Showing posts with label Kita Akan Naikkan Cukai. Show all posts
Showing posts with label Kita Akan Naikkan Cukai. Show all posts

Wednesday, June 24, 2015

Rakyat Kena Terima Harga Tol Naik atau Kita Akan Naikkan Cukai


Datuk Seri Najib Razak hari ini mempertahankan langkah kerajaan untuk menaikkan kadar bayaran tol dan berkata, sekiranya harga tol kekal, Putrajaya terpaksa menaikkan kadar cukai.

Menurut Perdana Menteri, pihaknya bagaimanapun sedang meneliti beberapa kaedah untuk memberikan kesan minimum kepada pengguna tol tetap untuk mengelakkan mereka terbeban dengan kenaikan kadar berkenaan.

"Kalau tak kena tol kita kena naikkan cukai. Cukai ni kena semua. Tol orang lalu akan bayar. Tapi kerajaan memikirkan agar kenaikan ini tidak akan memberi keuntungan tak munasabah kepada tol operator.


"Mungkin bagi pengguna tetap kita boleh bagi season pass. Prinsip kita, pakai lebuhraya kita terpaksa bayar itu kita tak boleh tolak. Ini realiti," kata Najib ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA ke-60 di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut menyindir pembangkang dari Pakatan Rakyat yang hanya tahu mengkritik sedangkan mereka hanya mempunyai pengalaman mentadbir negeri, dan bukannya negara.

"Pembangkang di negeri sahaja. Ingat mereka kalau di tempat sama tidak buat tindakan sama?" katanya ketika berucap di hadapan perwakilan MCA dari seluruh negara.

Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional pimpinannya masih bersedia mendengar rungutan dan keluhan rakyat ekoran kenaikan kos sara hidup yang disebabkan program rasionalisasi subsidi.

"Saya tak kata kerajaan sempurna, tapi kerajaan ini sedia mendengar suara rakyat. Supaya tak terlalu berat bebannya kepada rakyat.

"Inilah langkah kehadapan, yakinlah ekonomi kita berada di landasan yang betul," katanya.

Beliau berkata, penstrukturan subsidi berkenaan adalah persiapan kerajaan untuk menghadapi krisis ekonomi pada masa akan datang.

"Kita perlu buat penstrukturan dari sekarang. Bila berlaku krisis ekonomi, kita akan melalui krisis lebih mudah.

"Sebab itu kalau kita bijak kita perlu bersedia menghadapi krisis dengan simpanan negara yang banyak.

"Akan ada kos sedikit. Insya-Allah, kita akan jadi negara maju. Visi kita sangat besar,” katanya.

Najib turut mencabar PR untuk mengemukakan visi mereka untuk mentadbir negara, berbanding hanya menipu rakyat.

"Bertanding dalam visi kepada negara. Keupayaan untuk mentadbir bukan melalui penipuan. Jangan tipu rakyat," kata Najib merujuk kepada dakwaan penipuan pembangkang yang berkata BN membawa masuk 40,000 warga Bangladesh untuk mengundi ketika PRU13.

Najib turut meluahkan penghargaan terhadap khidmat bekas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek atas perkhidmatan beliau mentadbir MCA. –

Sumber : Malaysian Insider

Gambar Belangkas