MOSCOW - Usain Bolt melengkapkan tiga pingat emas pada Kejohanan Dunia di Stadium Luzhniki di sini apabila mengetuai skuad 4x100 meter lelaki Jamaica memenangi acara tersebut, semalam.
Bersama rakan sepasukannya Nesta Carter, Kemar Bailey-Cole dan Nickel Ashmeade, Bolt memastikan pingat emas acara 4x100m dengan kepantasan 37.36 saat.
Amerika Syarikat terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan masa 37.56s manakala Britain memenangi pingat gangsa dengan masa 37.80s.
Sebelum itu, kelmarin Bolt mudah menambah pingat emas kedua peribadi di kejohanan tersebut apabila memenangi acara 200 meter.
Atlet berusia 26 tahun itu yang memenangi emas acara 100 meter kejohanan di sini sebelum ini, memastikan kejuaraan ketiga Kejohanan Dunia dalam acara 200 meter dengan masa 19.66 saat.
Dia mengatasi pelari senegara, Warren Weir yang menduduki tempat kedua dengan catatan peribadi terbaik 19.79s.
Pelari Amerika Syarikat, Curtis Mitchell pula meraih pingat gangsa dengan kepantasan 20.04s. Secara keseluruhan, Bolt sudah memenangi lapan pingat emas Kejohanan Dunia selepas memenangi acara 100 dan 200m di Berlin pada 2009, acara 200m di Daegu pada 2011 dan acara 100m di sini, Ahad lalu.
Dia juga memastikan kuartet 4x100 meter Jamaica memenangi emas pada kejohanan 2009 dan 2011 serta semalam.
Bolt, yang mengadu kesakitan pada bahagian kaki selepas mempertahankan emas acara 100m Ahad lalu, bermula perlahan dalam kalangan lapan pelari acara 200m akhir semalam. Namun dia mula memecut pada 100 meter terakhir.
"Saya mendesak diri saya supaya menjadi yang terbaik. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana acara 200 meter adalah kegemaran saya.
"Saya tahu ini bukanlah perlumbaan terpantas apabila memasuki 100 meter terakhir kerana saya sudah rasa agak keletihan dan saya mula melihat pencabar saya," katanya.
Ini bermakna Bolt menyamai pelari 200m wanita Amerika Syarikat, Allyson Felix dan jaguh trek Amerika Syarikat yang sudah bersara, Carl Lewis dan Michael Johnson yang memenangi lapan pingat emas Kejohanan Dunia. - AGENSI
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment