IPOH - Malaysia memulakan kempen Piala Asia 2013 dengan meraih bekalan selesa bagi meneruskan baki dua perlawanan peringkat Kumpulan A apabila berpesta gol membelasah Taiwan 10-2 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, sini, semalam.
Jumlah jaringan besar itu membolehkan Malaysia menjadi pendahulu Kumpulan A ketika ini, sekali gus mampu menyelamatkan tuan rumah untuk menamatkan saingan selaku juara kumpulan sekiranya kekal dengan kemenangan menentang Pakistan hari ini dan Jepun, Selasa depan.
Jurulatih kebangsaan Paul Revington berkata, jumlah jaringan besar tersebut memang tidak dijangka kerana tidak memandang mudah perlawanan semalam.
"Sebelum ini saya hanya menjangkakan perlawanan yang baik oleh pemain saya pada perlawanan menentang Taiwan.
"Esok (hari ini) saya percaya pemain mampu menghadapi Pakistan untuk aksi kedua peringkat kumpulan dan cuba memperbaiki beberapa kelemahan yang ada," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan menentang Taiwan, di sini, semalam.
Aksi pertama Malaysia menentang Taiwan dimulakan dengan penghormatan buat mendiang Chua Boon Huat dengan bertafakur selama seminit.
Pada perlawanan tersebut Taiwan yang menghuni ranking ke-50 dunia terlebih dahulu mendapatkan jaringan menerusi Liu Ching Kun pada minit kelima akibat kesilapan yang dilakukan oleh benteng pertahanan skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, Malaysia yang merupakan pasukan keempat terbaik Asia tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi penyerang Faizal Saari pada minit ke-11 hasil pukulan sudut penalti dan pemain tersebut turut menambah gol kedua skuad kebangsaan dua minit selepas itu juga menerusi pukulan sudut penalti.
Tiga lagi gol tuan rumah pada separuh masa pertama diraih menerusi Muhammad Firhan Ashaari minit ke-18, Muhammad Razie Abd. Rahim (21) dan Muhammad Marhan Mohd. Jalil (32).
Bermula babak kedua menyaksikan aksi lebih bertenaga skuad bimbingan Revington apabila mudah menambah jaringan keenam menerusi gol padang Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-39.
Malaysia terus menambah derita pasukan lawan dengan meledak gol ketujuh hasil jaringan Nabil Fiqri Mohd. Noor minit ke-46 sebelum Taiwan meraih gol kedua minit ke-47 hasil pukulan Tseng Hsien-Yi.
Mohd. Fitri Saari menambah jaringan kelapan pada minit ke-62 manakala gol sembilan diperolehi menerusi Muhammad Firhan minit ke-67 dan gol kesepuluh hasil pukulan Faizal minit ke-69.
Sementara itu, Pakistan yang meraih kemenangan 7-0 menewaskan Jepun dalam aksi sama yakin pasukan mereka akan menjadi lebih baik ketika menentang Malaysia hari ini.
Pengurusnya, Akhtar Rasool berpendapat perlawanan menentang Malaysia bakal menjadi aksi paling menarik pada Piala Asia kali ini.
"Malaysia mempunyai permainan pantas yang amat baik dan saya percaya ia akan menjadi satu perlawanan yang amat hebat buat kami," kata Akhtar.
"Dalam masa sama juga saya ingin mengucapkan takziah buat pasukan Malaysia atas kehilangan Chua Boon Huat. Bagi saya mendiang adalah penyerang yang amat bagus di miliki pasukan tuan rumah," kata Akhtar.
Keputusan lain menyaksikan India memperoleh kemenangan 8-0 ke atas Oman dalam saingan Kumpulan B.
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment