Saturday, March 14, 2015

MASYARAKAT ALBINO JADI SASARAN BUNUH OLEH AHLI SIHIR

KANAK-KANAK albino berusia enam tahun, Baraka Cosmas, yang hilang sebelah tangan selepas dipotong oleh sekumpulan lelaki Tanzania.

Dar es Salaam: Lebih 200 orang ditahan dalam kempen kerajaan memerangi tukang sihir yang terbabit dalam serangan dan pembunuhan masyarakat albino yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini di Tanzania.


Polis menahan 225 dukun tidak berlesen itu dalam satu operasi khas yang dilakukan di beberapa bahagian negara itu.Kempen itu dijadual diluaskan ke semua 30 wilayah selepas ini.

Kami menemui pelbagai barangan, termasuk kulit cicak, gigi babi hutan, telur burung unta, ekor monyet, kuku burung, ekor keldai dan kulit singa pada sebahagian mereka, kata jurucakap polis Advera Bulimba.

Menurutnya, kempen itu menyasarkan seluruh rangkaian samseng, peniaga dan tukang sihir.

Penangkapan dilakukan beberapa hari selepas Presiden Jakaya Kikwete menyifatkan serangan yang berterusan terhadap penduduk albino negara itu sebagai memalukan negara.

Masyarakat albino menjadi sasaran pembunuhan kerana anggota tubuh mereka menjadi bahan untuk melakukan sihir.

Sekurang-kuranya 76 albino dibunuh sejak tahun 2000 dengan anggota tubuh mereka dijual pada harga sebanyak kira-kira AS$600 (RM2,200).

Untuk seluruh badan, harganya boleh mencecah sehingga RM280,000.Kira-kira 34 albino berjaya diselamatkan selepas sebahagian anggota tubuh mereka dikerat.

Pencuri juga menggali sekurang-kurangnya 15 kubur, untuk mendapatkan mayat atau anggota tubuh mayat albino.

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas