Thursday, November 13, 2014

Sejarah Baru Tercipta Manusia Mendaratkan Modul Dipermukaan Komet

DARMSTADT (Jerman): Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) mencatatkan satu sejarah baru kemanusiaan apabila berjaya mendaratkan robot angkasa yang dinamakan Philae di atas permukaan Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko yang dipercayai berusia 4.5 bilion tahun pada lewat Rabu.

Ia adalah kejayaan yang pertama seumpamanya. Belum pernah sebuah modul buatan manusia mendarat di atas mana-mana permukaan komet.

Komet adalah objek yang berterbangan di ruang angkasa yang mengembara mengelilingi matahari dan merupakan serpihan daripada saki baki pembentukan planet di dalam Sistem Suria kita.

Sistem Suria kita mempunyai 8 planet.

Philae dilancarkan dari sebuah kapal angkasa kecil tanpa manusia bernama  Rosetta yang telah mengembara sejauh 6.4 bilion kilometer di ruang angkasa selama 10 tahun mengejar Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko dalam misi bersejarah ini. Rosetta dilancarkan pada Mac 2004.

Kos melancarkan misi ini bernilai £1 bilion (RM5.24 bilion).

Selepas 10 tahun di ruang angkasa Rosetta berjaya menghampiri Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko pada jarak 100 kilometer pada 6 Ogos lalu. Sejak itu Rosetta mengobit komet berkenaan.

Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko bergerak pada kelajuan 55,000km/jam (atau 15km sesaat) dan ia kini berada pada jarak 510 juta kilometer dari Bumi.

Ia dijadualkan berada paling hampir dengan matahari menjelang Ogos tahun depan. Pada waktu ini permukaannya akan menjadi tersangat panas dan mencairkan debu ais yang menutupi permukaannya.

Fakta Mengenai Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko:

1. Pertama kali ditemui pada 1969 oleh dua orang ahli kaji bintang Klim Churyumov dan Svetlana Gerasimenko.
2. Komet ini mengelilingi matahari dan membuat satu pusingan lengkap setiap 6.5 tahun.
3. Mengembara antara orbit Planet Jupiter dan Bumi.
4.  Mempunyai kelebaran seluas 4km.
5. Mempunyai rupabentuk seperti seekor itik plastik.
6. Suhu permukaan sekitar -70 darjah Selsius.
7. Kandungan komet ini terdiri daripada batu, debu dan ais.
8. Membuat putaran lengkap setiap 12.4 jam.
9. Kepadatannya sekitar 10 bilion tan.

Pada Rabu, 12 November Rosetta menghampiri komet tersebut pada jarak 1km dan melepaskan Philae yang hanya bersaiz sebuah peti sejuk.

Philae mengambil masa tujuh jam untuk mendarat.

Sebaik sahaja ia menghampiri permukaan komet, Philae menembak dua bilah lembing besar atau harpoon yang berfungsi sebagai sauh untuk memastikan ia tidak kembali terapung memandangkan daya graviti yang lemah di atas permukaan komet tersebut.

Malangnya laporan terbaru yang diterima oleh ESA bagaimanapun menunjukkan tembakan harpoon itu tidak berjaya sepenuhnya.

ESA masih menunggu isyarat daripada Rosetta mengenai nasib Philae pada masa berita ini dimuat naikkan.

Pengurus Pendaratan Philae di ESA, Dr Stephan Ulamec dipetik oleh BBC sebagai berkata: "Ada kemungkinan robot Philae tidak mendarat sekali tetapi dua kali kerana selepas harpoon yang bertindak sebagai sauh gagal berfungsi dengan sempurna Philae melambung ke ruang angkasa sekali lagi sebelum kembali mendarat atas tarikan gaya graviti."

ESA yakin Philae berada dalam keadaan stabil berdasarkan isyarat yang ia hantar ke kapal angkasa Rosetta buat masa ini.

Ketua Pengarah ESA, Jean-Jacques Dordain menyifatkan kejayaan mereka mendaratkan modul di atas permukaan komet itu sebagai satu kejayaan besar dan bersejarah dalam ketamadunan manusia.

Ini kerana buat pertama kalinya manusia dapat mengkaji secara langsung usia pembentukan Sistem Suria yang selama ini dianggarkan berusia 4.5 bilion tahun.

Planet yang terbentuk di sekeliling matahari telah melalui pelbagai proses kematangan dan perubahan fizikal sejak kewujudannya tetapi komet yang bertaburan dan berjumlah berbilion buah itu di ruang angkasa dipercayai kekal dalam bentuk asalnya sebaik sahaja Sistem Suria terbentuk.

Sebab itulah ia dianggap sangat penting untuk kajian bagi mengenalpasti berapakah usia Sistem Suria kita dalam Galaksi Bima Sakti.

Saintis juga selama ini percaya kepada teori yang kewujudan air di atas permukaan Bumi sebenarnya berasal dari serpihan komet. Ini kerana komet membawa bersama-samanya kandungan ais yang banyak disebabkan pengembaraannya yang jauh dari matahari di dalam Sistem Suria dan ais itu mula mencair menjadi air ketika ia menghampiri matahari.

Jika salah satu daripada berbilion buah komet yang terdapat di ruang angkasa terhempas di atas permukaan Bumi berbilion tahun dahulu, sudah pastinya ia akan membawa bersama-samanya kandungan ais yang banyak sekaligus membentuk lautan kecil.

Bersama air, datang kehidupan yang lain.

Jika segalanya berjalan lancar dan tidak mengalami sebarang kerosakan besar, Philae dijadualkan untuk terus berfungsi selama setahun di permukaan Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko.

Ujiannya yang terbesar ialah sejauh manakah ia mampu bertahan pada suhu permukaan melebihi 500 darjah Selsius sebaik sahaja komet ini menghampiri matahari pada jarak yang paling dekat menjelang Ogos 2015. - mStar Online

Kapal angkasa Rosetta mengambil selfie dengan berlatarbelakangkan Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko ketika ia menghampiri komet itu sejurus sebelum melancarkan robot kecil bersaiz sebuah peti sejuk ke permukaan komet. Inilah pertama kalinya manusia berjaya mendaratkan sebuah modul di atas permukaan sebuah komet yang bergerak pada kelajuan 15km sesaat di angkasa lepas.

Philae mendarat di permukaan komet berkeluasan 4 kilometer.

Keadaan permukaan komet yang berjaya dirakamkan semasa pendaratan Philae.

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas