Saturday, November 15, 2014

Hospital UniSZA Kuala Terengganu bakal siap pada 2015

Pembinaan Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membuka lembaran baru terhadap sektor pendidikan sains kesihatan di Terengganu yang akan menjadi teras kegemilangan ke arah usaha melahirkan lebih ramai pakar perubatan dalam negara.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pada masa sama menjadi penanda aras penting untuk perancangan penjagaan kesihatan negara yang sangat dititikberatkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, pembinaan hospital UniSZA ini memberi dua manfaat iaitu penjagaan kesihatan rakyat dan kemudahan untuk mempertingkatkan lagi keupayaan penyelidikan perubatan pelajar di universiti ini.

“Terengganu sangat fokus dalam bidang pendidikan khususnya melahirkan pakar perubatan dalam pelbagai jurusan kerana ia adalah keperluan kritikal tenaga mahir di negara ini.

“Selaras dengan itu, adalah menjadi hasrat kerajaan Terengganu untuk melihat suasana di hospital yang sangat kondusif dan patuh syariah di mana doktor wanita merawat pesakit wanita dan doktor lelaki merawat pesakit lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Hospital Pengajar UniSZA, di perkarangan universiti itu, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak.

Hadir sama, Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari ; Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Yahaya Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Projek Kerajaan Pusat itu melibatkan 400 katil keseluruhan yang akan dilaksanakan secara dua fasa membabitkan kos RM350 juta bagi menyediakan 200 katil bagi fasa pertama menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 dan 200 katil lagi bagi fasa kedua (RMK11).

Kos pembinaan hospital yang memiliki kemudahan dan teknologi setanding hospital pakar lain di Malaysia itu, dianggarkan bernilai kira-kira RM600 juta di kawasan seluas 20.2 hektar dan dijangka siap menjelang akhir 2017 selepas kerja pembinaan bermula suku ketiga tahun ini.

Ahmad Razif turut memberitahu, keperluan Terengganu untuk memiliki sebuah hospital baru adalah amat mendesak, malah kekurangan tempat latihan klinikal serta nisbah bilangan pesakit kepada pelajar juga terhad.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan proses penyampaian pengajaran dan pembelajaran semasa latihan klinikal tidak menepati keperluan yang ditetapkan oleh Malaysia Quality Assurance (MQA).

“Sebelum ini hanya Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menjadi tempat latihan klinikal terutama pelajar Program Sarjana Muda Perubatan & Pembedahan (MBBS) universiti itu, selain turut dikongsi bersama Kolej Islam Sains dan Teknologi dan Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI),” katanya. - teganukita.my

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas