GEORGE TOWN: Taman Tema Escape di Teluk Bahang, dekat sini bakal menarik lebih ramai pengunjung apabila taman air dibuka pada November tahun depan.
Ketua Pegawai Escape Sim Choo Kheng berkata, kerja pembinaan taman tema itu akan bermula pada Januari dan dijangka siap dalam tempoh 10 bulan.
"Taman air yang dikenali sebagai 'Waterplay' mempunyai permainan yang seperti dulu kita mandi di sungai dan laut, tetapi kami menggunakan peralatan terkini. Kami juga mempunyai water slide atau gelongsor yang terkini.
"Kami telah menandatangani perjanjian dengan syarikat dari Turki untuk membekalkan segala peralatan yang kami perlukan untuk 'waterplay' ini. Kos dalam lingkungan RM50 juta hingga RM70 juta," katanya pada sesi memperkenalkan tiga tarikan baharu taman tema itu bersama wakil media, di sini Rabu.
Pada majlis itu, Choo Kheng turut mengumumkan kerjasama dengan Rapid Penang dalam menyediakan kemudahan bas untuk pengunjung ke Taman Tema Escape.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus Sdn Bhd, Mohd Shukri Abdul Rahman.
Choo Kheng berkata, seramai 130,000 orang mengunjungi taman tema itu sejak ia dibuka pertengahan tahun lepas dan pihaknya menjangkakan jumlah itu meningkat kepada 150,000 pengunjung tahun ini.
Ditanya mengenai perancangan masa depan untuk taman tema itu, Choo Kheng berkata: "Kami memang ada rancangan besar tetapi kerana kami ada had tersendiri dari segi kewangan, jadi kami buat setakat yang boleh. Kalau kami ada untung yang lebih banyak, kami akan meningkatkan taraf dan mutu permainan.
"Kami memang ada rancangan untuk membuat satu 'roller coaster' yang tidak melibatkan mekanikal tetapi menggunakan graviti. Itu adalah satu daripada tarikan akan datang".
Sementara itu, Mohd Shukri berkata, sebanyak tiga bas dengan tiga laluan disediakan khas untuk ke taman tema itu iaitu, Bas 101 Jeti-Teluk Bahang, Bas 102 Lapangan Terbang Bayan Lepas-Teluk Bahang dan Bas 501 Balik Pulau-Teluk Bahang.
Taman Tema Escape dengan 17 tarikan itu membolehkan pengunjung kembali ke zaman kanak-kanak dengan aktiviti lasak seperti memanjat pokok, meneroka terowong, berlumba menggunakan tiub serta cabaran di awangan seperti 'flyingfox' dan 'kite flyers'. - forexbrokers.my
No comments:
Post a Comment