LONDON - Roberto Martinez memberitahu pengurus Manchester United, David Moyes dia hanya membazirkan masa semua orang dengan tidak henti-henti memburu dua bintang Everton, Marouane Fellaini dan Leighton Baines.
Martinez berang dengan sikap Moyes yang tetap mengejar dua tonggak mereka walaupun tawaran 28 juta pound (RM144.29 juta) yang dikemukakan untuk Baines dan Fellaini ditolak, kelmarin.
Martinez difahamkan telah berjaya menyakinkan tonggak pertahanan England, Baines, 28, untuk kekal dalam pertemuan mereka minggu lalu, namun masa depan Fellaini, 25, tidak begitu jelas.
Klausa perlepasan pemain tengah Belgium itu dalam kontraknya sudah luput, bulan lalu.
Dalam klausa tersebut, Fellaini boleh meninggalkan Everton sekiranya terdapat tawaran bernilai 23.5 juta (RM121.10 juta) sebelum akhir Julai, namun tiada mana-mana kelab yang memenuhi nilai tersebut. United pula menegaskan, nilai pemain itu adalah lebih rendah daripada yang ditetapkan.
Everton tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut dan Martinez pula menegaskan, sebarang usaha untuk memancing pemain-pemainnya harus dihentikan segera.
"Semua yang berlaku telah dicatatkan dan setiap spekulasi terpaksa ditangani oleh pengurus, kelab dan pemain, jadi semua ini membuang masa. Saya tidak mahu lagi masa saya dan pemain terbuang begitu saja," tegas Martinez.
Everton turut menganggap, usaha United untuk menyambar dua tonggak mereka sebagai satu penghinaan dan menegaskan, mereka langsung tidak tertarik dengan pendekatan United.
Moyes, yang merupakan bekas pengurus Everton bagaimanapun percaya, dia masih mempunyai harapan untuk mendapatkan dua bekas pemainnya itu kerana Everton tidak pernah mengisytiharkan kedua-dua pemain tersebut bukan untuk dijual.
Juara Liga Perdana Inggeris itu bersedia untuk kembali mengemukakan tawaran yang telah ditingkatkan kepada 36 juta pound (RM185.52 juta).
Martinez turut menggesa pihak Liga Perdana dan Persatuan Bolasepak England (FA) supaya berubah peraturan dengan menutup pasaran perpindahan pemain sebaik saja musim baharu bermula.
"Saya tidak setuju jika pasaran perpindahan dibuka ketika liga sedang berlangsung kerana ini adalah tempoh yang amat penting buat semua pasukan," katanya. - AGENSI
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment