PETALING JAYA: Pengarah filem dan pelakon Syamsul Yusof berhasrat untuk menamatkan zaman bujangnya selepas filem terbaharu arahannya berjudul KL Gangster 2ditayangkan pada 3 Oktober depan.
Syamsul, 29, bagaimanapun enggan mendedahkan siapakah wanita yang ingin disunting menjadi isterinya itu walaupun desas-desus mengatakan dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Puteri Sarah.
"Saya sudah bersedia untuk berumah tangga kerana usia pun semakin meningkat. Bagaimanapun setakat ini masih belum ada sebarang perbincangan khusus mengenainya dan ia hanya satu perancangan.
"Tentang calon biar saya simpan untuk diri sendiri dahulu dan saya sendiri akan umumkan kepada semua sekiranya ia benar-benar terjadi," katanya kepada mStar Online.
Filem terbaharu arahannya yang menelan belanja RM4.5 juta itu bakal ditayangkan kepada umum pada 3 Oktober depan selepas mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.
Dalam perkembangan sama, Syamsul berkata, ibu bapanya iaitu pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail masih belum bertemu dengan calon isterinya itu.
Pun begitu kata Syamsul, keluarganya tidak menghalang dengan siapa dia ingin bercinta malah sentiasa bertanya bila dia akan menamatkan zaman bujangnya.
"Keluarga tidak kisah dengan siapa saya nak bercinta malah mereka sering bertanya bila saya akan berkahwin. Malah saya sendiri sering memikirkan soal tersebut dan berharap peminat semua mendoakan yang baik-baik untuk saya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Syamsul berkata, punca sebenar dia gagal menyiapkan filemKL Gangster 2 dengan cepat kerana banyak komitmen lain yang mengganggu sepanjang proses tersebut.
Jelas Syamsul, dia tidak mahu terburu-buru menayangkan filem tersebut kerana ingin memberikan yang terbaik kepada penonton dan sedar harapan mereka terhadap karya terbaharunya itu tinggi.
"Selain cuba menyiapkan filem itu, saya turut terlibat dalam beberapa projek lain dan berlakon dalam beberapa buah filem dan kerana itu juga ia lambat disiapkan.
"Bagaimanapun Alhamdulillah semuanya sudah selesai dan berharap peminat akan menyukai filem ini," ujarnya.
Sumber: mstar Online
No comments:
Post a Comment