Saturday, November 15, 2014

Format kejohanan kapal layar Piala Monsun 2014 diubah

Format kejohanan kapal layar antarabangsa Piala Monsun akan diubah mulai tahun ini dengan peringkat pertama dikenali sebagai Piala Monsun Terengganu di Pulau Duyong, Terengganu dari 19 hingga 22 Nov ini.

Perlumbaan tersebut melibatkan pelayar utama dari Asia Pasifik memburu tempat ke kejohanan utama dikenali sebagai Piala Monsun Malaysia di Johor dari 10 hingga 14 Februari 2015.

Pemegang hak kejohanan, Innovatige Sdn. Bhd., dalam kenyataan hari ini, berkata Piala Monsun Malaysia akan menampilkan 12 pasukan termasuk juara Piala Monsun Terengganu dan pasukan baharu, 1Malaysia Match Racing.

Piala Monsun Malaysia merupakan sebahagian daripada siri Jelajah Dunia Match Racing Alpari (AWMRT).

Pengerusi Innovatige, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim berkata pembentukan pasukan 1Malaysia Match Racing itu akan memberi pelayar tempatan peluang untuk bersaing dan mempelajari daripada pelayar bertaraf dunia khusus daripada rant au Asia Pasifik.

Malaysia sebagai satu-satunya destinasi jelajah dunia AWMRT, dua venue iaitu Terengganu dan Johor akan menambah tarikan kepada kejohanan ini, kata Tunku Jalil.

Menurutnya pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Perahu Layar Malaysia (MYA) dan kerajaan negeri masing-masing untuk memastikan acara itu dianjurkan dengan jayanya.

Innovatige menandatangani perjanjian hak penganjuran Piala Monsun Malaysia pada April 2013 dengan pemegang francais AWMRT Alpari, Pro Match Tour Ltd.

Sebagai rekod, acara tahunan Piala Monsun diadakan di Pulau Duyong sejak 2005. - teganukita.my

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas