Showing posts with label Aneh. Show all posts
Showing posts with label Aneh. Show all posts

Thursday, August 27, 2015

KAMI TAK PERNAH TAKUT DENGAN HANTU


Menghalau hantu memang kerjaya yang pelik dan menakutkan. Tetapi itulah yang dilakukan pasangan suami isteri Ed dan Lorraine Warren sejak awal 1950-an.


Lebih menarik lagi, kisah mereka yang terkenal seperti kes Amityville pada 1976 dijadikan filem dan yang terbaru, The Conjuring dan Annabelle.

Filem The Conjuring dan Annabelle mengisahkan mengenai anak patung Raggedy Anne yang dinamakan Annabelle dan patung asal itu kini antara koleksi yang masih dalam simpanan Lorraine di rumahnya di Monroe, Connecticut, Amerika Syarikat bersama ribuan barangan lain.

Koleksi mereka boleh dianggap sebagai muzium ilmu ghaib terbesar di dunia. Pasangan itu berkata, kaedah menghalau hantu yang mereka amalkan bukan sekadar berdasarkan amalan dan kepercayaan agama, tetapi juga bersandarkan sains.

Mereka mengasaskan Persatuan Kajian Psikik New England pada 1952 dan mendakwa berjaya menyelesaikan lebih 10,000 kes sejak 60 tahun lalu. Laman Facebook mereka turut mendedahkan sedikit sebanyak cara mereka bekerja.

Ed pernah berkata: “Tak perlulah cuba menipu kami bahawa rumah kamu berhantu. Saya berupaya merasakannya jika benar.” katanya.

Ed meninggal dunia pada 2006, tetapi Lorraine yang kini berusia 80-an masih bekerja menghalau hantu. Rumah pasangan itu mempunyai pelbagai kenangan pelik, menarik dan menggerunkan.

Antaranya cermin yang kononnya digunakan untuk menyeru makhluk ghaib, organ yang bermain dengan sendirinya serta batu nisan kanak-kanak yang digunakan untuk upacara pemujaan.

Pelbagai topeng, peralatan voodoo dan barangan dari Afrika serta Mesir juga boleh dilihat di situ.








Tuesday, August 18, 2015

PERTANDINGAN `SELFIE DENGAN SI MATI` AGAK MELAMPAU


Polis Russia semalam mula menyiasat satu pertandingan menerusi media sosial popular negara itu yang menawarkan hadiah untuk ‘selfie terbaik dengan mayat.’

Satu komuniti dalam VK, versi Facebook di Russia dengan 70 juta pengguna, mempelawa ahlinya memuat naikkan gambar selfie dengan mayat dan menawarkan hadiah wang tunai kepada gambar terbaik, kata polis, semalam.

Komuniti itu yang menggelar diri mereka ‘Selfie Dengan Si Mati’ menjanjikan hadiah antara 1,000 dan 5,000 rouble (RM60 dan RM300) untuk gambar terbaik.

Pentadbir kumpulan itu meletakkan syarat bahawa mereka yang merakam selfie perlu tersenyum kerana si mati sudah ‘berpindah ke alam lebih baik.’

Laman ‘Selfie Dengan Si Mati’ itu dipenuhi gambar mereka yang berselfie di sisi mayat.







Friday, August 14, 2015

SEPAK KEPALA SENDIRI UNTUK PECAH REKOD DUNIA


Kathmandu (Nepal): Seorang pemuda berusia 20 tahun diisytiharkan pemegang rekod dunia untuk kategori menyepak kepala sendiri paling banyak di dunia.


Puskar Nepal menggunakan teknik luar biasa untuk menyepak dahinya dengan menggunakan kedua-dua belah kaki sebanyak 134 kali dalam tempoh 60 saat.

Dia mencipta rekod itu pada Disember tahun lalu, tetapi baru diiktiraf Buku Rekod Guinness minggu lalu.

Pelajar dari daerah Sindhupalchowk itu berkata, dia bercita-cita mencipta rekod kerana mahu terkenal di seluruh dunia.

Saya terbaca mengenai kategori menyepak kepala sendiri dan yakin saya mampu memecahkan rekod berkenaan.

“Saya berlatih selama sembilan bulan dan mencipta teknik unik ini yang membolehkan saya menyepak kepala sendiri dengan menggunakan kedua-dua belah kaki,” katanya.

Menurutnya, ramai rakan dan keluarganya bimbang dia cedera kerana terpaksa membongkok selama seminit untuk melakukan aksi itu.

“Saya gembira apabila berjaya memecah rekod ini dan menjadikan diri saya terkenal di seluruh dunia,” katanya.

Rekod sebelum ini dipegang seorang lelaki Amerika Syarikat, Joel Leindecker yang menyepak kepalanya 127 kali dalam tempoh se minit.

Tuesday, August 11, 2015

JUMPA ANAK ULAR TEDUNG BERKEPALA DUA


Walaupun tidak makan atau minum, seekor anak ular tedung berkepala dua yang dilahirkan dua minggu lalu masih hidup dan membesar.


Seorang penternak ular di sini, Huang Pan berkata, dia menemui anak ular tedung berkepala dua berkenaan ketika membersihkan telur ular di ladangnya.

Menurutnya, dia memberi tumpuan terhadap anak ular berkenaan, tetapi bimbang ia tidak boleh hidup lebih lama kerana masih tidak makan atau minum sejak dilahirkan.

Katanya, demi keselamatan ular itu, dia menyerahkannya kepada zoo di Nanning yang diharapkan dapat menjaga haiwan itu dengan baik.

Pegawai zoo, Li Keqi berkata, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada ular itu akan hidup lebih lama walaupun keadaannya stabil ketika ini.

Penemuan anak ular berkepala dua pernah dilaporkan sebelum ini, tetapi kebanyakannya mati tidak lama selepas dilahirkan.

Sunday, August 2, 2015

LELAKI DI TEMUI MATI SELEPAS `MENUNAIKAN HAJAT` DI BAHU JALAN


Seorang lelaki yang dipercayai mengalami gangguan misteri ketika membuang air kecil di tepi jalan sebelum berlari ke hutan Semanju, Lubok Antu, di sini, Khamis lalu ditemui mati di dalam hutan itu, semalam.


Mayat Bong Sze Hiun, 47, dari Kampung Temudok, Sri Aman ditemui dalam keadaan terbaring tanpa sebarang kesan kecederaan oleh pasukan penyelamat bersama penduduk kampung jam 11 pagi.

Dalam kejadian jam 2.30 petang Khamis lalu, Bong menaiki lori bersama dua rakan dan dalam perjalanan pulang ke Sri Aman dari Lubok Antu.

Sumber berkata, lori berkenaan kemudian berhenti di tepi jalan sebelum Bong turun untuk membuang air kecil.

Selepas membuang air kecil, Bong yang turun dari lori berseorangan tiba-tiba berkelakuan pelik dengan berjalan kira-kira 150 meter ke jalan utama dan terus meniarap hingga hampir dilanggar kenderaan yang melalui kawasan itu.

Friday, July 31, 2015

JIWA KENTAL SI PEMBURU BELANGKAS DAN ALAM GHAIB


Pontian: Selain cabaran cuaca yang boleh berubah pada bila-bila masa serta selut yang dalam, penangkap belangkas di pesisir pantai di daerah ini juga perlu mempunyai keberanian dan kekentalan mental apabila berdepan dengan kejadian mistik ketika melakukan aktiviti itu di tengah malam atau awal pagi.


Itu yang dilalui Hashim Abd Manaf, 58, yang menjadikan aktiviti menangkap belangkas di pesisiran Pantai Rambah, di sini sebagai punca pendapatan utama sejak empat tahun lalu.

Menurut Hashim, kebiasaannya dia turun ke pantai yang terletak lima kilometer dari rumahnya di Kampung Haji Ashari, Telok Kerang, di sini untuk menangkap belangkas bermula tengah malam hingga awal pagi.

Menempuhi cuaca sejuk dan mengharungi selut yang dalam adalah perkara biasa dan boleh dihadapi kebanyakan penangkap belangkas, namun tidak ramai yang mampu berdepan perkara ghaib atau mistik yang menyeramkan.

Kadang-kadang kita sangka orang yang menyapa ketika dalam keadaan gelap itu rakan, tetapi sebenarnya ternyata tidak ada sesiapa berdekatan kita ketika itu.

Thursday, July 23, 2015

300 OBJEK SEPERTI KUIL BOROBODUR DI TEMUI DI TANJUNG BALAU


KOTA TINGGI - Lebih 300 objek misteri yang menyerupai ukiran pada kuil Borobodur, di Jawa Tengah, Indonesia ditemui di atas batu di pantai Tanjung Balau dekat sini semalam.
    

Sesetengah penduduk setempat berkata objek dalam pelbagai warna itu digunakan untuk membuang ancak atau persembahan kepada makhluk halus.
    
Penolong Kurator Muzium Nelayan Tanjung Balau, Muhammed Iqbal Rosli berkata beliau menyedari kewujudan objek itu ketika mengiringi wakil kerajaan negeri ke lokasi tersebut.
    
Beliau berkata ia secara tidak langsung telah mengganggu pemandangan geologi di Tanjung Balau yang sedang diwarta sebagai kawasan sejarah.
    
"Kami tidak tahu siapa yang meletak objek-objek itu dan upacara yang dijalankan sama ada ia merupakan proses pemujaan atau ritual sesebuah agama.
    
"Pihak kami juga tidak mengalihkannya sebab ia terlalu banyak dan bimbang sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangkakan. Bagaimanapun jumlahnya semakin berkurangan kerana dibawa air pasang," kata Muhammed Iqbal.
    
Beliau berkata pengunjung jangan mendekati objek tersebut dan menyentuhnya kerana khuatir akan memudaratkan kerana belum dikenal pasti bahan yang terkandung padanya.
    
“Namun kita difahamkan ia merupakan upacara tahunan agama namun tidak tahu agama apa dan kita masih siasat perkara ini,” katanya.
     
Sementara itu Kadi Daerah Kota Tinggi, Mohd Fauzi Bachok berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada ia turut melibatkan masyarakat Islam. 

Sunday, July 19, 2015

ROH MANUSIA KUKUHKAN ISTANA HITAM DI JEPUN?


MATSUE Castle atau Istana Hitam yang dibina pada tahun 1611 dilaporkan merupakan salah sebuah binaan tertua di Jepun.


Tidak seperti kebanyakan istana lain di Jepun yang musnah atau rosak akibat peperangan, istana lama ini merupakan salah sebuah istana  yang masih tersergam kukuh di tempatnya.

Namun ada rahsia di sebaliknya.

Walaupun sering menjadi tarikan pelancong, siapa sangka istana keenam tertua di Jepun ini menyimpan 1001 misteri semasa pembinaannya.

Menurut legenda Istana Hitam, pembinaan istana tersebut yang dikatakan bermula sejak tahun 1607 telah menjadikan seorang gadis sebagai korban bagi mengekalkan kekuatan binaan istana.

Hitobashira atau ‘Tiang manusia’ adalah kepercayaan lama yang diamalkan oleh masyarakat zaman dahulu kala.

Masyarakat zaman dahulu percaya bahawa pembinaan tersebut akan menjadi lebih kuat dan kukuh sekiranya manusia ‘ditanamkan’ di dalam tiang atau dinding binaan.

Sebuah portal melaporkan, dengan ‘menanam’ manusia ke dalam setiap dinding dan tiang, mereka percaya bahawa pembinaan  tersebut mendapat keberkatan daripada tuhan-tuhan mereka dan apa yang dibina akan kekal dan tahan dari kerosakan.

Bagaimanapun, binaan yang mengamalkan kepercayaan ini dikatakan dihantui oleh manusia yang ‘diabadikan’ dalam tiang dan dinding.

Berbalik kepada legenda Istana Hitam ini, sejarah mengatakan seorang gadis telah ditanam hidup-hidup di dalam dinding istana semasa pembinaannya. Pada masa itu, kontraktor binaan yang dikatakan mencari gadis yang sesuai untuk dijadikan korban menjumpai seorang gadis yang sedang menari di sebuah festival.

Mereka kemudiannya memukul dan menculik gadis itu sebelum menanamnya hidup-hidup dalam dinding istana.

Gadis tersebut yang namanya tidak pernah direkodkan, dianggap sebagai korban kepada istana; dan pengorbanannya adalah untuk memastikan istana kekal utuh dan stabil.

Khabarnya, gadis tersebut merupakan gundik diraja Matsue yang sangat cantik dan gemar menari.

Setelah istana tersebut siap dibina, pihak diraja mengeluarkan larangan ke atas mana-mana gadis untuk menari di jalanan di Matsue kerana istana tersebut akan mengalami gegaran setiap kali gadis menari di jalanan.

Thursday, July 2, 2015

[EKSKLUSIF] KETAHUI KISAH SEBENAR MONA FENDY SEBELUM DIA DI GANTUNG SAMPAI MATI

Anda kenal dengan nama Maznah Ismail atau lebih mengenalinya dengan nama Mona Fandey?

Kisah Mona menjadi tumpuan di akhbar sejak tahun 1993. Bahkan, ia semakin rancak diperkatakan ramai apabila satu persatu kegiatan jahat pasangan bomoh, Mona dan Affandi sewaktu hidup ketika dahulu didedahkan.

Namun, pernahkah anda terfikir sejauh mana kesahihan cerita yang disebarkan itu?

Adakah anda berani meletakkan jaminan seratus peratus bahawa memang ternyata Mona mati di tali gantung dengan keadaan mengerikan? atau anda lebih percaya pada versi cerita yang kononnya Mona tidak mati biarpun dia telah digantung?

Sejauh mana keyakinan orang ramai percaya 1,001 versi cerita mengenai bekas banduan terakhir di Penjara Wanita Kajang itu?

Membongkar kembali kisah benar Mona di penghujung hidupnya, wartawan Malaysian Digest berjaya menjejaki pegawai penjara yang berpengalaman bertugas di sel akhir Mona sewaktu dia dipenjarakan dahulu.


Satu temubual eksklusif bersama Pegawai Penjara Wanita Kajang, Sarjan Azizah, diatur untuk mendedahkan kepada semua masyarakat Malaysia perihal kehidupan bekas banduan akhir yang selama ini menjadi rahsia hidup wanita berusia 53 tahun itu.

Azizah sedia berkongsi kepada umum sisi-sisi rahsia Mona yang mana dia merasakan satu kenangan manis buat dirinya sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai warden penjara.

“Masa itu saya sedang bercuti tetapi saya dah tahu yang Mona bakal ditempatkan di sel akhir bawah jagaan saya. Kes dia memang cukup gempar pada waktu itu.

"Saya sangat takut apabila dapat tahu saya akan berjumpa dengan Mona sampaikan saya minta air penawar dekat ustaz,

“Sel akhir Mona berada paling depan sekali dan tentulah dia orang pertama yang akan saya lalui dulu. Waktu saya melangkah masuk pada hari pertama selepas bercuti, saya dengar ada orang bagi salam.

"Saya tahu itu Mona. Saya buat tak tahu. Hari kedua dan ketiga pun, saya dengar Mona beri salam lagi tapi tetap saya buat tak tahu,

“Pada hari keempat apabila dia bagi salam, baru saya jawab salam dia. Mona kata antara ramai-ramai staf di penjara, dia paling suka saya. Saya tanya kenapa? Dia jawab gerak hati.

"Saya tak pernah sangka seumur hidup saya, dengan ‘salam’ yang diberikan Mona itu telah menjadikan dia seorang sahabat saya,” katanya.

Tambahnya, Mona merupakan seorang yang sangat gemar berbual. Tidak pernah kering dengan topik perbualan membuatkan Azizah berasa sangat senang mendengar cerita-cerita daripada Mona.


Malah, Mona sangat suka bercerita mengenai anak-anaknya, bekas suami, suami kini, resepi masakan dan banyak lagi.

Hanya Azizah sahaja yang ketika itu tidak gentar bersua muka dan bertentang mata dengan wanita yang dikatakan memiliki ilmu kesaktian luar biasa itu.

Kebanyakkan kakitangan penjara ketika itu, rata-ratanya berusaha untuk mengelak daripada menguruskan rutin harian Mona kerana bimbang dengan ‘ilmu hitam’ dimilikinya.

“Saya panggil Mona ‘Makcik’ dan dia panggil saya ‘Cik Jah’. Percaya atau tidak, Mona ni sebenarnya seorang wanita yang sangat menjaga solat lima waktu.

"Bukan itu saja, solat sunat dan wirid juga tidak pernah ditinggalkannya, Setiap hari saya dengar Mona mengaji al-Quran sehingga saya sendiri rasa terpegun.

"Waktu dia baca wirid pula, saya pernah minta dia kuatkan suara kerana saya bimbang dia membaca bacaan yang ‘salah’. Apa yang saya dengar adalah perkataan ‘Subhanallah’ yang tidak berhenti keluar dari mulut Mona, 

Sarjan Azizah (kiri) bersama Mona Fandey

“Mona seorang wanita yang sangat sopan apabila bercakap. Dia sangat peramah tetapi masih menjaga adab dalam percakapannya. Sebaik-baik Mona apabila berbual, tidak pernah sekalipun dia bercakap buruk mengenai orang,

“Walaupun pada ketika itu kakitangan penjara ramai yang mengatanya tetapi Mona sangat sabar dan positif. Tak pernah dia nak membalas atau memburukkan orang,

“Mona sangat suka berkongsi resepi masakan dengan saya. Dia kata dia suka letak daun pandan dalam masakan sebab akan jadi wangi. Saya nampak dia seorang yang penyayang dan ikhlas,” katanya.

Pernah beberapa kali Azizah terbaca cerita mengenai Mona di akhbar seperti, Mona terapung di dalam sel, Mona boleh membaca Surah Al-Fatihah dengan terbalik, Mona dilihat keluar dari sel oleh salah seorang kakitangan penjara dan bersiar-siar di Chow Kit dan banyak lagi.

Demi mendapatkan kepastian, Azizah akan terus bertanya kepada Mona mengenai cerita-cerita mistik yang dibacanya.

“Saya suruh Mona apungkan badan dia macam dalam suratkhabar laporkan. Mona kata gila ke apa? Mana dia boleh apungkan diri dia.

"Kemudian saya suruh dia baca Surah Al-Fatihah terbalik. Mona jawab, sedangkan nak baca bismillah terbalik pun susah apatah lagi Surah Al-Fatihah,

“Paling menarik, saya pernah tanya pada Mona betul ke dia keluar sel dan ke Chow Kit? Mona jawab, kalau dia boleh keluar sel buat apa dia nak ke Chow Kit? Baik dia balik ke rumah dan tak perlu masuk ke dalam sel lagi.

"Namun, apabila kita fikirkan balik, apa yang dikatakan Mona itu benar. Kalau betul dia ada kuasa yang boleh memboloskan diri dari penjara, lebih baik dia pulang ke rumah dari ke Chow Kit,” seloroh Azizah sambil tersenyum.

Seketika Azizah terdiam, kemudian menyambung semula ceritanya.

Dia akui terdapat satu cerita di sebalik kes ini yang tidak diketahui umum. Barangkali yang tahu sekalipun, mereka yang terlibat secara langsung sepanjang tempoh perbicaraan kes pembunuhan Datuk Mazlan ini.

Ujarnya, Mona sering meyakinkannya mengenai kejadian sebenar yang berlaku pada tarikh pembunuhan ahli politik itu dan Azizah akui pada awalnya sukar untuk mempercayai kata-kata Mona.

Namun, ternyata Mona berjaya membuktikan kepada Azizah bahawa dia tidak menipu kerana kenyataannya di penjara dan mahkamah begitu konsisten sekali. Tiada perubahan cerita, tiada perubahan fakta. Mona kelihatan begitu tenang menghadapi perbicaraan kesnya itu.

Tahukah kita semua bahawa sebenarnya Mona bukan suspek utama kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris?

Dia merupakan OKT-3 (Orang Kena Tuduh Ketiga) manakala dalang sebenar kes pembunuhan ini adalah OKT-1 dan OKT-2 yang merupakan suami Mona sendiri, Affandi dan pembantu peribadi mereka, Juraimi.



Hakikatnya, pada hari kejadian mangsa dibunuh kejam Mona sekadar mendapat arahan daripada Affandi untuk keluar memetik bunga sebelum satu upacara mandi bunga bersama mangsa dijalankan.

Mona duduk di atas bahagian kepala mangsa yang berada dalam posisi baring kemudian secara tiba-tiba Juraimi meluru masuk dan... (Azizah terdiam)

“Saya berada sepanjang prosiding mahkamah berlangsung kerana atas permintaan Mona sendiri, dia tidak mahu pegawai lain yang mengiringinya.

"Jadi, tangan saya akan digari bersama tangan Mona ke mana sahaja. Mona telah membuktikan dia bukanlah dalang dalam kejadian ini. cuma silapnya Mona berada di tempat kejadian. Dia tidak bersalah sebenarnya. Hakim telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap OKT-1, OKT-2 dan OKT-3. Peguambela Mona tidak berputus asa dan telah membuat rayuan,

"Hakim mempertimbangkan perkara itu kerana Mona hanya OKT-3 dan Mona boleh dibebaskan. Peguambelanya memujuk Mona untuk pulang bersama anak-anak yang sedang menantinya. Ujar Mona,  jika dia dibebaskan, dia mahu Affandi juga dibebaskan. Jika suaminya digantung, biarkanlah dia digantung bersama Affandi,

" Itu pilihan Mona. Dia nak bersama suaminya. Saya nampak Mona seorang isteri yang sangat baik dan sayangkan Affandi. Secara jujurnya, selama saya menjaga Mona di sel akhir saya sendiri gagal menemui kejahatan dari dalam dirinya,

“Saya masih ingat satu cerita dimana orang yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan jenazah Mona selepas digantung menyatakan dia sendiri tidak tahu dimana nak mencari cacat cala pada jenazahnya kerana Mona meninggal dengan keadaan sangat baik. Tubuh yang bersih dan mudah diuruskan,” ujarnya lagi.


Menariknya, bekas suami Mona yang juga merupakan seorang anggota polis tidak pernah terlepas daripada menghadiri perbicaraan kes bekas isterinya itu. Kehadiran bekas suami Mona tanpa jemu ke mahkamah membuatkan Azizah tertarik untuk mendekati lelaki itu.

Apa yang mengharukan hatinya apabila bekas suami Mona menjawab:

‘Mona nak bunuh semut pun tak sampai hati. Waktu nak siang ikan pun dia menangis, apatah lagi nak kerat manusia."

Bahkan, anak-anak Mona juga sentiasa hadir dalam perbicaraan ibu mereka sebagai tanda memberi sokongan kepada Mona. Anak-anak Mona pernah menyatakan bahawa mereka lebih mengenali siapa ibu mereka yang sebenar.

Disitu Azizah mengakui Mona merupakan seorang ibu yang berjaya membentuk keperibadian serta akhlak yang tinggi dalam diri anak-anaknya.

Mereka sangat mentaati Mona biarpun ibu mereka itu bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati dan menelan stigma masyarakat kita yang sentiasa negatif sehingga ke hari ini.

Kerana cintakan suami, si isteri mengorbankan kebebasannya biarpun sudah terbukti tidak bersalah. Begitu juga, kerana kasihkan suami, Mona memilih untuk sehidup semati di tali gantung bersama Affandi.

“Saya pelik macam mana orang luar yang tak pernah masuk penjara, tak pernah jumpa Mona atau menguruskan halnya selama dia dipenjara, lebih banyak bersuara seperti mengetahui segala-galanya berbanding saya yang bersama Mona siang dan malam?

"Saya sampai tarik kerusi duduk depan sel Mona untuk teman dia berbual, orang lain lagi mengetahui selok belok hal Mona?

“Benda yang paling saya sedih sekali, sehari sebelum Mona digantung saya nampak dia dibawa turun dari tingkat atas ke bawah. Muka dia nampak ceria sangat. Senyum tak sudah! Saya tanya Makcik nak kemana?

"Mona jawab dia nak pergi 'shopping'! Sebenarnya, dia dapat jumpa Affandi dipenjara sebelah, Sampai pusing di 'corner' bangunan, saya nampak dia toleh dekat saya dan tersenyum biarpun kedua tangannya bergari.

"Saya sendiri terlupa hari itu adalah hari Khamis, dimana banduan beragama Islam akan digantung pada pagi Jumaat. Itupun kawan saya yang juga baik dengan Mona beritahu, Mona dah nak digantung esok, 

“Saya terduduk dan menangis tak berhenti. Itulah kali terakhir saya jumpa Mona dan saya sampai sekarang tak dapat lupa senyuman dia. 


"Kalau saya tahu dia akan digantung, tentu sekali perkara yang nak saya buat adalah memeluk Mona. Saya kenal siapa Mona Fandey. Saya terlalu rindukan dia,” katanya dan pada saat itu Azizah menitiskan air matanya.

Ujarnya, Mona tidak seperti banduan akhir yang lain. Keikhlasan yang ada dalam diri Mona benar-benar dapat dirasai Azizah. Kenakalan Mona yang sering mengusik kakitangan penjara yang lemah semangat dan gemar mengatanya kadang kala membuatkan Azizah tersenyum sendirian tatkala teringatkan kenangannya menjaga sel akhir Mona.

Sehingga hari ini, Azizah tetap setia menyimpan kenangan manis bersama seorang wanita yang amat ‘digeruni’ rakyat Malaysia dan ‘kononnya’ pembunuh paling kejam di Malaysia.

Biarpun berstatus banduan akhir yang telah digantung, Mona tetap mempunyai ruang istimewa di hati Azizah dan dia percaya Allah lebih mengetahui dimana kedudukan yang selayaknya buat insan semurni Allahyarhamah Maznah Ismail.

Ternyata setiap manusia tidak terlepas dari membuat kesilapan sewaktu hidup. Bahkan, urusan pahala dan dosa bukanlah selayaknya diadili oleh manusia lebih-lebih melibatkan aibnya sewaktu hidup.

Memetik kata Ustaz Abdul Rasyid yang sudah berpengalaman lebih tiga dekad mengendalikan hal ehwal agama banduan:

"Alhamdulillah, Mona mengucap dengan fasih siap dengan terjemahan sekali. Pada sayalah, dia tahu waktu dia nak mati. Balasan dunia dia dah terima. Dengan Tuhan, kalau Tuhan terima taubat dia, mungkin dia jauh lebih baik dari kita semua." – Sumber Arkib Negara : Mona Fandey.

Apakah dengan tulisan ini mampu mengubah stigma anda pada wanita bernama Mona Fandey supaya diletakkan dalam ruang yang adil berdasarkan kebaikannya sewaktu hidup dahulu?

Atau anda lebih selesa untuk terus memahami ‘cakap-cakap’ orang mengenai kejadian yang berlaku kerana sudah dididik dengan ‘trend’ bahawa Mona Fandey adalah pembunuh paling kejam di Malaysia?


Terima kasih kepada Malaysian Digest kerana memberi kebenaran kepada kami untuk berkongsi artikel ini bersama peminat.Al fatihah dan semoga rohnya (mona fendy@maznah ismail) dicucuri rahmat.

*Cerita ini adalah eksklusif dan hak milik Malaysian Digest sepenuhnya.

Wednesday, July 1, 2015

IMEJ KAABAH DI BATU AKIK


Jakarta: Penduduk di Parigi Moutong di Sulawesi Tengah gempar selepas menemui batu akik yang didakwa mempunyai imej Kaabah dan orang tawaf.


Imej itu ditemui sekumpulan penduduk yang memotong satu batu akik jenis King Marantale yang ditemui mereka Jumaat lalu.

Pegawai daerah Parigi Moutong, Samsurizal Tombolotutu berkata, selepas batu akik itu dibelah penduduk terkejut melihat imej Kaabah berkenaan.

“Ada yang menangis sambil mengucapkan Allahu Akbar beberapa kali apabila melihat imej di dalam batu akik berkenaan,” katanya.

Ujarnya, batu akik itu telah dibawa ke pejabat daerah di Kota Parigi untuk disimpan.

“Saya berharap dengan penemuan batu akik ini akan menambahkan keimanan penduduk kepada Allah,” jelasnya.

Menurutnya, batu akik itu akan dipamerkan dalam festival pada September depan yang akan dihadiri Presiden Joko Widodo.

Festival itu akan mempamerkan produk tempatan termasuk batu akik yang menjadi produk utama wilayah berkenaan.

Tuesday, June 30, 2015

TERKEJUT DAGING YANG NAK DI POTONG MASIH BERDENYUT


Seorang wanita ketakutan selepas mendapati daging yang dibelinya masih berdenyut ketika dia hendak memotongnya.


Wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Cheng hendak memotong daging berkenaan apabila menyedari ia bergerak, seolah-olah hidup.

Dia sempat merakam kejadian itu dan menyiarkan klip video itu di Internet.Ia kelihatan seperti masih hidup. Atau mungkin ada cacing atau sesuatu di dalamnya yang menyebabkan ia berdenyut.

“Namun, apabila memotongnya, saya tidak menemui apa-apa kecuali lapisan daging biasa,” katanya.

Pakar Jabatan Haiwan Lv Suwen berkata, daging berkenaan berdenyut kerana saraf padanya masih belum mati.

“Daging itu segar kerana ia baru disembelih. Sistem saraf utama sudah mati tetapi saraf pada otot masih hidup menyebabkan ia berdenyut,” kata Lv.

Menurut Cheng, dia membeli daging itu pada jam 8 pagi dan mula memotongnya jam 9 pagi.

VIDEO MEMAPARKAN DAGING YANG MASIH HIDUP

Monday, June 29, 2015

GUNA PATUNG DORAEMON UNTUK PANGGIL HUJAN


Phrae - Thailand: Penduduk kampung di daerah Nong Muang Khai yang terjejas teruk akibat kemarau, kelmarin menggunakan patung kartun Doraemon dalam satu upacara untuk memanggil hujan.

Mereka menggunakan patung watak kucing robot popular itu bagi menggantikan kucing hitam untuk mengelak dituduh mendera haiwan.

Pengusaha ladang jagung di Wang Luang meletakkan patung Doraemon itu dalam satu sangkar kayu sebelum diarak sekeliling kampung untuk meminta hujan.

Seorang penduduk, Rattakarn Jantanu berkata, mereka bersetuju untuk membuat upacara tradisi bagi meminta hujan itu selepas wilayah berkenaan terjejas teruk akibat kemarau.

Mengikut upacara itu yang asal, mereka sepatutnya meletakkan seekor kucing hitam di dalam sangkar kayu sebagai korban untuk meminta hujan.

Bagaimanapun, kerana bimbang tindakan itu akan mencetuskan kemarahan orang ramai, mereka mengambil keputusan untuk menggunakan patung kucing.

“Kami akhirnya terpaksa menggunakan patung Doraemon kerana sukar untuk mencari patung kucing,” katanya.

Ujarnya, sangkar itu dibawa ke lima lokasi yang dipercayai didiami oleh nenek moyang mereka diikuti satu acara keagamaan di sebuah kuil.

“Walaupun upacara itu tidak membawa hujan tetapi penduduk tetap gembira dan ia membantu menenangkan mereka ketika ini,” jelasnya.

Sunday, June 28, 2015

HOBI MAUT - MENGEJAR TORNADO


Puting beliung atau lebih dikenali sebagai tornado menyebabkan banyak nyawa terkorban dan kemusnahan harta benda bernilai jutaan dolar pada setiap tahun di Amerika Syarikat (AS).


Tornado sangat digeruni penduduk AS kerana ia boleh muncul pada bila-bila masa dan membawa kemusnahan yang besar.

Bagaimanapun, terdapat segelintir golongan yang berpendapat tornado sesuatu yang unik dan menakjubkan walaupun memiliki kuasa pemusnah yang dahsyat.

Seorang daripada mereka adalah Blake Knapp, 35, yang bertahun-tahun cuba meramal dan mengejar tornado di seluruh AS.

Dengan bersenjatakan kamera digital, Knapp merakam gambar tornado yang menakjubkan.

Selepas puas mengejar tornado kini Knapp mahu berkongsi kegilaannya dengan sesiapa yang mengagumi fenomena alam luar biasa berkenaan.

Knapp menubuhkan sebuah syarikat pelancongan Weather Adventures Storm Chasing Tours yang menawarkan perkhidmatan mengejar tornado kepada sesiapa yang berminat merasai pengalaman berbahaya itu.

Dengan pakej lawatan selama 10 hari berharga serendah £2,300 (RM13,632) seorang, pelancong akan dibawa mengejar tornado di seluruh AS.

Bagi melihat tornado yang luar biasa, pelancong mungkin terpaksa menempuh pengembaraan sejauh 8,000 kilometer.

Knapp berharap, pelancong bukan sahaja dapat merakam gambar tornado yang menakjubkan tetapi turut membawa pulang pengalaman yang tidak dilupakan sepanjang hayat mereka.

Sejak menjadi pengejar tornado, Knapp pernah berdepan beberapa situasi yang mengancam nyawa kerana kesilapannya membuat keputusan.

Saya tidak dapat lupakan bunyi serpihan sampah menghentam kenderaan dan melihat ranting serta batang pokok disedut ke dalam tornado ketika saya melarikan diri daripada ribut.

Tiga rakan saya mati akibat terperangkap dalam tornado dan pengalaman itu memberikan saya perspektif berlainan terhadap kuasa alam itu.

“Pada hari pertama mengejar tornado saya sedar akibatnya amat buruk sekiranya melakukan kesilapan,” katanya.

Bagi Knapp, keselamatan adalah keutamaannya setiap kali membawa pelancong mengejar tornado.
“Secara visual, ribut sangat menakjubkan.

“Bukan hanya tornado tetapi struktur ribut itu sendiri sangat unik,” ujarnya.

Walaupun sangat cantik Knapp tidak pernah memandang rendah sesuatu ribut dan memperkecilkan kuasanya.

Knapp berkata, kerjayanya membolehkan dia menggabungkan minatnya dalam bidang fotografi, mengembara, alam sekitar dan cabaran dalam meramalkan cuaca buruk.

Tornado atau ribut mungkin terbentuk dalam waktu singkat sebelum ia hilang untuk selama-lamanya.

“Apabila saya merakam gambar ribut ia akan kekal sampai bila-bila,” jelasnya.

Tambahnya, dia akan mengambil langkah berjaga-jaga dan merancang dengan teliti untuk mengurangkan risiko bahaya dan memastikan pelancong dapat merakam gambar tornado yang menarik.

Kebanyakan tornado terjadi di kawasan Great Plains atau juga dikenali sebagai Lorong Tornado di tengah AS.

Kebiasaannya lawatan itu berlangsung ketika musim luruh hingga awal musim panas Mei dan Jun adalah bulan paling sibuk dalam kalendar pengejar tornado.

Kini apabila mempunyai syarikat pelancongan sendiri, saya boleh mengejar tornado dengan cara yang saya rasa paling selamat.

“Pengejar tornado sepatutnya berada jauh di depan ribut dan cuba mengurangkan risiko,” katanya.
Menurutnya, mengejar tornado tidak semestinya berdepan situasi bahaya seperti anggapan setengah pihak.

“Melihat kepulan awan kecil berkumpul membentuk awan yang dua kali lebih tinggi dari Gunung Everest dalam tempoh tidak sampai sejam sudah cukup menyedarkan anda betapa menakjubnya kejadian ribut itu,” ujarnya.

Jelasnya, dia berasa sangat puas apabila melihat impian pelancong untuk merasai pengalaman mengejar tornado tercapai.Saya sangat seronok dengan pekerjaan saya sebagai pemandu pelancong.

“Melihat mata pelancong yang bersinar selepas impian sepanjang hayat mereka tertunai adalah sesuatu yang tidak ternilai,” jelasnya.

Friday, June 26, 2015

OLAF CICAK BERKEPALA DUA


Seorang lelaki terkejut selepas cicak jenis `beaded dragon` peliharaannya menetaskan telur mengandungi anak berkepala dua, dipercayai antara empat seumpamanya di seluruh dunia.


Stephen Evans, 34, yang membela cicak spesies itu sejak 17 tahun lalu berkata, dia pada mulanya menyangka dua anak cicak menetas dari satu telur sebelum menyedari ia sebenarnya satu haiwan dengan dua kepala.

Malam sebelumnya, saya melihat di dalam alat pengeram dan memang melihat dua kepala. Saya mengandaikannya kembar tetapi ia sebenarnya kembar siam.

“Keluarga dan rakan terkejut dan berkongsi gambar itu di laman sosial. Esok (hari ini) hari jadi saya dan mungkin ini hadiah untuk saya. Malah saya membeli tiket loteri kerana nampaknya saya bertuah,” katanya.

Evans dan isterinya Jodie membela hampir 50 cicak dengan memberi tumpuan kepada jenis ‘bearded dragon’ atau nama saintifiknya ‘pogona’ yang mempunyai warna serta corak badan pelik dikenali sebagai ‘morph.’

Cicak yang baru menetas itu dipercayai cuma yang keempat seumpamanya di dunia dan dinamakan Olaf oleh anaknya berdasarkan watak orang salji dalam filem animasi Frozen.

Saya membuat pencarian di Internet dan hanya menemui tiga atau empat cicak berkepala dua.

Memang ia sesuatu yang unik dan tidak mungkin anak lain yang menetas juga akan mempunyai dua kepala seperti ini.

“Olaf nampak kuat dan sihat, malah menetas sendiri tanpa bantuan. Ini satu lagi petanda baik,” katanya.

Thursday, June 25, 2015

ULAR GERGASI MAUT KERANA SILAP MAKAN


Ular gergasi ini mati selepas tersilap memilih mangsa, landak seberat 13 kilogram mengakibatkan ia mati ditusuk dari dalam.


Bangkai sawa berukuran empat meter itu ditemui di bawah belebas batu di Taman Negara Lake Eland, Afrika Selatan dengan bahagian dalam tubuhnya luka tertusuk duri landak itu ketika ia cuba menghadam haiwan itu.

Pengurus besar taman Jennifer Fuller berkata: “Punca sebenar kematian ular itu tidak jelas, namun beberapa duri landak ditemui dalam saluran penghadaman dan reptilia itu juga jatuh dari belebas.

“Kami tidak dapat memastikan sama ada ular itu mati sebelum jatuh atau jika duri berkenaan menikamnya ketika jatuh dari belebas.”

Pemangsa lazimnya mengelak menjadikan landak mangsa kerana takutkan durinya, namun ular rata-rata bergantung kepada deria pengesan haba untuk mencari makan pada waktu malam, tanpa mengira fizikal mangsa.

Tuesday, June 23, 2015

UGANDA SEMAKIN PARAH AKIBAT TAKSUB PADA AMALAN KARUT


UGANDA : Kanak-kanak diculik ketika dalam perjalanan ke sekolah sebelum anggota badan mereka dipotong dan mayat mangsa yang dalam keadaan mengerikan dicampak di dalam hutan.


Itulah kisah menakutkan yang menghantui kanak-kanak di Uganda akibat kepercayaan karut sebilangan penduduk di negara itu.

Setiap tahun ratusan kanak-kanak di Uganda menjadi mangsa bomoh yang mempengaruhi golongan elit bahawa dengan mengorbankan kanak-kanak akan menjadikan mereka lebih kaya.

Lebih mengejutkan lagi, jenayah kejam ini dijangka akan meningkat menjelang pilihan raya Uganda yang dijadualkan berlangsung pada 2016.

Satu pertubuhan kebajikan kanak-kanak memberitahu, ahli perniagaan kaya sanggup membayar ribuan pound kepada pengamal perubatan tradisional untuk memburu kanak-kanak miskin.

Anggota badan kanak-kanak yang diculik ini kemudiannya dipotong untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit mati pucuk dan meningkatkan kesuburan.

Bomoh akan memotong beberapa bahagian anggota badan termasuk kemaluan mangsa.Mayat yang sudah dikerat kemudian dibuang di hutan ataupun tapak pembinaan.

Lebih kejam lagi apabila anggota badan kanak-kanak yang dipotong itu bukan untuk ubat tetapi dipersembahkan kepada roh yang mengarahkan bomoh melakukan kekejaman berkenaan.

Bagi mengatasi kekejaman itu, kerajaan Uganda pada Februari lalu, mewujudkan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi menghentikan pembunuhan terhadap kanak-kanak.

Kerajaan juga meluluskan rang undang-undang bagi mendaftarkan semua pengamal perubatan tradisional.

Namun, ahli perniagaan yang membayar ribuan pound untuk ritual kejam berkenaan jarang dikenakan tindakan kerana keengganan bomoh mendedahkan identiti mereka.

Kanak-kanak yang terselamat tetapi mengalami kecederaan teruk pada badan biasanya terpaksa menanggung kecacatan sepanjang hayat.

Kerajaan memberi amaran amalan mengorbankan kanak-kanak sukar dihentikan selagi penduduk negara itu mempercayai kepercayaan karut.

Bagaimanapun, beberapa aktivis kanak-kanak mendakwa pembunuhan kejam itu akan berterusan kerana ia didorong oleh ketamakan.

Sunday, June 21, 2015

KISAH MISTERI BUKIT PUTUS MASIH BELUM TERUNGKAI


BUKIT PUTUS, bukan setakat penduduk Negeri Sembilan kenal dengan nama gah ini, malah masyarakat luar juga mengetahui tentangnya. Seperti ular kena palu, begitulah rupa paras jalan yang satu ketika dahulu menjadi laluan utama dari Seremban ke Kuala Pilah.


Tapi apabila jalan baharu sejauh 6.9 kilometer dibuka secara rasmi pada 25 November 2009, jalan berkelok 32 itu, dari hari ke hari semakin ditinggalkan sepi. Namun Bukit Putus ada menyimpan 1001 rahsia. Dari cerita mistik hinggalah perancangan untuk menceriakan kembali laluan itu.

Tidak menepati kehendak! Itu respons editor selepas gambar dikirim kepadanya. Sekali lagi saya perlu ziarah kawasan itu. Rasanya belum sampai pun suku perjalanan, dari jauh kelihatan sekumpulan anjing dan monyet di tengah-tengah jalan.

Ini peluang baik! Tapi apabila kereta semakin menghampir, kumpulan binatang itu cabut lari ke dalam hutan di kiri dan kanan.

Hati terasa rugi kerana tidak dapat merakam gambar 'mereka'. Saya matikan enjin lalu keluar dari kereta dan kemudian menjengah di tepi lembah yang penuh dengan pokok-pokok tinggi.

Mana tau kalau-kalau kumpulan monyet tadi ada di situ, ada juga rezeki untuk merakam aksinya sedang bergayutan. Hampa. Hanya suara nyaring sang monyet sahut menyahut dari kejauhan yang kedengaran. Anjing-anjing tadi pula entah hilang ke mana.

Mata meliar memerhati kiri dan kanan. Tiba-tiba datang deru angin agak kuat dari arah belakang. Riuh suara monyet tidak kedengaran lagi. Suasana jadi sunyi sepi. Dan sepantas itu juga jantung berdegup laju. Bulu roma menegak, saya terasa seram...

Bukit Putus saya tinggalkan. Maaf puan editor. Saya gagal untuk merakam gambar dikehendaki kerana seram yang saya rasa mengatasi segalanya. Ya, rasa seram itu benar-benar muncul waktu kali kedua saya ke Bukit Putus untuk tugasan laporan khas kali ini.


Legenda raksasa bergaduh

Sehingga hari ini bagaimana wujudnya nama Bukit Putus masih tidak diketahui dengan jelas. Hanya satu saja kisah legenda yang pernah sampai ke telinga pada zaman kanak-kanak dahulu. Nenek pernah bercerita kononnya dulu ada kejadian raksasa bergaduh hingga berparang.

Dalam pergaduhan itu, salah satu raksasa tersebut yang mahu menetak lawannya tertetak bukit tersebut sehingga terputus-putus dan kerana itu ia dinamakan Bukit Putus.

Laluan berusia lebih 40 tahun itu tidaklah terlalu panjang. Hanya lapan kilometer sahaja. Empat kilometer ke puncak dan empat kilometer lagi ke kaki bukit.

Laluan berliku dan berbukit ini kurang disukai pemandu. Selekohnya tajam. Jalannya sempit. Mengerikan bagi pemandu baharu yang baru pertama kali melaluinya.

Mengenang Bukit Putus juga boleh menjadikan bulu roma meremang kerana banyak cerita mistik tersebar dari mulut ke mulut.

Antaranya kisah seorang lelaki mengilai tanpa kepala di satu pokok besar dekat sebatang selekoh. Ada juga yang nampak sekumpulan manusia sedang berjalan mengusung keranda membawa obor dan ada juga yang melihat ‘pocong’ berdiri di kaki bukit.

Cerita bantal peluk bergolek mengejar kenderaan, bebola api berterbangan di sekitar jalan, gerai misteri yang berniaga di tengah malam sehinggalah cerita terlihat sepasang manusia lelaki dan wanita melapah daging monyet di selekoh yang terdapat juraian air bukit.


Kereta tiba-tiba jadi berat

"Waktu itu tahun 2002, jam 2.30 pagi dari arah Seremban. Masa itu, jalan lengang langsung tiada kereta atau lori. Saya pun tidak fikir apa-apa, sehinggalah berhampiran Kem Pengakap sebelah kiri, tiba-tiba kenderaan saya jadi berat. Memang nak naik ke jalan itu agak payah," kata Ismail Shah Abd Samad.

Katanya, dia hanya terfikir keretanya rosak kerana kenderaan itu sering meragam.

"Saya pun lihat cermin pandang belakang, untuk lihat kalau ada kenderaan lain untuk minta bantuan. Tetapi apa yang saya nampak, objek berwarna putih dan samar-samar di bonet belakang kereta. Automatik menggigil satu badan.

"Saya teruskan perjalanan, baca ayat Kursi tetapi secara tiba-tiba bau wangi kapur barus pula datang. Memang sangat seram waktu tu. Bila tiba puncak Bukit Putus, terdengar bunyi angin kuat dan tiba-tiba juga kereta saya menjadi ringan.

"Itulah peristiwa paling saya tidak boleh lupakan sehingga kini. Saya pernah berbual dengan pemandu lori di hentian rehat Ulu Bendul dan mereka beritahu, jam 2 pagi hingga ke 4 pagi, jalan itu akan diganggu Pontianak."


Perempuan bersama tiga anak

“Ini cerita tahun 90-an dulu. Masa tu, saya bertugas dalam JPAM. Saya berulang alik dari Felda Kepis ke Seremban. Kejadian itu berlaku selepas selesai habis bertugas. Saya gerak dari JPAM jam 12.30 tengah malam dan tiba laluan kedua selekoh jam 1 pagi dari Seremban.

"Tempatnya di kawasan kebun durian dekat selekoh paling tajam di jalan lama Bukit Putus. Masa itu naik kereta. Sebelum ini, kawan ada bagi tahu laluan itu agak scary tapi saya tidak percaya.

"Hinggalah, pada malam itu, saya ternampak seorang perempuan berjalan di tengah jalan bersama tiga anaknya dan seorang didukung.

Perasaan ketika itu, hanya ALLAH SWT yang tahu. Takkanlah, jam 1 pagi ada orang di kawasan itu dan di situ tiada rumah. Memang seram sejuk waktu itu. Saya teruskan perjalanan seperti biasa tanpa menegur perempuan itu." kata Shahrudin Abd Halim.


Orang usung keranda

"Sesiapa yang 'bernasib baik' sahaja akan diganggu oleh makhluk halus. Saya dahulu berulang alik dari Seremban ke Kuala Pilah kerana bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan Raya. Pernah diganggu lampu kereta tiba-tiba terpadam dan radio turut senyap. Waktu itu jam 1 pagi.

"Bila dikacau, saya teruskan perjalanan macam biasa. Dan ternampak pula sekumpulan orang mengusung keranda. Saya lega bila lihat ada orang ramai.

"Perasaan takut mula hilang. Namun bila tiba puncak bukit, tiba-tiba saya terfikir, di selekoh ketiga itu mana ada rumah orang dan baharulah saya tersedar, mungkin apa yang saya lihat bukan orang sebenar.” kata Mashitah Idris.


Jalan sunyi kenderaan berkurangan

Biarpun bilangan kenderaan menggunakan jalan Bukit Putus semakin berkurangan, malah boleh dikatakan sudah tiada, kisah mistik dan misteri itu masih terus disebarkan.

Bagaimanapun, selepas jalan baharu yang lebih pendek dan lurus dibuka dan kenderaan yang melalui jalan Bukit Putus semakin berkurangan, ada ura-ura untuk menjadikan laluan ini sebagai tempat riadah dan rekreasi.

Namun sehingga hari ini, tidak kelihatan apa-apa usaha dilakukan. Bukit Putus sudah jadi laluan sunyi. Bukan setakat manusia dan kenderaan, malah monyet dan kera yang dahulunya kelihatan banyak di tepi-tepi jalan setiap kali melalui laluan itu, kini sudah tiada.

Kalau dulu ‘mereka’ amat suka berpelesiran di tepi jalan, kini sudah tidak nampak bayang. Mungkin dulu ada saja pemandu yang melempar makanan untuk mereka menjadikan mereka gemar keluar di tepi jalan menunjukkan muka.

Tapi sekarang, tak siapa yang datang melihat lagi. Khabarnya, polis juga tidak menggalakkan pemandu melalui laluan ini terutama waktu malam kerana ada kes samun berlaku di sini.


Berpotensi jadi tarikan pelancong

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani berharap kerajaan negeri dapat membuat kajian terperinci terhadap laluan lama Bukit Putus, untuk dimanfaatkan sebagai tarikan pelancong.

Secara peribadi katanya, lokasi tersebut agak menarik berikutan keadaannya yang dilitupi kehijauan alam semula jadi di kiri dan kanan jalan, ditambah kewujudan beberapa dusun buah-buahan dan sebuah restoran di situ.

“Pada hemat saya, laluan itu sesuai dijadikan sebagai kawasan agro pelancongan atau sukan lasak misalnya maraton, longboard, berbasikal, rock climbing, meredah hutan, mendaki bukit dan pelbagai lagi.

“Ditambah laluan berliku dan mencabar, pastinya mampu menggamit penyertaan atlet antarabangsa. Memang rugi kalau dibiarkan sebab lokasi itu mudah diakses menggunakan laluan baharu, selain terletak berdekatan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas),” katanya.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun nyata sependapat dengan Mohamad Taufek, cuma berharap segelintir aspek dapat dipertingkatkan lagi jika cadangan sedemikian menjadi realiti.

“Selain menaiktaraf kualiti jalan, beberapa kemudahan asas perlu dibina untuk orang ramai. Penguatkuasaan juga mesti proaktif bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin kelak.

“Bila ada pengunjung, secara tidak langsung boleh memberi peluang kepada penduduk sekitar untuk menambah pendapatan dengan berniaga secara kecil-kecilan di sepanjang laluan penuh bersejarah itu,” katanya.

Wednesday, June 10, 2015

KISAH ANEH REMAJA LELAKI BERTELUR


Gowa, Indonesia: Sekumpulan doktor di sebuah hospital di sini terkejut selepas seorang remaja lelaki berusia 12 tahun mendakwa mengeluarkan telur melalui duburnya.


Remaja yang dikenali sebagai Akmal itu mendakwa sudah mengeluarkan tujuh biji objek seperti telur ayam sejak beberapa hari lalu.

Keluarga Akmal yang berasal dari Desa Mengempang dekat sini yang bimbang dengan keadaan anaknya membawa remaja itu ke hospital untuk rawatan lanjut.

Doktor di Hospital Syech Yusuf Sungguminasa yang merawat Akmal semalam membuat imbasan X-ray dan terkejut apabila mendapati ada satu objek seperti telur di bahagian dubur remaja itu.

Tidak lama selepas dimasukkan ke hospital itu, Akmal sekali lagi mengeluarkan objek seperti telur ayam berkenaan.

Akmal berkata, telur itu mula keluar dari duburnya selepas dia tiba-tiba sakit perut sejak beberapa hari lalu.

“Sebelum telur ini keluar saya akan sakit perut sebelum tiba-tiba telur ini keluar dari dubur saya,” katanya.

Katanya, sehingga semalam dia sudah mengeluarkan tujuh objek yang menyerupai telur ayam.

“Bapa saya memecahkan sebiji telur itu dan mendapati dalamnya sama seperti telur ayam,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Ferliyani berkata, pasukan perubatan masih bingung bagaimana objek asing itu boleh berada di dalam tubuh remaja berkenaan.

“Kami masih memantau keadaan Akmal dan telur yang dikeluarkan remaja itu sedang dianalisis,” katanya.

Friday, May 22, 2015

DUKUN PAKSA BAYI 2 HARI BERJALAN


Assam (India): Seorang bayi yang baru berusia dua hari dipaksa ‘berjalan’ oleh seorang dukun wanita, kononnya untuk mengubati demam panas yang dihidapi kanak-kanak itu.


Video yang dirakam seorang lelaki menunjukkan dukun berkenaan memegang tengkuk kanak-kanak itu dan memaksanya berjalan di depan puluhan penduduk kampung di daerah Morigaon.

Ibu bapa bayi itu membawa anak mereka kepada wanita berusia 50-an itu kerana percaya dia boleh mengubatinya.

Mereka diarah menanggalkan lampinnya sebelum dukun itu melakukan ‘ritual’ berkenaan yang didakwa untuk menurunkan suhu badannya.Bayi itu menangis sekuat-kuatnya sepanjang ritual itu.

Sunday, May 17, 2015

HOTEL KANIBAL HIDANG DAGING MANUSIA KEPADA PELANGGAN


Sebuah restoran hotel di Nigeria ditutup selepas didapati menghidangkan daging manusia sebagai sajian kepada pelanggan-pelanggan yang berkunjung ke restoran terbabit.


Satu serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa selepas menerima aduan daripada orang ramai yang mengadu menerima khabar angin bahawa restoran tersebut menghidangkan daging manusia kepada pelanggan mereka.

Lapor sebuah portal dari UK, polis melaporkan menemui keadaan kepala manusia yang dipotong dan disembelih dalam keadaan mengerikan selain turut menjumpai cebisan-cebisan daging manusia yang disimpan di bahagian dapur restoran.

Pihak berkuasa turut menemui sejumlah telefon bimbit dan laras senjata automatik ketika melakukan serbuan ke atas restoran tersebut.

Seorang penduduk tempatan ketika ditemui pemberita berkata, dia sentiasa menyedari aktiviti pelik yang berlaku di restoran terbabit.

“Mereka (pekerja) tidak pernah memakai pakaian yang bersih dan teratur, cara mereka keluar masuk hotel juga agak pelik. Saya tidak terkejut dengan apa yang didedahkan di restoran tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, pihak berkuasa menahan 10 pekerja yang didakwa terbabit dengan jenayah tersebut.


Gambar hiasan ini di ambil dari filem Wrong Turn yang memaparkan sekumpulan manusia yang suka membunuh dan memakan daging manusia.

Gambar Belangkas