Showing posts with label Battle of Badr. Show all posts
Showing posts with label Battle of Badr. Show all posts

Sunday, May 17, 2015

Pasukan Iblis dalam Perang Badar

Setelah Allah memerintahkan orang-orang mukmin untuk ikhlas dalam berjihad di jalannya dan banyak berzikir menyebut nama-Nya, maka Allah S.W.T melarang mereka bersikap menyerupai perbuatan orang-orang musyrik yang keluar dari negeri mereka dengan langkah-langkah yang angkuh menolak perkara yang hak serta melakukan riya', yakni bersikap sombong dan takabur terhadap orang-orang mukmin. 

Ketika dikatakan kepada Abu Jahal, "Konvoi kafilah Quraisy telah selamat (dari penghadangan pasukan kaum mukmin), maka kembalilah." lalu Abu Jahal berkata. "Tidak, demi Allah, kami tidak akan kembali sebelum sampai di mata air Badar, lalu menyembelih unta dan minum-minum khamr serta mendengarkan nyanyian para biduan yang menyanyi untuk kami. Kemudian kelak orang-orang Arab semuanya akan membicarakan perihal kekuatan kami pada hari itu untuk selama-lamanya."

Tetapi kenyataannya terbalik, tidaklah seperti yang dia duga, kerana ketika mereka sampai di mata air Badar, ternyata mereka mendatangi air yang panasnya bergolak dan mereka dimasukkan ke dalam sumur Badar dalam keadaan terhina, kecil lagi celaka kerana dimasukkan ke dalam azab.

Muhammad ibnu Ka'b mengatakan bahawa ketika kaum Quraisy keluar dari Mekah menuju Badar, mereka keluar dengan membawa para penyanyi dan alat-alat muzik. Maka Allah S.w.t. menurunkan firman- Nya;
"Dan janganlah kalian menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riya' kepada munusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah. Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan." {1}
Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka dan mengatakan; "Tidak ada seorang manusia pun yang dapat menang terhadap kalian pada hari ini, dan sesungguhnya aku ini adalah pelindung kalian. "{2}, hingga ke akhir ayat. 

Syaitan laknatullah menjadikan mereka memandang baik niat dan kedatangan mereka itu, dan memberikan semangat kepada mereka melalui bisikannya bahawa tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengalahkan mereka pada hari itu. Syaitan pun melenyapkan rasa takut dari mereka kerana mereka merasa khuatir bila kampung halaman mereka yang ditinggalkan akan diserang oleh Bani Bakar. musuh mereka. Maka syaitan berkata kepada mereka, "Sesungguhnya aku ini adalah pelindung kalian." 

Demikian itu terjadi setelah syaitan menyerupakan dirinya dengan rupa Suraqah ibnu Malik ibnu Ju'syum. pemimpin Bani Mudlaj. orang yang disegani di kawasan itu. Padahal semuanya itu adalah perbuatan syaitan belaka, seperti yang disebutkan oleh Allah S.W.T dalam firman- Nya;
"Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkit-kan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka." {3}
Ibnu Juraij mengatakan bahawa Ibnu Abbas mengatakan sehubungan dengan makna ayat ini, "Ketika Perang Badar terjadi, iblis bergerak dengan membawa panjinya beserta pasukannya bersama pasukan kaum musyrik. Lalu iblis membisikkan ke dalam hati pasukan kaum musyrik bahawa tidak ada seorang pun yang dapat mengalahkan mereka, dan sesungguhnya dia adalah pelindung mereka." 

Ketika mereka bersua dengan pasukan kaum muslim dan syaitan melihat bala bantuan para malaikat di pihak pasukan kaum muslim, "syaitan itu berbalik ke belakang (mundur)." {4}

Syaitan itu lalu mundur melarikan diri seraya berkata, seperti yang disebut oleh firman-Nya;
"Sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat melihat." {5}
Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari lbnu Abbas, bahawa iblis datang pada hari Perang Badar bersama pasukan syaitan yang dibawanya, sedangkan panjinya dia sendiri yang memegang. Iblis saat itu menyerupakan dirinya dalam bentuk seorang lelaki dari kalangan Bani Mudlaj, iaitu dalam rupa Suraqah ibnu Malik ibnu Ju'syum. Lalu syaitan berkata kepada kaum musyrik, "Tidak ada seorang pun yang dapat mengalahkan kalian pada hari ini, dan sesungguhnya aku ini adalah pelindung kalian."

Tetapi ketika kedua belah pihak berdepan, Rasulullah S.a.w mengambil segenggam pasir dan melemparkannya ke arah wajah orang-orang musyrik, maka mereka mundur ke belakang. Dan Malaikat Jibril a.s. datang mengejar iblis. Ketika iblis melihatnva (saat itu tangan iblis memegang tangan salah seorang dari pasukan kaum musyrik), maka dengan serta merta iblis menarik tangannya, lalu lari bertempiaran bersama pasukannya. Maka lelaki yang dipeganginya itu berkata. "Hai Suraqah, bukankah kamu tadi mengatakan bahawa kamu adalah pelindung aku?" Iblis berkata yang seperti dalam firman-Nya;
"...sesungguh-nya aku dapat melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat melihat, sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat keras siksa-Nya." {6}
Demikian itulah yang terjadi ketika syaitan melihat para malaikat. {7}


[via]
_____________________________________
1. QS al-Anfal: 47
2. QS al-Anfal: 48
3. QS an-Nisa: 120
4. QS al-Anfal: 48
5. QS al-Anfal: 48
6. QS al-Anfal: 48
7. Tafsir Ibnu Katsir, Surah al-Anfal, ayat 47 - 48 oleh Ibnu Katsir

Sunday, December 18, 2011

Malaikat Jibril Dan Kudanya Dalam Perang Badar

Dalam Islam, Malaikat merupakan hamba dan ciptaan Allah SWT yang dijadikan daripada cahaya lagi mulia dan terpelihara daripada maksiat. Mereka tidak berjantina, tidak bersuami atau isteri, tidak beribu atau berbapa dan tidak beranak. Mereka tidak tidur dan tidak makan serta tidak minum. Mereka mampu menjelma kepada rupa yang dikehendaki dengan izin Allah SWT. Sebagai contoh malaikat datang kepada kaum Lut menyerupai lelaki yang kacak. {1}
(Mendengarkan yang demikian), tetamunya berkata: "Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah Malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh bukankah waktu subuh itu sudah dekat?" {2}
Ringkasnya - Selain daripada mencatitkan amalan, dan menjalankan tugas-tugas lain yang telah ditentukan, para malaikat yang juga merupakan bala tentera Allah SWT yang diturunkan ketika umat Islam berperang menghadapi tentera musuh. Ia adaah bagi untuk membantu tentera Islam menghadapi sejumlah besar tentera musuh yang sejak lama dahulu tidak pernah luntur semangatnya untuk menghancurkan Islam. Perang Badar misalnya, terbuktidisertai oleh sebilangan besar para malaikat. Ini jelas terbukti dengan catitan dalam beberapa sumber-sumber Islam.

Memetik bicara Imam Bukhari dalam kitab Shahih-nya, bab "Syuhuudul Malaa-ikah Badran" yang berkata :

Dari Mu'adz bin Rafa'ah ibn Rafi' az-Zargi dari ayahnya yang ikut serta dalam Perang Badar al-Kubra. Dia berkata, "Malaikat Jibril as mendatangi Nabi Muhammad SAW dan berkata, "Apa pendapatmu tentang pengikut Perang Badar dari kalanganmu?" Rasulullah SAW menjawap, "Dari kalangan kaum Muslimin yang paling utama." Malaikat Jibril as kembali berkata, "Demikian juga dengan para malaikat yang ikut serta dalam Perang Badar."

Jadi, jelaslah disini bahawa malaikat Jibril sendiri terlibat di dalam Perang Badar dengan bertindak membantu tentera-tentera Islam menentang tentera Musyrikin. Hendaklah diingatkan bahawa Allah SWT itu Maha Berkuasa dan mampu berbuat apa sahaja akan tetapi Allah SWT juga Maha Adil. Sebenarnya boleh sahaja, golongan Musyrikin itu dimatikan sebelum perang, dan tidak perlu pun untuk malaikat Jibril turut bersama tentera Islam bagi menewaskan tentera musuh. Tetapi setiap yang berlaku ada hikmahnya, dan ada beberapa hal yang tidak mampu atau boleh kita pertikaikan/fikirkan kerana sesungguhnya akal fikiran manusia tidak akan mencapai hingga ke tahap infiniti. Ianya mustahil sama sekali. Apa yang perlu ditekankan disini ialah, malaikat mampu menjelma dengan apa jua rupa bentuk yang baik (kecuali buruk atau wanita) dengan izin Allah SWT. 


MALAIKAT JIBRIL DAN KUDA TUNGGANGANNYA (HAIZUM) DALAM PERANG BADAR

Haizum dikenali sebagai kuda milik Jibrail as. Menurut ajaran Islam, Jibrail as adalah ketua kepada segala Malaikat. Haizum beberapa kali diungkap Rasullulah SAW dalam hadith Baginda. Antaranya adalah:
Rasulullah bersabda, “Bergembiralah wahai Abu Bakar, pertolongan Allah telah datang. Ini adalah Jibril yang sedang memegang kendali tunggangannya di atas gulungan-gulungan debu.” {3}


Diriwayatkan juga dari Abu Zumail, ia berkata, "Ibnu Abbas berkata kepadaku, 'Salah seorang lelaki Muslim yang sedang menghadapi seorang musyrik di depannya menerangkan kepada kita bahawa tiba-tiba dia mendengar suara pukulan cemeti di atasnya dan suara seorang pahlawan yang mengatakan 'Hadapilah Haizum (nama kuda tunggangan malaikat Jibril as). Lalu ia melihat lelaki musyrik itu menggeletak. Dia melanjutkan, 'Lelaki Muslim itu mengamatinya, ternyata kepalanya telah remuk dan wajahnya terkoyak seperti (bekas) lecutan cemeti. Lalu ia menghadirkan sekelompok kaumnya. Kemudian orang Anshar itu datang dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda, 'Engkau benar bahawa itu bantuan langit yang ketiga. Pada hari itu mereka membunuh tujuh puluh orang (musuh) dan menawan tujuh puluh orang lainnya." {4}
Rasullulah SAW bersabda ketika beberapa detik sebelum berlakunya Perang Badar. Perang Badar diketahui sebagai perang hidup dan mati Islam. Jika Islam kalah, maka tertimbuslah Islam dan tidak lagi mampu bangkit menyebarkan syiarnya. Jika Islam menang, Islam bakal mendapat motivasi yang besar dan akan terus bangkit untuk menyebar syiarnya kepada masyarakat Mekah, Madinah dan seluruh dunia.

Oleh kerana itu, Rasullulah SAW berdoa bercucuran air mata untuk meminta bantuan Allah SWT ketika peperangan Badar ini. Allah SWT adalah perancang yang Maha Hebat, Islam mendapat sokongan moral yang hebat dengan turunnya tentera berpakaian serba hijau iaitu para Malaikat Allah SWT. Ini diakui sendiri oleh Rasullulah SWT dan para sahabat.

Rasulullah SAW ketika meniup api semangat jihad ke dalam jiwa 312 orang tentera Islam, menyeru : 
Kaum Muslimin pun bertempur hebat dibantu oleh para Malaikat.  
Baginda berseru dengan lantang dan berkobar-kobar.

Catatitan hadith menyebut, Ibnu Ishhaq berkata, ketika salah seorang tentera kaum Muslimin mengejar seorang tentera Musyrikin yang berada di depannya. Tiba-tiba dia mendengar suara hencutan cambuk dan suara penunggang kuda yang berkata, “Terus maju wahai Haizum”. Lalu dia menyaksikan orang musyrik yang ada di depannya sudah terjerembab ke tanah dengan wajah yang hancur. {5}

Seseorang dari kaum Ansar yang melihat kejadian ini menceritakan kepada Rasulullah SAW, lalu Rasulullah kemudiannya bersabda :
Engkau benar, itulah pertolongan dari langit yang ketiga.”{6}
Dalam riwayat lain pula, oleh Ibnu Sa’ad menyebutkan daripada Ikrimah: “Pada hari itu (perang Badar) ada kepala orang Quraisy yang gugur tanpa diketahui siapa yang memenggalnya dan ada tangan yang terpelanting tanpa diketahui siapa yang mencantasnya.”

Abu Dawud al-Mazini berkata, “Aku sedang mengejar seorang tentera Musyrikin pada masa itu, tiba-tiba kepalanya sudah ditebas sebelum aku mengayunkan pedangku. Aku yakin ada orang lain yang membunuhnya terlebih dahulu.”

Lalu seorang Ansar datang membawa tawanan bernama al-Abbas bin Abdul Muthallib, al-Abbas berkata, “Demi Allah bukan orang ini yang tadi menawanku, tadi aku di tawan oleh seorang lelaki tinggi yang berwajah tampan dengan menunggang seekor kuda yang gagah. Dan aku tidak pernah melihat dia ditengah-tengah mereka ini.”

Allah SWT menghadiah seekor kuda gagah perkasa kepada Jibrail as untuk menjadi tunggangannya di medan Perang Badar. Kuda ini memiliki kelebihan yang luar biasa berbanding kuda biasa. Dalam peperangan Badar ini, bukan Jibrail as sahaja turut serta malah beribu malaikat lain turut serta berjihad di pihak mukmim. Oleh kerana itu, iblis bergitu gementar melihat kejadian itu. Dalam Perang Badar ini, Iblis yang menyertai kaum musyrikin dengan menjelma sebagai Suraqah bin Malik bin Jaksyam al-Mudlaji. Dalam perang ini, Suraqah telah mendapati kumpulan para malaikat telah bersama kaum muslimin untuk melawan musuh-musuh mereka. Kaum musyrikin telah cabut lari, dan berpaling tadah, al-Harith bin Hisyam yang memegang orang yang disangka Suraqah telah menendang ke dadanya menyebabkan beliau tersungkur jatuh, kemudian ianya cabut lari, sedang kaum musyrikin melaung: “Ke mana Suraqah? Tidakkah kau mengatakan yang engkau membantu kami dan tidak akan berpisah dari kami?” Jawab Iblis: “Sebenarnya aku telah melihat sesuatu yang kamu tidak melihatnya, aku takut seksaan Allah yang amat pedih itu, Iblis lari dan mencampak dirinya ke dalam laut”.

____________________________________________
1. http://ms.wikipedia.org/wiki/Malaikat
2. Lihat QS : Hud, ayat 81
3. Hadith Riwayat Ibnu Ishak
4. Lihat juga buku Abdul Hamid Kisyik, Berkenalan Dengan Malaikat, hlm 120
5. Sahih Muslim 2/93
6. Hadith Riwayat Imam Muslim

Gambar Belangkas