Puasa Syaaban persediaan hadapi Ramadan
Umat Islam diajar berterusan menambah kualiti ibadat
Syaaban antara bulan yang dihormati Nabi SAW kerana hampirnya ia dengan Ramadan yang jelas mendapat kemuliaan daripada Allah SWT.
Baginda pernah bertanya sahabat dalam sabdanya: “Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan Syaaban? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Sabda Rasulullah SAW: Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Raudatul Ulama)
Sabda Baginda SAW: “Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampunkan semua hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang yang saling membenci).” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain)
Ada yang menyatakan cabang ganjaran kebajikan dipercambahkan kerana hampirnya Syaaban dengan Ramadan. Bagaimanapun, setiap kebajikan tetap mendapat ganjaran tanpa mengira masa dan tempat ia dilakukan.
Nabi SAW adalah ikutan yang baik dan kita dapat melihat perubahan Baginda apabila tibanya Syaaban.
Daripada Aisyah: “Adalah Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami menyangka dia tidak berbuka dan Baginda berbuka sehingga kami mampu melihat dan mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi berpuasa penuh satu bulan melainkan dalam Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia berpuasa lebih banyak selain daripada Syaaban.” (Riwayat al-Bukhari)
Baginda telah memberi gambaran kepada umatnya bahawa banyak berpuasa pada Syaaban akan menambahkan kualiti puasa Ramadan kerana jiwa sudah dididik.
Aisyah meriwayatkan: “Nabi SAW tidak pernah berpuasa dalam sebulan lebih banyak daripada Syaaban. Baginda juga pernah berpuasa bulan Syaaban semuanya.” (Mengikut lafaz al-Bukhari)
Namun, dalam mengimbangi kekuatan Nabi SAW selaku manusia terulung dengan ibadat umatnya, maka Baginda meletakkan kemampuan sebagai kayu pengukur kepada amalan sunat.
Nabi SAW bersabda: “Beramallah mengikut kemampuan kamu kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu sendiri yang jemu.”
Baginda SAW terus beribadat pada mana-mana bulan sekalipun tanpa menafikan Syaaban memang menjadi tumpuan.
Kita juga tidak harus meninggalkan sabda Baginda SAW: “Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampunkan semua hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang yang saling membenci).” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain)
Dapat disimpulkan, ibadat pada bulan Syaaban adalah kesukaan Baginda SAW. Namun solat atau puasa khusus sempena Syaaban atau bacaan Yasin sebanyak tiga kali berturut-turut memang tiada ulama meriwayatkannya.
Ibnu Majah hanya meriwayatkan mengenai pengampunan daripada Allah SWT yang dikaitkan dengan malam Nisfu Syaaban.
Sabda Rasulullah SAW: “Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban lalu mengampuni makhluk-Nya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.” (Riwayat Ibn Majah)
Apa yang jelas kepada kita, amalan puasa yang menjadi tumpuan Rasulullah pada Syaaban bertepatan dengan sabda Baginda apabila ditanya apakah terdapat bulan selain Ramadan yang terbaik untuk berpuasa? Maka, Nabi SAW bersabda: “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan. Nabi SAW ditanya lagi: Sedekah apakah yang terafdal? Baginda menjawab: Sedekah pada bulan Ramadan.” (Riwayat Tirmizi)
Baginda SAW banyak bersedekah pada bulan Ramadan. Puasa dan sedekah sering dikaitkan justeru bersedekah pada bulan Syaaban juga digalakkan.
Adapun berqiamullail pada malam Nisfu Syaaban dan berpuasa pada siang harinya, ada disebut secara khusus dengan kalimat Nisfu Syaaban, dan ada yang disebut secara umum. Oleh itu, kita disarankan untuk melihat kedudukan hadis berkaitan Syaaban sama ada sahih, baik, hasan, lemah, atau ada yang direka. Semuanya menjadi perbincangan akademik ulama hadis.
Walaupun kedudukan hadis tidak mencapai tahap hadis sahih, jika dipadankan dengan pelbagai riwayat yang banyak, ia boleh dijadikan panduan untuk menyuntik semangat motivasi beribadat.
Imam Hasan al-Banna berkata: “Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah yang bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah dan bekerjasama ke arah mencapai perkara yang sebenar, tanpa usaha itu membawa kepada perdebatan yang tercela dan taksub kepada sesuatu pihak.”
Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan kebenaran.
Perbanyakkan memohon keampunan daripada Allah SWT kerana ramai yang masih alpa dengan segala dosa dilakukannya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya supaya Ia memberi kamu kesenangan hidup yang baik sehingga ke suatu masa tertentu, dan akan memberi kepada setiap orang yang ada kelebihan akan kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya Aku bimbang kamu akan beroleh azab hari Kiamat yang besar.” (Surah Hud, ayat 3)
Kesimpulannya, ambillah peluang untuk mencari keredaan Allah SWT dan menebus segala dosa atas segala kesalahan lalu kerana jiwa orang beriman akan lebih dekat ketika hampirnya bulan Ramadan.
Hikmah puasa sunat dari segi jiwa, kesihatan fizikal
Setelah menunaikan ibadah wajib, alangkah bagusnya kita menyempurnakan amalan sunat pula. Ini kerana amalan sunat boleh menutup kekurangan ibadah wajib seperti puasa sunat memenuhi kekurangan kepada puasa yang diwajibkan.
Oleh itu, amalan sunat yang amat digalakkan perlu diterapkan dalam usaha kita mempertingkatkan amalan wajib yang difardukan. Amalan sunat juga dapat mempertingkatkan tahap keimanan serta ketakwaan kepada Allah SWT.
Puasa sunat yang digalakkan banyak dinyatakan keutamaannya. Puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis sering dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal dibentangkan (oleh malaikat ke hadrat Allah) pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis. Oleh itu, aku suka amalku dibentangkan semasa aku sedang berpuasa.” (Hadis hasan gharib, riwayat Tirmizi)
Hikmah berpuasa sunat
Selain itu, puasa sunat juga terdapat beribu hikmah dan kelebihan antaranya ialah tanda bersyukur kita terhadap Allah SWT di atas rezeki serta kurniaan nikmat diberikan. Berpuasa mampu membantu memelihara kesihatan jasmani mahupun rohani.
Sabda Rasulullah SAW: “Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat.” Sabda baginda lagi: “Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit.”
Diriwayatkan daripada Aisyah, “Adalah Rasulullah SAW amat menjaga puasa pada hari Isnin dan Khamis.” (Riwayat Imam Tirmizi)
Puasa mampu menyucikan diri daripada sifat mazmumah seperti tamak, sombong dan hasad dengki. Apabila seseorang itu berpuasa, ia mampu membersihkan jiwa yang kotor dan secara tidak langsung menerapkan sifat rendah diri terhadap orang lain dalam diri.
Puasa juga mendidik jiwa dengan sifat belas kasihan terhadap orang lain yang hidup susah atau menderita. Dengan itu, kita akan merasai penderitaan hidup mereka yang kurang bernasib baik dan hidup serba kekurangan.
Kecerdasan akal
Puasa sunat juga dapat membantu kita memperoleh kecerdasan akal dan fikiran seperti disebut dalam satu riwayat: “Orang yang berlapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya.”
Menjelang kedatangan Ramadan tidak lama lagi, marilah kita membiasakan diri berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban. Bagi yang masih ada hutang puasa Ramasan yang lalu, cepat-cepatlah mengqada puasa.
Bulan Ramadan ibarat bonus tingkat ketakwaan
Persediaan bukan sekadar makanan, minuman, tetapi juga membabitkan perisian rohani
Sebaik-baik amalan bagi menambahkan tahap kemuliaan kita di sisi Allah SWT adalah melakukan ibadah dengan penuh tawaduk dan rendah diri. Maka sesiapa yang bertawaduk kerana Allah SWT, maka ia akan diangkat oleh Allah ke tahap yang lebih tinggi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang menginginkan kemuliaan dan ketinggian, maka bagi Allah sahajalah segala kemuliaan dan ketinggian.” (Surah Fatir, ayat 10)
Maka serulah Malaikat kepada Zakaria ketika beliau sedang beribadah seraya berkata, sesungguhnya Allah SWT telah menganugerahkan kepadamu seorang anak bernama Yahya" Surah Ali-Imran (ayat 39)
Imam Ibnu Taymiah berkata, ketika bertambahnya amalan seseorang, maka bertambahlah kemuliaannya serta darjatnya di sisi Allah SWT. Justeru, apabila hampirnya Ramadan, kita akan merasai bahang dan motivasi beribadah kerana Ramadan itu sendiri adalah bulan ibadah.
Ramadan bonus tingkat ketakwaan
Bagi mereka yang sudah terbiasa dengan ibadah, maka Ramadan adalah bonus dan dana untuk meningkatkan ketakwaan. Mereka akan sentiasa mendapat anugerah serta pujian daripada Allah SWT.
Allah SWT telah memuji kekasihnya Ibrahim dengan firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Ibrahim sangat lembut hatinya dan suka beribadah.” (Surah Hud, ayat 75)
Amalan puasa Nabi Daud boleh dijadikan contoh kerana baginda banyak beribadah di samping berpuasa sehari dan berbuka sehari secara berselang seli. Baginda SAW amat menyukai amalan Nabi Daud serta menyarankan umatnya melakukan ibadah puasa.
Di samping beribadah dengan penuh khusyuk dan berharap, Allah SWT tidak akan mensia-siakan hamba-Nya kerana ibadah adalah penyambung talian hayat antara makhluk dan pencipta. Allah SWT kurniakan kepada Nabi Zakaria khabar gembira ketika sedang beribadah dengan anugerah anak soleh.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka serulah Malaikat kepada Zakaria ketika beliau sedang beribadah seraya berkata, sesungguhnya Allah SWT telah menganugerahkan kepadamu seorang anak bernama Yahya.” (Surah Ali-Imran, ayat 39)
Demikian juga Nabi Isa yang sentiasa menjadikan ibadah sebagai rutin harian dan berkata: “Sesungguhnya Allah SWT adalah Tuhanku dan Tuhanmu, maka sembahlah ia (beribadah).” (Surah Maryam, ayat 36)
Rasulullah pilih jadi Nabi, ahli ibadah
Baginda Muhammad SAW telah diberi pilihan oleh Allah SWT sama ada menjadi seorang Nabi dan berkuasa sebagai raja atau menjadi seorang Nabi yang banyak peluang beribadah. Maka Baginda SAW memilih seorang Nabi yang juga ahli ibadah.
Sabda Baginda SAW: “Aku lebih suka menjadi seorang Nabi yang abid (ahli ibadah) di mana aku berpuasa sehari lalu memuji Allah SWT dan berbuka sehari lalu bersyukur kepada-Nya.”
Allah SWT menyifatkan sahabat serta mereka yang beriman sebagai mereka yang banyak ibadahnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu akan melihat mereka rukuk dan sujud kepada Allah SWT serta menuntut kelebihan dan keredaan-Nya. Terdapat tanda-tanda keimanan pada wajah mereka kerana terlalu banyak sujud kepada Allah SWT.” (Surah Al-Fath, ayat 29)
Alangkah indahnya jika sekalian ibadah yang dilakukan dapat disuburkan pada Ramadan mulia ini kerana Ramadan mendapat status bulan yang terbaik dalam setahun. Siang dan malamnya dipenuhi keberkatan amat luar biasa daripada malam lain.
Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya telah datang bulan Ramadan yang diwajibkan kamu berpuasa, pintu syurga dan langit terbuka luas untuk ahli ibadah, sesiapa yang leka akan terus leka, syaitan dibelenggu dan Allah SWT memperuntukkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.” (Riwayat Muslim)
Ibnu Arabi berpendapat pintu syurga dibuka kerana menerima banyak harapan daripada hamba kepada penciptanya, amalan semakin bertambah, ikatan iman semakin kukuh dan tahap kesabaran menjadi benteng yang kuat.
Ditutup pintu neraka adalah simbolik kepada penghinaan terhadap syaitan serta berkurangnya statistik kemungkaran dan kemaksiatan. Ibnu Rejab berkata, segala amalan kebajikan digandakan daripada sepuluh ganjaran sehingga tujuh ratus gandaan melainkan puasa yang menerima ganjaran daripada Allah SWT tanpa had tertentu.
Mereka yang beriman akan merasa gembira dengan kedatangan Ramadan dan mereka yang gelisah ketika menjelang Ramadan hendaklah memperbanyakkan istighfar serta memohon ampun kepada Allah SWT.
Bukan bertumpu persediaan makanan, minuman
Sebenarnya persediaan menyambut Ramadan bukanlah tertumpu kepada makanan dan minuman, malah ia adalah persediaan iman, kesabaran dan ketaatan. Hanya mereka yang benar-benar menghayati konsep puasa dapat menuai hasil lumayan pada Ramadan.
Ketika Nabi Musa bermunajat, baginda berkata: “Wahai Tuhanku, adakah di sana manusia yang lebih mulia dariku? Allah SWT menjawab: Wahai Musa, ada di kalangan hamba-Ku yang datang pada akhir zaman di mana mereka memuliakan bulan Ramadan dan aku amat hampir dengan mereka ketika itu. Wahai Musa, ketika kita berbicara, sebenarnya kita dipisahkan oleh 70,000 hijab atau pendinding, akan tetapi apabila mereka berpuasa, aku akan menyingkap semua hijab untuk mereka.”
Oleh itu, kita hendaklah berdoa supaya Allah SWT memberikan kesempatan untuk bertemu Ramadan ini kerana kita tidak mengetahui bilakah akan berakhirnya hayat kita. Kita amat mengharapkan anugerah kesihatan yang baik supaya dapat melaksanakan ibadah secara maksimum di bulan mulia.