KUALA LUMPUR - Selangor memilih jalan berliku dalam memburu kejuaraan Piala Malaysia ke-33 apabila tewas 2-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan kedua di Stadium Shah Alam semalam.
Selangor yang berada dalam Kumpulan A terpaksa akur dengan kekuatan ATM walaupun beraksi di tempat sendiri apabila dikejutkan dengan gol pembukaan pelawat melalui Hairuddin Omar pada minit ke-14.
Amri Yahyah berjaya menyamakan kedudukan menerusi pada minit ke-29, tetapi naib juara Piala Malaysia 2012, ATM menambah gol kedua melalui Fitri Omar dan menjadikan kedudukan lebih selesa dengan gol ketiga sumbangan Christie Jayaseelan. Pada masa kecederaan Selangor menambah gol kedua hasil jaringan S. Kunanlan.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, menyaksikan Sime Darby tewas 1-2 kepada Johor.
Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Darul Takzim (DT) yang berada dalam Kumpulan B meraih tiga mata apabila mengalahkan Felda United 1-0 dengan gol kemenangan disumbangkan pemain kebangsaan, Safee Sali pada minit ke-74.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, tuan rumah T-Team gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri apabila tewas 0-1 kepada PKNS. Gol tunggal pelawat dijaringkan pemain import, Roman Chmelo pada minit ke-33 untuk membolehkan PKNS berada di tangga teratas Kumpulan B. Lebih malang pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila George Boateng dilayangkan kad merah pada minit ke-36.
Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pertembungan Kumpulan C, menyaksikan Negeri Sembilan gagal menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri apabila dimalukan Pahang 3-5 dengan pemain tuan rumah S. Sivanesan melakukan hatrik melalui gol pada minit ke-48, 74 dan 76.
Gol Pahang disumbangkan oleh Azamuddin Akil pada minit ke-23, diikuti R. Gopinathan (51, 66). Matias Conti menyumbat gol keempat pada minit ke-64, diikuti jaringan terakhir Amirul Hadi Zainal.
Di Stadium Sultan Muhammad IV, satu lagi aksi Kumpulan C menyaksikan juara bertahan, Kelantan menewaskan Terengganu, 2-0. Dickson Nwakaeme menanduk gol pertama tuan rumah seawal minit ke-10.
Tuan rumah menambah jaringan kedua pada minit ke-72 menerusi sepakan percuma Zairol Anuar Zailani dari jarak 25 meter.
Di Stadium Darul Aman, bagi perlawanan Kumpulan D, Kedah dan Perak berkongsi mata apabila terikat 1-1. Pelawat di depan pada minit ke-58 menerusi Khairul Asyraf Shaizah, namun tuan rumah menyamakan kedudukan hasil gol pemain import, Alen Guc.
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment