MADRID - Gareth Bale bakal disambut oleh 50,000 peminat Real Madrid di Santiago Bernabeu minggu ini apabila dia akhirnya melengkapkan perpindahan ke gergasi bola sepak Sepanyol itu.
Sumber rapat Real berkata, pemain sensasi Wales itu akan diperkenalkan sebagai bintang baharu mereka esok.
Cuma persoalannya kini, apakah perpindahan pemain sayap Tottenham itu akan memecah rekod dunia atau sebaliknya, kerana Real dan Spurs dalam peringkat akhir rundingan untuk menentukan kaedah pembayaran yang hendak dilakukan.
Sekiranya Tottenham mahukan bayaran dilakukan secara langsai, maka mereka harus bersedia menerima tawaran bernilai 78 juta pound (RM400.97 juta), namun jika kelab London itu mahukan bayaran yang lebih tinggi iaitu 85 juta pound (RM436.95 juta), maka mereka harus bersedia menerima ansuran.
Real hanya akan membuat bayaran pertama bernilai 20 juta pound (RM102.81 juta), manakala bakinya akan dilunaskan secara ansuran dalam tempoh tiga tahun berikutnya.
Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo masih memegang status pemain termahal dunia apabila dibeli dengan harga 80 juta pound (RM411.25 juta) ketika Real mendapatkannya daripada Manchester United pada 2009, namun bayaran dilangsaikan sekali gus ketika itu.
Real mahu memastikan mereka tidak terlebih membayar Bale, yang bakal menikmati kontrak enam tahun dengan nilai 8 juta pound (RM41.13 juta) setahun, jumlah yang pastinya akan mengetepikan status Ronaldo sebagai penerima gaji tertinggi.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk menunggu sehingga Spurs melengkapkan urusan mereka dalam pasaran perpindahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi.
Namun, ia dijangka tidak mengambil masa yang lama kerana pemain sayap Roma, Erik Lamela sudah di ambang untuk berpindah ke White Hart Lane menerusi bayaran 20 juta pound (RM102.81 juta).
Real sudah bersedia untuk memperkenalkan Bale dan ia dijadual berlangsung esok. Gergasi bola sepak Sepanyol itu menjangkakan kehadiran Bale akan disambut oleh puluhan ribu penyokong mereka.
Bale tidak berada di White Hart Lane ketika Tottenham menentang Swansea dalam saingan Liga Perdana Inggeris semalam dan dijangka tiba di Madrid, hari ini.
Sementara itu jurulatih Barcelona, Gerardo Martino menyelar yuran perpindahan rekod dunia Bale yang tinggi dengan menyifatkannya sebagai 'tidak menghormati' situasi ekonomi dunia. - AGENSI
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment