LONDON - Arsenal berjaya mengatasi krisis awal musim dengan cepat apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Fulham bagi membolehkan mereka meraih mata Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam perlawanan kedua semalam.
Lukas Podolski meledak dua gol selepas Olivier Giroud menyumbat jaringan pembukaan buat pasukan pelawat, sementara Darren Bent pula berjaya mencatat nama sebagai penjaring dalam penampilan pertamanya bersama Fulham.
Ia adalah kali kedua Arsenal berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh empat hari selepas mereka melakukan perkara yang sama Rabu lalu selepas menang ke atas Fenerbahce 3-0 dalam perlawanan playoff Liga Juara-Juara.
The Gunners tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Olivier Giroud merembat masuk bola melalui kaki kiri dari jarak dekat pada minit ke-14 selepas mendapat hantaran daripada Aaron Ramsey.
Bagaimanapun, Arsenal terpaksa menunggu sehingga penghujung separuh masa kedua untuk menambah jaringan kali ini melalui Lukas Podolski pada minit ke-41.
Podolski terus menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan, apabila menambah gol ketiga Arsenal pada minit ke-68 dengan merembat masuk melalui kaki kiri dari dalam petak penalti selepas menerima hantaran Santiago Cazorla.
Pada minit ke-77 Fulham berjaya memperoleh gol saguhati apabila penyerang mereka, Darren Bent melepaskan rembatan kaki kiri menuju ke bahagian kiri pintu gol Arsenal.
Kemenangan semalam sedikit sebanyak mengubat kekecewaan pada perlawanan pertama apabila mereka tumpas 1-3 kepada Aston Villa hujung minggu lalu.
Sekarang ini kedua-dua pasukan sudah meraih tiga mata selepas dua perlawanan EPL musim 2013/14, apabila Fulham sebelum ini berjaya mengalahkan Sunderland 1-0 dalam perlawanan pertama mereka. - REUTERS
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment