Showing posts with label Itali. Show all posts
Showing posts with label Itali. Show all posts

Saturday, June 27, 2015

ITALY PART 3 : DAY TRIP KE PISA

Ini adalah sambungan review saya tentang Itali;- bermula dengan Rome dan kemudiannya Florence. Semasa di Florence, kami mengambil kesempatan untuk buat day trip ke Pisa. Ia adalah keputusan saat akhir, yakni lepas subuh hari berkenaan (subuh pada bulan May di Florence amat awal iaitu dalam pukul 3 lebih). Rasa macam rugi tak ke Pisa bila dah di Itali sebab menara condong Pisa adalah salah satu daripada trademark negara ini selain Colosseum.

 Cubaan untuk tolong tegakkan menara yang dah condong ni..huhu..

Kami membeli tiket keretapi Trenitalia di kiosk tiket stesen keretapi Santa Maria Novella di Florence pada pagi itu juga. Harga tiket sehala ialah Euro 8/pax. Perjalanan mengambil masa tak sampai 1 jam dah sampai ke stesen keretapi Pisa Centrale. Dari sini nak ke menara condong Pisa kena naik bas 'LAM Rossa' (Rossa bermaksud merah). Beli tiket siap-siap di salah sebuah kedai suratkhabar di Pisa Centrale pada harga Euro 1.20/sehala/pax sebelum ke bus-stop yang terletak betul-betul di luar bangunan hadapan Pisa Centrale. Beli terus tiket balik sekali sebab nanti kat menara susah nak cari tiket bas.

Pisa Centrale Stazione

Tips! Jangan naik bas yang bergerak ke arah kanan sebab yang tu akan bawa kita ronda seluruh bandar Pisa sebelum berhenti di menara condong Pisa. Siap stop lama kat Galileo Airport lagik. Huhu. Sila naik bas yang bergerak ke arah kiri kalau tak nak buang masa macam kami (sila seberangi jalanraya kecik tu dulu untuk naik bas).
 
Tersesat hingga ke Galileo Airport

Perjalanan dengan bas hanya mengambil masa 10minit sebab dekat jer sebenarnya dalam 1.5km. Kalau rajin berjalan, memang terbaek coz bolehlah tengok-tengok suasana bandar universiti ini semasa berjalan tu. Tapi kitorang maleh.. kaki dah banyak berjalan sejak di Rome lagi. Dah tak larat dah.. huhu.. Owh ya, jangan lupa turun di bus-stop bernama 'Torre'. Ini adalah bus-stop yang paling hampir dengan menara condong Pisa.


Turun je dari bas, akan kelihatan banyak stall jual souvenirs yang mana peniaganya adalah Bangladesh. Saya rasa semua Bangla belaka, xde orang local pon. Punyalah jauh orang bangla mencari rezeki. Juga akan kelihatan city wall dengan satu pintu gerbang. Masuk ikut pintu gerbang tu sebab menara condong Pisa berada di dalam tembok tu.

 Masuk ke dalam kawasan Pisa Cathedral melalui pintu ini

Once masuk je, haa.. itu dia! Subhanallah, cantik kelihatan menara condong yang paling glamer di dunia itu di penghujung jalan. Bangunan yang mempunyai engineering/construction error ini berwarna putih marble, memang picturesque dengan kombinasi warna biru awan dan warna hijau rumput.

Tu yang hujung sekali tu.. yang macam malu-malu sembunyi belakang bangunan lain tu lah menara Pisa.

Sedikit cerita pasal menara yang dibina pada tahun 1100an ini: Ia dibina sebagai bell-tower untuk Pisa Cathedral, mengambil masa lebih kurang 200 tahun untuk disiapkan. Apa tidaknya, belum siap pembinaan pon dah nampak dah kecondongannya so depa memang tak sudah-sudah cuba untuk 'selamatkan' menara ni. Kita boleh panjat naik ke puncak menara (kanak-kanak bawah 8tahun tidak dibenarkan naik), tapi jangan harapkan lift ye sebab memang tangga belaka. Tiket naik ialah Euro15/pax. Bayar mahal-mahal tu leh naik 30min je maksimum ye. Saya rasa macam membazir so kami tak naik, tapi menurut kata seorang sahabat yang pernah panjat ke atas, ia adalah pengalaman yang amat berbeza sebab rasa senget semacam dan pening, maklumlah pusat graviti dah berubah.

 Menara condong paling glamer di dunia

Semasa di menara Pisa ni, kami terserempak dengan dua orang backpackers dari Malaysia yang berasal dari Kelantan. Walau jauh berjalan, loghat kelantan masih kuat. Huhu. Mereka dah hampir dua minggu di Eropah dan dah nak balik Malaysia dah pon. Mereka baru sampai dari Cinque Terre, so dari merekalah kami menemui kekuatan untuk buat day trip ke Cinque Terre juga.

With backpackers Kelate in Europe

So, sehabis posing di menara Pisa, kami kembali ke Pisa Centrale dengan bas yang sama dan terus beli tiket sehala ke stesen keretapi La Spezia Centrale. Itu je pon yang paling menarik di Pisa, jadi tak perlu tunggu lama-lama. Tapi kalau berminat nak tengok suasana universiti di sini, bolehlah ronda-ronda lagi. Pisa ada banyaaaaak universiti yang berusia ratusan tahun. Untuk ke Cinque Terre sememangnya kena ke La Spezia dulu dan  ambil keretapi lain pula untuk ke Cinque Terre. Saya asingkan review untuk Cinque Terre di SINI ye.

Jika berminat untuk mengetahui tentang perancangan percutian DIY di Itali dengan lebih lengkap, bolehlah klik di link. Summary tentang percutian ini pula ada di SINI dan review tentang restoren makanan halal pula di SINI. Harap dapat membantu anda yang ada plan nak ke sana. Kalau ada soklan lanjut leh comment di bawah, saya akan cuba beri jawapaan segera.





Friday, June 26, 2015

ITALI PART 2 - PERCUTIAN DIY DI FLORENCE

May lalu saya dan En. suami berkesempatan ke Itali. Percutian ke Itali ini mengambil masa lebih kurang 14 hari, di mana 4 hari 3 malam kami habiskan di Florence. Erm.. tidaklah solid 4 hari 3 malam sebab salah 1 hari tu kami buat day trip ke Pisa dan Cinque Terre. Sebelum Florence, kami telah berada di Rome selama 5 hari 4 malam.

Kami mengambil keretapi laju Frecciagento Trenitalia dari Rome dengan perjalanan yang mengambil masa 2jam sahaja. Keretapi bergerak dengan lajunya pada 250km/h sebab itu rasa sekejap je dah sampai, bayangkan kalau naik bullet train cemana la lajunya.. huhu... Setibanya di Florence, kami terus ke apartment yang disewa dari WaytoStay.com. Apartment terletak dalam 15min berjalan kaki dari stesen keretapi Santa Maria Novella, tapi disebabkan pada hari pertama tu tak tahu selok-belok jalan, so kami ambil bas sahaja. Tiket bas sehala ialah Euro 1.20/pax.

Posing  sat depan keretapi

Nak jadi cerita; semasa naik bas kali pertama di Florence tu, bas yang kami naik tidak berhenti di hentian yang sepatutnya (tak sama dengan nama hentian di jadual). Jadi selepas agak lama pusing sana-sini tapi hentian yang kami mahu untuk ke apartment masih juga tak sampai-sampai. Sayapun terpaksa bertanya kepada penumpang yang lain. Kami tunjukkan alamat apartment kepada mereka. Memandangkan penduduk tempatan tidak berapa pandai berbahasa English, jadi 2-3 orang juga la yang cuba bercakap itu-ini dalam bahasa Itali untuk membantu kami tapi kami tak faham. Akhirnya, mereka suruh kami follow sorang untie tua yang kebetulan dah nak turun. Untie tu peramah, sambil berjalan dia bercakap dalam bahasa Itali dan tunjuk-tunjuk ke depan. Jauh juga dia bawa kami berjalan. Den memang tak faham apo2, ikut je la. Akhirnya dia berhenti di satu lorong dan tunjuk straight ke depan. Alhamduliillah, kami tiba di lorong di mana apartment kami berada. Selama ucap "grazie", kami pun berpisah. Tak sangka, warga Firenze amatlah peramah dan helpful. Cakap-cakap orang tentang orang Itali yang kasar dan bongkak langsung tidak tepat sepanjang kami di sana.

 Santa Maria Novella (SMN) Stazione dari pandangan sisi tepi

Seberang jalan dari stesen SMN terletaknya Tourist Information office. Bercantum dengan ofis ini ialah gereja Santa Maria Novella.

Ini adalah papan tanda jadual perjalanan bas. Ia terletak di semua bus-stop seluruh Itali, jadi senang nak tengok pukul berapa bas akan lalu dan ke mana destinasinya. Yang bestnya, bas memang punctual ikut jadual ni!

Apartment yang kami sewa berharga Euro 280.50 untuk 3 malam. Terletak di Via dell'Orioulo 9, kedudukan amat strategik, sebab hanya 2min ke Duomo dan boleh berjalan kaki saja ke tempat-tempat lawatan utama yang lain. Ia adalah apartment 1 bilik, dilengkapi dengan dapur memasak, mesin basuh baju, meja makan dan wifi super laju. Hiasan apartment ini memang bercirikan Italian, so memang rasa selesa. Dari tingkap bilik boleh nampak bumbung Duomo. Memang amat dekat!

Siap ada bunga ros menghiasi satu ruangan di kamar tidur. Sentuhan peribadi beginilah yang membuatkan kita rasa istimewa bila berada di homestay orang.

 Pemandangan dari tingkap bilik apartment    

Memandangkan apartment sudah berada di tengah-tengah bandar Florence, jadi kami tak memerlukan pengangkutan awam sangat ketika di Florence. Boleh kemana-mana dengan berjalan kaki. Tapi kami beli juga beberapa keping tiket single journey yang berharga Euro 1.20 each, in case nak pakai bila perlu.


HARI PERTAMA

Hari pertama, kami mencari Conad untuk beli air mineral dan sedikit makanan. Conad ialah mini market yang bersepah di serata Itali. Harga di sini amat murah. Jadi kalau nak cari makanan segar dan kering, boleh cari di Conad. Selepas restock air mineral, buah strawberi, oren dan sedikit coklat, kami pun menuju ke tempat lawatan yang pertama iaitu Piazza Duomo.

 Soping di Conad

Satu reminder ye! Kalau nak beli buah-buahan di Itali, sila gunakan sarung tangan plastik untuk ambil dan belek-belek buah ye. Sebab saya dah kena sound masa memilih buah oren tanpa pakai sarung tangan plastik yang disediakan. Perempuan warga tempatan yang menegur saya dalam bahasa Itali, memula saya tak faham apa-apa dan teruskan membelek. Diapun datang tunjukkan sarung tangan plastik dan suruh saya guna. Hm, baru den faham. Mereka mementingkan kebersihan hokey.. manalah tahu kot2 ada yang bawa virus ke bakteria ke baru lepas gi toilet ke.. huhu..

Pada pemerhatian saya bangunan di Piazza Duomo ini lain sikit senibinanya dari gereja-gereja lain yang saya nampak di Itali. Ia mempunyai senibina neo-gothic dan mengambil masa 150 tahun untuk disiapkan. Pada zaman ianya dibina (tahun 1200-1400an), belum ada teknologi/knowledge untuk bina bentuk dome begitu. Jadi, memang hebatlah ketika tu. Hiasan di dalamnya pula dihasilkan oleh beberapa artis glamer seperti Zuccari dan Vasari yang menghasilkan lukisan di siling bangunan. Masuk ke dalam Duomo adalah percuma, dan boleh sewa audio guide (optional) pada harga Euro 2.50/pc. Untuk panjat dome roof yang dikenali sebagai Brunelleschi Cupola kena bayar tiket berharga Euro 10/pax. Tiket ini dinamakan OPA Pass, once dah beli boleh naik semua 5 tower yang ada di Piazza Duomo itu. Untuk pengetahuan, takde lift di sini. Semuanya kena panjat tangga belaka. Ko sanggup ke tak  je nak panjat 400 lebih anak tangga setiap satu.. huhu..

 Sebahagian daripada bangunan Duomo

Menara inilah yang mempunyai lebih 400 anak tangga. Kalau nak panjat semua tangga-tangga yang ada di sini, boleh beli tiket di ground floor menara ini.

Rome adalah bandar yang terkenal dengan kegiatan seni sejak dari zaman Renaisance. Pelukis-pelukis jalanan berada di mana-mana sahaja, termasuklah di Piazza Duomo ini.

Selepas Duomo, kami meneruskan perjalanan ke arah Uffizi. Dalam 10min berjalan lenggang-kangkung je dah sampai. Uffizi Gallery adalah salah sebuah muzium yang wajib kita pergi bila di Florence sebab ia menempatkan kebanyakan hasil seni artis-artis terkenal Itali. Kami tidak masuk Uffizi hari ini sebab kami sudah beli tiket masuk untuk esok. Hari ini sekadar pusing-pusing sekitar Florence amik feel.

Untuk ke Uffizi, kami melalui lorong-lorong kecil. Florence memang ada banyak lorong-lorong kecil, tapi tak merisaukan sebab ramai orang lalu lalang. Bangunan-bangunan di sini sudah berusia ribuan tahun, jadi tidak hairanlah jalanraya kecik jer.

Macam cantik jer handbang ni.. tapi takpelah, mak tak mampu!

Teksi ini menarik perhatian kami dan juga pelancong-pelancong lain. Hiasan ceria diluar dan di dalam. Dalam teksi ni penuh bersusun soft toys.. tentu bebudak suka naik teksi ni. Kreatif!!

Dah sampai Uffizi! Kat luar pon dah banyak patung-patung bogel.. apatah lagi di dalam.

Bersebelahan dengan Uffizi terletaknya Gucci Museo. Haaa... peminat-peminat Gucci jangan lepas peluang masuk sini. Ticket masuk Euro  7/pax. Selama daripada tu, saya juga ada perasan Ferragamo Museum dan beberapa Italian brands yang lain, tapi saya tak masuk pon. Saya memang tak berapa follow branded stuff nih. Saya pakai cap ayam jer.

Gucci Museum.

Berdekatan dengan Uffizi Gallery, ialah Ponte Vecchio (bermaksud Jambatan Lama) iaitu salah satu daripada ponte yang popular di Florence di mana terdapatnya butik-butik barang kemas jenama terkemuka dunia. Kebetulan masa tiba di situ hari dah nak senja, jadi sempat jugalah tengok matahari terbenam di sini. Subhanallah, amat breathtaking!

 Deretan kedai-kedai emas berjenama mewah di atas jambatan Ponte Vecchio

 Pemandangan senja yang cantik dari Ponte Vecchio.

Semasa lepak di Ponte Vecchio, ada seorang Bangla kasi flyer restoren, halal katanya. Memandangkan perut pun dah lapar, kami pun pergi cari restoren tu. Ianya amat dekat dengan Ponte Vecchio, hanya belok kiri sebaik melepasi jambatan itu dan jalan straight jer. Nampaklah Cucina Medina Restaurant / Tandoori Restaurant milik warga Pakistan. Saya ada menulis review tentang restoren yang juga menjadi tempat wajib singgah DYMM Sultan Abdul Halim setiapkali baginda ke Florence itu di SINI.

 Cucina Mediterrenean Restaurant

Sehabis makan hari sudah gelap. Tapi tekak rasa nak makan gelato, sebab dah terbiasa semasa di Rome makan gelato. Tokey restaurant ni bawakan kami ke kedai Gelato halal di sebelah kedainya yang bernama La Strega Nocciola. Gelato di sini amat sedap. Handmade dari bahan-bahan semulajadi sahaja, katanya. Kalau berminat nak tahu di mana kami makan sepanjang di Itali (semestinya HALAL!), boleh KLIK SINI.

Italian gelato is the best! Yummy!

HARI KEDUA

Hari ini kami khaskan untuk jelajah Uffizi Gallery. Tempatnya besar. 4 tingkat kalau tak salah.. 3jam juga kami ronda dalam tu. Lenguh kaki dibuatnya. Kami dah beli tiket masuk sejak di Malaysia lagi pada harga Euro 8/pax di http://www.uffizi.org/buy-tickets/. Jadi semasa di sana, kami tidak perlu beratur panjang untuk beli tiket lagi. Boleh terus pergi ke reservation counter untuk tukar voucher kepada tiket.

Uffizi dibina oleh Medici, seorang pemerintah Florence di zaman Renaisance dulu. Keluarga Medici ni memang terkenal dengan kekayaannya. Kalau ke Florence tapi tak ambil tahu pasal siapa Medici ni, tak lengkap trip tu. Sebab selain Uffizi, Ponte Vecchio yang 2 tingkat (a.k.a Vasari corridor) tu pon famili Medici ni punya idea. Dengan adanya Vasari corridor ini, mereka boleh bergerak dari istana mereka di Pitti Palace ke Uffizi tanpa perlu ikut jalan bawah bersama rakyat marhaen lain. Kira macam private corridor laa..

Punyelah ramai pengunjung Uffizi hari ini!

Selain daripada lukisan di bumbung, Medici juga mempamerkan portraits bangsawan-bangsawan dunia, termasuklah dari negara-negara Islam.

 Tahu tak kepala berambut ular ni milik siapa? Tentulah Medusa!

Ada banyak lagi gambar-gambar menarik yang kami ambil semasa di Uffizi, sebab ia menempatkan koleksi-koleksi seni popular dari abad ke-13 ke abad 18! Tapi malangnya gambar-gambar tu tak sesuai untuk saya kongsikan di sini sebab takut kena sensor plak blog saya ni nanti. Kebanyakan hasil seni dorang ni tak berpakaian belaka...huhu..

Sehabis Uffizi, kami menapak ke Piazzale Michaelangelo (Dataran Michaelangelo) yang berada di atas puncak bukit tidak jauh dari bandar tua Florence ini. Sebenarnya ada laluan jalan raya dan boleh je naik bas no. 12 atau no. 13 dengan tiket berharga Euro1.20 (sila beli tiket awal-awal sebab kat atas ni xde jual tiket), tapi demi untuk mendapatkan feel tentang kawasan sekitar Florence, suamiku mengajakku menapak jua. Mahu nak sejam berjalan kaki (sebab jalan lenggang kangkung mak limah dan banyak stop amik gambo sana-sini), tambah dengan kena panjat bukit yang curam tu. Ada 400 lebih anak tangga, hokey! Kaki sakit memang takleh blah.. tapi once sampai kat atas tu, haa! tu dia! Memang breathtaking panoramic view of Florence. Subhanallah!

Pandangan Sungai Arno yang indah dengan Ponte Vecchio sebagai main feature ini kelihatan dari salah satu daripada jambatan yang kaki lalui ketik dalam perjalanan ke Piazzale Michaelangelo.


 Bermulalah pendakian... dari bawah ni, puncak tak kelihatan.

Melihat kelibat medieval city wall dalam pendakian ke puncak menjadikan pengembaraan ini lebih menarik. Saya memang suka city wall gini.. rasa macam transported back to zaman princess2 yang kena tangkap duk dalam tower dikelilingi city wall yang tinggi2. Huhu... fantasi zaman kanak2 memang kelakar!

Inilah panoramic view of Florence dari Piazzale Miachelangelo. Dapat pemandangan begini secara percuma memang mengujakan.

HARI KETIGA

Memandangkan dah nak abis dah seluruh Florence kami rayau, hari ini sehabis solat Subuh kami buat keputusan untuk ke Pisa. Saya asingkan cerita tentang Pisa di SINI agar entry Florence ini tidak berat.

Owh ye, selain PISA, hari ketiga ini juga kami sempat ke Cinque Terre. Huhu. Sejak dari Malaysia kawan seofis dah jual pasal Cinque Terre, jadi memang ada dalam wish list cuma tiada dalam rancangan perjalanan asal. Disebabkan sempat, sehabis melawat Pisa kami terus beli tiket keretapi ke Cinque Terre. Review tentang Cinque Terre boleh dibaca di SINI.


HARI KEEMPAT

Hari ini adalah hari terakhir di Florence sebelum bertolak ke Venice. Memandangkan tiket yang dah dibeli siap-siap dari Malaysia adalah untuk perjalanan tengahari, jadi sempatlah kami ke Palazzo Vecchio (Old Palace) yang tidak jauh dari apartment. Hanya dalam 10min berjalan kaki dah sampai.

Fi hadapan Palazzo Vecchio yang meriah dengan restoren dan stall buah-buahan

Kalau mencari original paintings by local Italians, bolehlah beli di sini.

Atas kekangan masa, kami tak masuk ke dalam museum istana itu. Masa kami pergi tu tiket berharga Euro10/pax.  Selepas posing ala kadar di sekitar Palazza Vecchio, kami pergi menapak pula ke Stesen Santa Maria Novella. Ambil masa 20min juga berjalan.

Nampaknya berakhirlah sudah pengembaraan kami di Florence. Kalau diberi peluang tentu saja nak repeat lagi ke sini. Tapi, kami juga super excited sebab next destination ialah Venice. Venice, here we come!! 

Thursday, June 25, 2015

ITALI PART 1 : PERCUTIAN DI ROME

Pada May 2015, saya dan suami berkesempatan ke Itali sekadar untuk meluaskan pengalaman dan pengetahuan tentang negara dan budaya yang lain daripada negara sendiri. Kami buat DIY sahaja, tidak ikut mana-mana tour package sebab mahukan kebebasan masa dan aturcara. Perancangan ke sana sudah lama; ada saya detailkan di SINI. Tempat pertama yang kami pergi semasa di Itali ialah Rome. Selain Rome, kami juga ke Florence, Pisa, Cinque Terre dan Venice. Summary perjalanan ada saya ringkaskan di SINI.

Cuaca di Itali semasa kami tiba adalah amat baik. Bulan May adalah dalam musim spring, jadi cuaca yang sejuk-sejuk sedap membolehkan kami pakai t-shirt biasa je. Tak perlu pakai jaket tebal-tebal. Siang hari di Rome ketika itu juga agak panjang, dengan Subuh pada pukul 4 lebih dan maghrib pukul 8 lebih. Memang sesuyai sangat untuk sightseeing.. Tapi, memang tabah orang yang kena berpuasa di sini, lagi-lagi kalau puasa pada musim panas. Nanges nak tunggu waktu berbuka!
Semasa kami sampai di Rome Fiomicino Airport, hari sudah agak petang. Dari airport, kami menaiki keretapi Trenitalia untuk ke stesen keretapi utama iaitu Roma Termini Stazione dengan kos Euro14/pax/way. Setibanya di Roma Termini, kami terus mencari simcard tempatan. Ianya amat penting untuk menghubungi anak-anak kesayangan yang ditinggalkan di Malaysia.

  Over-excited semasa mula-mula sampai di Colosseum.


SIMKAD

Owh ya, mencari simkad di Itali ni kena hati-hati sikit. Kalau boleh jangan beli di airport sebab harganya amat tinggi. Kami ditawarkan harga setinggi Euro 120 untuk simcard sebulan, lengkap dengan data dan roaming. Nasib baik kami tidak ambil dan meneruskan perjalanan ke Roma Termini. Harga simcard dari syarikat telekomunikasi Wind yang kami beli di Roma Termini hanyalah Euro 28; cukup untuk kegunaan sebulan dan data 1G. Wind terletak di ground floor Roma Termini, berdekatan dengan butik coklat Lindt.

Di sinilah kami beli simcard Itali.

PENGINAPAN DI ROME

Di Rome kami menyewa sebuah apartment di Largo Preneste melalui housetrip.com dengan harga Euro 242.76 untuk 5hari 4malam. Apartment satu bilik ini lengkap dengan dapur, mesin basuh kain, internet super laju (download movie tak sampai 10minit!) dan katil queen yang selesa. Lokasi agak jauh dari Roma Termini, iaitu dalam 15min perjalanan tram, namun kedudukannya yang amat dekat dengan stesen tram menjadikannya pilihan kami. Untuk ke apartment ini dari Roma Termini, kita hanya perlu naik tram no. 4 atau no. 15 yang berada betul-betul di depan stesen Roma Termini. Kalau nak naik bas pon boleh juga, banyak bas yang serve laluan yang sama. Harga tiket sehala (tak kisah dari mana untuk kemana-mana destinasi) hanyalah Euro 1.50/pax.

 Pandangan dalam apartment di Rome.


PENGANGKUTAN DI ROME

Pengangkutan darat di Rome (dan Itali secara keseluruhannya) adalah amat efficient. Sepanjang di Rome, kami menggunakan tram, metro tren dan bas. Di sini, menaiki pengangkutan awam amatlah mudah sebab ada banyak hentian di mana-mana. Pelancong macam saya hanya perlu beli tiket di mana-mana kedai rokok/suratkhabar yang terletak di Roma Termini (kedai tertulis Tabacchi atau Gionarli). Tiket sama je untuk semua jenis pengangkutan darat di Rome.  Ada beberapa jenis tiket :
  • BIT = ticket untuk 1 trip sehala sahaja di sekitar bandar Rome berharga Euro 1.50. Ia boleh digunakan selama 100min, bermaksud once dah naik pengangkutan awam (metro train, tram atau bas) tu kita leh duk lepak dalam tu selama tidak lebih 100min. Ini sesuai kalau kita kesuntukan masa, so sekadar nak tengok sekitar bandar Rome tanpa turun dari bas.
  • ROMA 24hr = ticket untuk kegunaan seharian. Boleh naik-turun mana-mana pengangkutan awam di dalam Rome sebanyak mana yang kita suka. Harga hanyalah Euro7/day. Ianya adalah lebih murah daripada hop-on hop-off bus, betul tak?
  • ROMA 48hr = untuk 48jam (2hari) berharga Euro 12.50.
  • ROMA 72hr = untuk 72jam (3hari) berharga Euro 18.
  • CIS = untuk seminggu berharga Euro 24.
Perlu saya ingatkan bahawa setiap tiket perlu di 'validate' semasa pertama kali gunakan. Untuk bas dan tram, validatan machine terletak dalam bas/tram tu, manakala kalau naik metro validation machine terletak di platform. Adalah menjadi kesalahan jika tidak validate tiket, kita boleh didenda serta-merta sebanyak Euro 50 (ini maklumat yang diberikan oleh warga tempatan semasa mereka mengingatkan kami agar validate tiket dengan segera), atau kita kena turun di stesen berikutnya. Ticket inspector memang ada buat spot check dari semasa ke semasa. Mereka tidak cair dengan alasan "kami pelancong yang tak tahu apa-apa" sebab keperluan untuk validate tiket tertera di hentian dan di tiket itu sendiri. So, jangan lupa, hokey!!


Sebenarnya ada juga tourist pass yang boleh digunakan di Rome iaitu Roma Pass dan Omnia Pass yang merangkumi muzium dan pengangkutan awam, tetapi tak dapat saya nyatakan lebih lanjut sebab kami tak gunakannya. Harga Roma Pass 48hour ialah Euro 28 (free pengangkutan awam & 1 muzium entry) manakala Roma Pass 3 days ialah Euro 36 (free pengangkutan awam & 2 muzium entry). Omnia Pass pula jauh lebih mahal sebab ia termasuk Vaticam Museum iaitu Euro 98.

 Inilah tram stop station yang berdekatan dengan apartment kami. Tram lalu setiap kurang dari 3min.


AKTIVITI DI ROME

Rome terkenal dengan tinggalan sejarah yang berumur ribuan tahun. Mana-mana pergi pasti nampak tapak tinggalan sejarah seperti runtuhan bangunan lama. Rome was not built in one day, jadi tak logik kalau spend 1 hari saja di sini untuk melihat sejarahnya. Kami memilih untuk duk lama sket di sini iaitu 5hari 4malam.

Hari Pertama
Hari pertama ialah hari ketibaan. Selepas check-in, kami hanya lepak di apartment sewaan untuk hilangkan penat. Lagipun masa tu hari sudah gelap (pukul 8pm lebih) dan kami dah tapau dinner siap-siap semasa di Roma Termini tadi. Dinner ialah seekor grilled chicken dikongsi berdua. Yummy, memang sedap dan yang penting ianya Halal! Saya ada menulis tentang tempat makanan halal di Itali di SINI.

Hari Kedua
Hari kedua adalah hari untuk menjelajah seluruh Rome. Kami ambil tiket 24hour untuk memudahkan naik-turun kenderaan awam nanti. Dari apartment, kami ke Roma Termini. Kemudian dari Roma Termini kami hanya berjalan lenggang-lenggok ala cik kiah sambil memerhati sekeliling ke arah Coloseum. Hanya dalam 20min berjalan untuk sampai Coloseum. Kalau malas jalan (atau ada masalah kesihatan), boleh naik Metro Linea B. Hari ini kami takkan masuk ke dalam Coloseum sebab harini adalah hari Ahad pertama untuk bulan May. Kami hanya akan tengok Coloseum dari luar hari ni, esok kami akan datang lagi untuk masuk bersama tour group yang dah ditempah siap-siap dari Malaysia.

Suasana pagi di salah satu kawasan di bandar lama Rome.

Sambil berjalan ke arah Colosseum, ternampak kereta ni. Cool! Kereta untuk seorang naik saja. Parking pun pakai space cinonet jer.

Kenapa Ahad pertama tak sesuai untuk masuk? Sebab setiap bulan pada hari Ahad pertama, entry ke dalam Coloseum adalah percuma. Sepatutnya free lagi la kena masuk, betul tak? Salah!! Sebabnya pada hari ini Coloseum terlalu sesak dengan manusia, macam semut menghurungi gula. Barisan untuk masuk punyalah panjang berkilo-kilometer. Mahu 3-4jam berdiri dalam barisan di bawah pancaran terik matahari je nanti. Kan ke rugi masa datang jauh-jauh dari Malaysia sekadar nak beratur depan Coloseum, betul tak? OK, betul!

 Kelihatan pelancong mengerumuni Colosseum pada pagi Ahad itu.. punyalah ramai. Kalau beratur, tak tahu pukul berapa boleh masuk.

Selepas Coloseum, kami menapak ke keliling Palatine Hill (another 20mins lazy walking) untuk ke Piazza Venezia. Dalam perjalanan kami melalui Circus Maximus; sebuah gelanggang luba kereta purba Rome dan antara tempat hiburan terbesar., namun sekarang hanya sedikit tinggalan runtuhan yang ada. Mereka masih kosongkan tempat ini sebagai tanda sejarah. Setibanya di puncak Palatine Hill, kami dapat tengok tinggalan Roman Forum yang menakjubkan!

Di tanah lapang inilah terletaknya Circus Maximus. Di sebelah kanan dalam kawasan bertutup hoarding itu adalah tinggalan runtuhan yang ada. Background di belakang itu ialah antara binaan di Palatine Hill.


 Inilah Roman Forum yang kelihatan dari atas bukit Palatine Hill.

Berjalan kaki lagi dengan gigihnya ke arah PiazzaVenezia (another 20min lazy walking) yang terletak di Capitoline Hill. Di sinilah terletaknya monument raja Itali yang pertama iaitu King Victor Emmanuel II. Dan kita juga leh nampak Trajan's Forum di sini. Untuk melihat panoramic view of Rome, bolehlah naik ke atas bangunan monument King Emmanuel II tu dengan lift yang terletak di sebelah atas belakang bangunan. Kedudukan lift ini agak tersembunyi sket; kita kena naik tangga monument tu hingga atas sekali dan ke arah kanan. Akan kelihatan deretan pelancong beratur untuk naik ke atas. Tiket panoramic view itu ialah Euro 7/pax, boleh beli di kaunter tiket tertera tulisan 'Roma Dal Cielo' (yang bermaksud Rome from Heaven).


Piazza Venezia yang terletak berhadapan dengan Monument

Monument King Victor Emmanuel II juga menempatkan kuburan pejuang-pejuang negara yang terkorban.

Di dalam museum

Sedang beli tiket untuk tengok panaromic view of Rome

Panoramic view - nampak tak Colosseum? Perhatikan jalanraya yang dibanjiri pelancong yang berjalan kaki dari sana ke sini.

Dari Piazza Venezia, kami menapak lagi, kali ini ke Trevi Fountain. Di sini famous dengan tradisi pelancong melontar duit syiling ke dalam fountain itu sebab terdapat lagenda yang mengatakan bahawa barangsiapa yang membaling syiling ke dalam fountain ini akan gerenti dapat datang lagi ke Rome. Caranya ialah dengan membelakangkan badan dari fountain tu dan baling siling dari atas bahu kiri. Ntah betul ntah tidak, tapi ramai yang percaya. Kita yang Muslim tak perlu percayalah pada mende-mende begini. Kita kena percaya pada rezeki; kalau takde rezeki memang takkan ke sana punya. Tapi yang betulnya ialah lebih kurang Euro 3,000/day dikutip oleh kumpulan pembersih Trevi Fountain bernama Caritas. Trevi fountain amat femes, memang sesak dengan pelancong. Bayangkan Euro 3,000/day x 365days/year = Euro 1.1Million setahun! Caritas adalah badan amal Roman Katolik yang membantu orang miskin beragama Kristian di lebih 200 negara. So when you think of tossing a coin here, think about Caritas.

Semasa kami di sana, Trevi Fountain sedang menjalani kerja-kerja baikpulih, so tak nampaklah kegemilangannya. Tapi pelancong tetap juga ramai; sesak tempat tu dibuatnya. Mereka masih sediakan laluan di tengah-tengah fountain untuk pelancong tengok fountain dari dekat dan memberi peluang untuk lontarkan syiling.

Trevi Fountain dikerumuni pelancong

Laluan khas yang disediakan untuk pelancong tengok Trevi Fountain dari dekat walaupun sedang menjalani kerja-kerja baikpulih

Selepas makan tenghari di restoren halal 'Luna Caprese' dan merasa gelato halal yang amat refreshing di kedai gelato 'Cecere', kami meneruskan perjalanan ke Spanish Steps. Ini adalah salah satu daripada nama tempat yang perlu diketahui oleh branded-shopaholics. Butik-butik barangan mewah berderet-deret di sini, mereka menggunakan bangunan lama yang bersejarah sebagai butik. Memang nampak ekslusif in old fashion way. Walaupun nama tangga ni Spanish Steps, sebenarnya ia dibina oleh seorang French untuk menghubungkan Piazza de Spagna (di bawah) dan Piazza Trinita dei Monti (di atas) di mana sebuah church berada. Terdapat 135 anak tangga di Spanish Steps ini, dan kesemua sesak dengan pelancong yang duduk melepak. Di kaki tangga tu ada fountain bernama Barcaccia Fountain dan dari pemerhatian saya, ramai yang tadah air fountain tu untuk minum. Saya tak pasti untuk tujuan apa.

 Spanish Steps yang sesak dengan pelancong

Selain tradisi minum daripada air fountain ini, pelancong juga percaya pada tradisi untuk hanyutkan bunga ros di sini.

Deretan butik-butik berjenama mewah di sekitar Piazza de Spagna

Sehabis melepak di Piazza de Spagna, kamipun pulang ke apartment. Hm, rugi betul beli tiket 24hr tapi naik 2-3 kali sahaja. Sepatutnya beli 3keping tiket BIT baru Ero 4.50 berbanding tiket 24hr berharga Euro7. Takpelah.. saya tak tahu. Tapi korang yang dah tahu ni, semoga dapat berjimat cermat ye!

Hari Ketiga
Hari ketiga kami khaskan untuk Colosseum, Roman Forum dan Palatine Hill. Kami dah beli tiket tour dari rome-museum.com pada harga Euro 23/pax sejak di Malaysia lagi. Dengan tour group ni, kami dapat skipped the line dan mengikuti tour group yang tidak lebih daripada 15 orang. Tour guide kami memberikan penerangan detail tentang Colosseum membuatkan kami makin kagum dengan kehebatan engineering mereka pada zaman itu.

 Beginilah rupa tinggalan Colosseum dari dalam

 Tour guide explain sejarah Colosseum dan menunjukkan bagaimana rupa Colosseum sebelum ia runtuh

 En. Suami sedang bertanyakan soklan pada tour guide - he's a history junkie.

Ramainya pelancong. Ini hari biasa, bukan Ahad. Bayangkan macamana sesaknya pada hari Ahad.

Colosseum mempunyai tingkat bawah tanah yang menempatkan bilik-bilik kurungan gladiators. Memang boleh nampak dek kesan runtuhan.

Tour mengambil masa 2jam sahaja, lepas tu kami free & easy saja dalam Colosseum tu. Tour guide hanya menemani kami di Coloseum, selebihnya di Roman Forum dan Palatine Hill kami kena jelajah sendiri. Dia hanya explain pasal tempat2 itu sahaja. Roman Forum terletak di lembah antara Palatine Hill dan Capitoline Hill, ia pernah menjadi tempat dimana bangunan-bangunan pentadbiran dan penting kerajaan Rome berada. Sebelum menempatkan bangunan kerajaan, ia pernah menjadi marketplace iaitu dikenali sebagai Forum Magnum, shortcutnya panggil Forum je. Itulah asal nama tempat ni. Dikatakan tempat ini dikerumuni oleh 4.5juta pelancong setahun. Bayangkan betapa kayanya Itali disebabkan mende ni je.. tak termasuk Colosseum & Vatican!

Inilah pemandangan yang impressive sebaik masuk ke Roman Forum atau dikenali sebagai Faro Romano oleh warga tempatan

Lagi runtuhan-runtuhan di Faro Romano.

Selepas sakit kaki menjelajah Roman Forum yang besar tu, kami memilih untuk lepak di Farnese Garden, ia terletak betul-betul di atas bukit Palatine Hill, hanya dalam 5-10min berjalan kaki dari Roman Forum. Asalnya taman ini adalah taman persendirian milik salah seorang daripada Cardinal Rome. Taman ni memang strategik sebab dari atas tu boleh nampak panoramic view of Roman Forum dan bandar Rome itu sendiri. So, kalau korang nak tengok panaromic view of Rome secara percuma, jangan lupa panjat bukit dan naik ke Farnese Garden ni ye.

Inilah Roman Forum yang boleh dilihat dari Farnese Garden. Juga kelihatan dari sini ialah Monument of King Emmanuel II yang berada di Piazza Venezia.

Sehabis di sini, kami memutuskan untuk mencari makan di sekitar Roma Termini dan pulang ke aparment sebab kaki sudah sakit.
 
Hari Keempat
Hari ini dikhaskan untuk melawat Vatican City. Di sini kami ambil tour guide dari viator.com pada harga USD 133.30 untuk 2 orang, dan booking telah di buat sejak di Malaysia juga. Dengan menyertai small tour group ini (kumpulan kami khas untuk 8 orang sahaja), kami dapat skipped the line (entry line di sini amaaaaat panjang!), Sistine Chapel dan St. Peter's Basilica. Tour guide kami adalah dari syarikat Joy of Rome. Jadi saya cadangkan jika korang nak ambil tour guide, hubungi terus Joy of Rome, tak perlu pakai travel agency yang lain so that kos akan lebih murah.

 Inilah tembok besar dan pintu masuk ke negara Vatican. Barisan pelancong sudah panjang menjela seawal pukul 8.30am itu.

Vatican city adalah sebuah negara, walaupun warganegaranya tidak sampai 1000 orang! Di sinilah ketua kepada semua paderi kristian katolik dunia berada (digelar Pope). Negara Vatican ini dibentuk pada 1929 semasa pemerintahan Mussolini. Walaupun sejarah dunia mengatakan mamat Mussolini ni jahat, namun dari segi agama dia soleh rupenya. Haha. Vatican menempatkan banyak karya artis tempatan yang glamer seperti Raphael, Michaelangelo, Leonardo, Caravaggio dan banyak lagi. Untuk yang buta seni seperti saya, saya hanya boleh tengok kosong.. tak paham mende.

Kami dibawa ke taman di tengah-tengah muzium Vatican. Nampak tak bola bulat warna emas tu? Itu adalah salah satu daripada modern art masterpiece yang dimiliki oleh Vatican. Dan inilah antara ahli kumpulan kami; majoriti warga emas :-).

 Inilah bola emas tu.. ia adalah bola dalam bola (Sphere within sphere). Nampak macam emas dari jauh, tapi bukan emas sebenarnya.. ia diperbuat daripada bronze.

Kebanyakannya adalah ukiran patung-patung bogel dan lukisan-lukisan nude hokey.. so eden memang tak faham kenapa a religious place like this houses naked sculpture/arts? But.. but.. I have to remind you dirtyminders that it's not nude in provocative way. Sebab yang lelaki punye private part semuanya dibuat kecil comel sahaja, so that kita akan lebih tertumpu kepada badannya yang muscular dan mukanya yang macho, dan bukan private partnya. Ehem.

Yang sedang explain penuh emosi dan pegang stick berbalut kain pink polkadot itu adalah tourist guide kami. Di belakang itu adalah salah satu daripada ukiran patung yang tak sesuyai dilihat kanak-kanak.

Untuk pengetahuan, untuk masuk ke dalam Vatican kita perlu patuhi arahan cara berpakaian iaitu lutut ke bawah dan bahu mesti ditutup. Maklumlah, nak masuk rumah agama, kan. Lebih kurang macam nak masuk masjid kena tutup aurat juga. Kebetulan salah seorang daripada ahli kumpulan tour kami pakai sket super short dan bahu terdedah, so dia pun beli shawl untuk cover. Mahal juga rasanya penjual jalanan tu jual. Dia tak complaint pun, sebab bila masuk tempat orang kenalah ikut adab tempat itu (tak macam satu kes di Malaysia ni, etika berpakaian di pejabat kerajaan pun dipersoalkan. Kesian pekerja RELA yang dikenakan tindakan padahal dia hanya buat kerja dia memastikan pelawat mematuhi peraturan).

Punyelah padat dengan pelancong. Di sinilah saya kehilangan suami; memang boleh sesat-barat dan hilang kawan kat dalam ni. So, dicadangkan memerhati kawan/pasangan anda jangan sampai tertinggal di belakang atau ditinggalkan.


Ini adalah St. Peter's Basillica. Kawasan berpenghadang merah itu adalah dikhaskan untuk laluan Pope sahaja.

Pandangan hadapan St. Peter's Basillica. Nampak tiang-tiang Roman tu? Di antara tiang paling tengah ada tingkap, di tingkap itulah pengumuman untuk Pope baru dibuat setiap kali ada perlantikan. Juga kelihatan masa kami pergi tu ialah kerusi yang disusun untuk pertemuan Pope dengan rakyat jelata keesokkan harinya.

Selepas melawat negara terkecil di dunia itu, kami bersiar-siar di kawasan sekitar. Jalan punya jalan, kamipun sampai ke Castel Sant'Angelo yang terletak berdekatan dengan Sungai Tiber. Suatu ketika dulu bangunan ini adalah bangunan tertinggi di Rome, tapi sekarang tidak lagi. Ia dibina sebagai mausoleum, kemudiannya pernah digunakan oleh popes sebagai fortress tapi sekarang dah jadi muzium jer. Harga tiket masuk Euro 8, tapi kami tak masukpun. Tengok dari luar je.

Castel Sant' Angelo dari seberang Sungai Tiber


 Ponte Sant'Angelo

Sehabis di sini, kami pergi ke Villa Borghese. Di sini ada sebuah taman rekreasi yang amat besar. Lama juga kami lepak-lepak di sini dengan berbaring di atas rumput macam mat saleh yang lain. Seronok juga berbaring begitu, dengan cuaca yang baik dan tiupan angin lembut. Kami tidak masuk Villa Borghese itu sendiri sebab tak rasa macam perlu pun.

Sebahagian daripada taman Villa Borghese, jalan ini menuju ke Villa Borgese

Inilah Villa Borghese

Kelihatan pelancong menadah air dari mulut singa untuk diminum


Hari Kelima
Memandangkan ini adalah hari terakhir, kami tiada aktiviti khusus. Selepas check-out pada pukul 10am, kami terus ke Roma Termini. Selepas pekena pizza di salah sebuah kedai makan berdekatan Roma Termini, kamipun menaiki keretapi Trenitalia ke Florence. Harga tiket untuk keretapi laju Frecciargento milik Trenitalia dari Rome ke Florence ialah Euro 19/pax. Tiket ini telah kami beli awal-awal lagi semasa di Malaysia. Perjalanan hanya mengambil masa 2 jam sahaja.

Kesimpulannya..
Rome adalah bandar yang kaya dengan tinggalan sejarah. Rome was not built in one day, jadi mana mungkin kita leh habis melihat semua tinggalan sejarah tu dalam masa sehari. Saya rasa sekurang-kurangnya kena 3 hari baru puas hati.

Jika berminat untuk membaca tentang Florence, bolehlah baca di ITALI PART 2 : PERCUTIAN DI FLORENCE

Selain Rome, percutian kali ini juga merangkumi :
- Transit di Paris
- Florence
- Pisa
- Cinque Terre
- Venice
- London





Gambar Belangkas