganda dan merupakan satu perkongsian antara tujuh buah universiti dari seluruh dunia menawarkan pengkhususan tersendiri.

“Perintisnya ialah Amerika Syarikat dan Jerman dan kami pula menyertai konsortium ini dua tahun yang lepas,” kata Sekutu Akademik dan Pengarah Program MBA Global UniRazak Prof Dr Barjoyai Bardai kepada Bernama.

Anggota-anggota lain konsortium ini termasuk Bremen University of Applied Sciences, Jerman (pengkhususan: Logistik Antarabangsa dan Pengurusan Rantaian Bekalan), University of North Carolina, Wilmington, Amerika Syarikat (Kewangan Antarabangsa dan Pelaburan), Advancia-Negocia, Perancis (Pembangunan Perniagaan Antarabangsa), Universitat de Valencia, Sepanyol (Pemasaran Antarabangsa), University of Hertfordshire, United Kingdom (Pengurusan Sumber Manusia) dan Sekolah Perniagaan Antarabangsa, Russia (Pengurusan Antarabangsa Ekonomi-ekonomi dalam Peralihan dan Pasaran Sedang Muncul).

Malaysia merupakan satu-satunya negara untuk turut serta dalam program-program IBSA di Asia. Terdapat rancangan untuk memperluas IBSA ke Amerika Selatan, China dan Jepun.

KURSUS-KURSUS TERAS BERSAMA

Di bawah IBSA, kesemua universiti bekerjasama untuk menawarkan program khusus dengan sukatan kursus yang sama ditawarkan oleh kesemua universiti ini pada semester pertama.

Bermula semester kedua penuntut boleh memulakan pengkhususan yang ditawarkan oleh setiap universiti dan di semester terakhir mereka perlu menyiap dan mengemukakan kertas projek untuk ditawarkan ijazah oleh kedua-dua universiti.

Para penuntut yang berdaftar dengan UniRazak pada semester pertama boleh merancang untuk mengkhusus dalam bidang-bidang yang ditawarkan oleh konsortium itu selain daripada Kewangan Islam Global di semester kedua dan ketiga di mana-mana universiti itu.

Ketiga-tiga semester boleh ditamatkan dalam tempoh 12 bulan.

“Sebagai contoh, kami mempunyai seorang penuntut dari Mexico. Beliau menghabiskan semester pertama di Bremen, dan kemudian datang ke sini untuk mengkhusus dalam Kewangan Islam Global. Buat masa ini beliau berada di Mexico untuk menjalankan penyelidikan,” kata Barjoyai.

Di akhir pengajian itu, para penuntut akan menerima ijazah sarjana berganda – satu daripada universiti di mana mereka menghabiskan semester pertama, dan sebuah lagi daripada universiti di mana mereka menjalani pengkhususan.

Ini mungkin kerana pemindahan kredit antara program-program universiti, jelas Barjoyai.

TREND SELURUH DUNIA

Aliran dalam pembelajaran global kini adalah kerjasama antara universiti-universiti untuk menawarkan program-program bersama yang membenarkan pembelajaran dalam persekitaran global yang kompetitif dan pada masa yang sama menimba pengalaman merentasi pelbagai budaya.

“Selaras dengan aliran semasa dalam pendidikan global, kami juga meninjau kemungkinan untuk memperluaskan inisiatif-inisiatif seperti ini bagi program sarjana dengan universiti-univeriti lain,” katanya.

KURSUS DINAMIK

Universiti-universiti yang mengambil bahagian bertemu dua kali setip tahun untuk membincangkan pembangunan kurikulum, pentadbiran serta aspek strategik yang lain.

Kesemua kursus teras dibangunkan bersama untuk menunjukkan persekitaran perniagaan global yang dinamik.

Kursus-kursus khusus ini akan dibangunkan oleh setiap institusi rakan berdasarkan kepada kepakaran masing-masing.

“Bagi saya program ini merupakan satu gerbang ke universiti-universiti global. Sebagai contoh, penuntut yang mahu ke Amerika Syarikat mengikut laluan lazim perlu menduduki GMAT, GRE, dan TOEFL dan mereka hanya boleh memohon jika mendapat markah yang baik.

“Tetapi bersama rangkaian IBSA dan standard pengambilan penuntut yang seragam, seorang penuntut boleh diterima masuk ke mana-mana satu daripada universiti rakan termasuk UniRazak dan belajar Kewangan Antarabangsa di Amerika Syarikat. Syarat masuk seragam memudahkan kemasukan ke universiti-universiti rakan,” tambah Barjoyai.

PROGRAM-PROGRAM CERUK

Sementara itu, MBA dalam Kewangan Islam Global yang ditawarkan oleh UniRazak menerusi rangkaian IBSA merupakan yang pertama seumpamanya daripada segi pengalaman pembelajaran antarabangsa di negara rakan universiti dan UniRazak di Malaysia.

“Kami memilih Kewangan Islam sebagai pilihan kepada pengkhususan lain memandangkan Malaysia merupakan perintis dalam hab kewangan Islam, bersama kepakaran tempatan dan institusi untuk menyokong kami,” jelas Barjoyai.

MBA dalam Kewangan Islam Global merupakan sebuah program berorientasi industri, bersama input industri yang relevan pasti menjadi tarikan kepada para profesional dan pakar industri oleh kerana bentuk unik program itu serta pembangunannya.

Para penuntut dijangka menjalankan projek penyelidikan berkaitan dengan industri yang berkenaan sebagai sebahagian daripada desertasi mini mereka.

“Bersama tawaran pengkususan ini, UniRazak berharap untuk menggamit mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat kewangan Islam menerusi pendedahan dalam program graduan antarabangsa," katanya.

UNIVERSITI BUTIK

Sebagai universiti butik, UniRazak menawarkan program ijazah khusus sebagai tawaran akademik ceruk di peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan.

Ia juga menempatkan program ini sebagai sebagai sebuah program tambah nilai tinggi bagi mereka yang belajar sendiri dan mereka yang bersemangat keusahawanan dan sedia berinovasi untuk berada di hadapan.

Eksekutif-eksekutif berpotensi tinggi daripada industri merupakan sasaran program ini.

Pada masa yang sama kakitangan akademik berkelayakan tinggi dan para profesional yang mengajar mereka disediakan untuk berkongsi pengalaman akademik dan industri.

Bersama ijazah berganda, pengalaman belajar merentasi budaya, dan pengetahuan khusus yang diperolehi menerusi MBA, termasuk program MBA Kewangan Islam Global di UniRazak, penuntut dikenakan yuran dalam matawang Euro yang mampu bagi mereka yang mahu melabur dalam pendidikan berkualiti tinggi.

Program-program khusus MBA lain yang ditawarkan oleh UniRazak adalah MBA dalam Perucitan dan Pasaraya Hiper - sebuah program khusus yang disediakan untuk menampung keperluan para eksekutif dan pengurus dalam kedua-dua sektor ini, MBA dalam Pengurusan Khidmat, dan MBA dalam Kepimpinan yang membantu mengurus bakat korporat dan barisan pelapis. - mStar Online

USIM Raih Pingat Pameran Inovasi British 2014 di London

NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memenangi dua pingat emas dan satu pingat perak dalam pertandingan inovasi antarabangsa di Pameran Inovasi British (BIS) 2014, di London baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefah berkata, USIM menang 'Gold Medal for Best Invention of The Year' dan 'Special Double Gold Award Invention of The Year' bagi produk ciptaan membran jenis baharu iaitu 'Novel Active Membrane for Dyes Wastewater' (ANF Membran) yang dicipta oleh kumpulan IMTL.

"Pingat perak pula dimenangi bagi produk 'Crushy Snack Bar' yang dicipta oleh kumpulan Authen6," katanya dalam sidang media yang diadakan di sini hari ini bagi mengumumkan kemenangan itu.

Mustafa berkata pihak universiti juga merancang untuk mengkomersialkan produk ciptaan pelajarnya, contohnya produk 'Crushy Snack Bar' yang telahpun ada pihak yang berminat mengkomersialkannya.

"'Crushy Snack Bar' adalah sejenis pemakanan tinggi serat menggantikan makanan ringan yang berkonsepkan mudah dimakan, kering dan cukup kecil untuk dimasukkan ke dalam poket," katanya.

Produk ciptaan kumpulan IMTL, ANF Membran yang berfungsi sebagai alat komponen penapis dalam kegunaan industri tekstil dan makanan meraih 99.6 markah mengalahkan 119 peserta membabitkan lebih 10 negara.

BIS yang diadakan di Pusat Pameran Barbican, United Kingdom dari 22 hingga 25 Oktober diadakan bertujuan mengetengahkan pelbagai jenis ciptaan yang mampu menjana peluang perniagaan melalui pelbagai jenis inovasi dan ciptaan. - mStar Online

Dr Mustafa bersama pelajar Usim (dari dua kiri), Riaz Asma'a Saari, Nur Hidayah Hassan dan Nur Hafez Asyreem yang berjaya meraih pingat emas di dalam pertandingan inovasi antarabangsa, BIS di United Kingdom baru-baru ini, ketika mengadakan sidang akhbar mengenai kejayaan itu di Usim dekat sini.
Turut serta ialah Penyelidik Bersama Dr Hafez Mohd Isa (kiri) dan Penyelidik Prinsipal Usim Dr Abdul Rahman Hassan (kanan).

Hospital UniSZA Kuala Terengganu bakal siap pada 2015

Pembinaan Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membuka lembaran baru terhadap sektor pendidikan sains kesihatan di Terengganu yang akan menjadi teras kegemilangan ke arah usaha melahirkan lebih ramai pakar perubatan dalam negara.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pada masa sama menjadi penanda aras penting untuk perancangan penjagaan kesihatan negara yang sangat dititikberatkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, pembinaan hospital UniSZA ini memberi dua manfaat iaitu penjagaan kesihatan rakyat dan kemudahan untuk mempertingkatkan lagi keupayaan penyelidikan perubatan pelajar di universiti ini.

“Terengganu sangat fokus dalam bidang pendidikan khususnya melahirkan pakar perubatan dalam pelbagai jurusan kerana ia adalah keperluan kritikal tenaga mahir di negara ini.

“Selaras dengan itu, adalah menjadi hasrat kerajaan Terengganu untuk melihat suasana di hospital yang sangat kondusif dan patuh syariah di mana doktor wanita merawat pesakit wanita dan doktor lelaki merawat pesakit lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Hospital Pengajar UniSZA, di perkarangan universiti itu, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak.

Hadir sama, Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari ; Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Yahaya Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Projek Kerajaan Pusat itu melibatkan 400 katil keseluruhan yang akan dilaksanakan secara dua fasa membabitkan kos RM350 juta bagi menyediakan 200 katil bagi fasa pertama menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 dan 200 katil lagi bagi fasa kedua (RMK11).

Kos pembinaan hospital yang memiliki kemudahan dan teknologi setanding hospital pakar lain di Malaysia itu, dianggarkan bernilai kira-kira RM600 juta di kawasan seluas 20.2 hektar dan dijangka siap menjelang akhir 2017 selepas kerja pembinaan bermula suku ketiga tahun ini.

Ahmad Razif turut memberitahu, keperluan Terengganu untuk memiliki sebuah hospital baru adalah amat mendesak, malah kekurangan tempat latihan klinikal serta nisbah bilangan pesakit kepada pelajar juga terhad.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan proses penyampaian pengajaran dan pembelajaran semasa latihan klinikal tidak menepati keperluan yang ditetapkan oleh Malaysia Quality Assurance (MQA).

“Sebelum ini hanya Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menjadi tempat latihan klinikal terutama pelajar Program Sarjana Muda Perubatan & Pembedahan (MBBS) universiti itu, selain turut dikongsi bersama Kolej Islam Sains dan Teknologi dan Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI),” katanya. - teganukita.my

Jadual lengkap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014

Buat adik-adik yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 pada tahun ini, diharap anda semua dapat menjawab dengan tenang dan mendapat keputusan yang cemerlang. InsyaAllah. Dapatkan jadual lengkap peperiksaan SPM 2014 dibawah untuk panduan anda semua. Semoga berjaya!

Jadual Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014

Gambar Belangkas