KUALA LUMPUR - Bek kanan Selangor, Mahalli Jasuli berjanji untuk bangkit menebus kesilapan pertahanan Selangor yang 'menghadiahkan' dua gol mudah kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabtu lalu dengan memburu tiga mata sulung mereka ke atas Sime Darby, malam ini.
Mengakui kehilangan tumpuan bagi kedua-dua gol di Shah Alam itu, pertahanan Harimau Malaya ini turut menafikan kelonggaran persefahaman sesama rakan menyumbangkan kekalahan yang tidak sepatutnya ditanggung juara Piala Malaysia 32 kali.
"Memang saya akui kami lepaskan dua gol mudah kepada ATM. Kami hilang tumpuan tetapi bukan bermakna persefahaman dengan rakan longgar ketika itu. Hanya sedikit kelalaian, kami dihukum dengan gol, namun kami janji untuk menebusnya apabila menentang Sime Darby.
"Hanya menang menjadi satu-satunya pilihan Selangor bagi baki perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia. Tiada mata wajar terlepas lagi dan kami tidak menganggap bermain di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai gelanggang lawan kerana tempatnya masih di negeri Selangor.
"Saya turut menyeru warga Selangor di sekitar Selayang kembali memenuhi stadium itu bagi menyuntik semangat pasukan biarpun kami akan tampil sebagai pelawat," katanya yang antara mendapat perhatian jurulatih Merah Kuning, Irfan Bakti Abu Salim gara-gara gol 'hadiah' buat ATM itu.
Mengenai Sime Darby yang menewaskan ATM 4-3, Selasa lalu tetapi dikejutkan Johor 1-2, hujung lalu kata Mahalli, kelab Kuala Lumpur itu tetap wajar dihormati apatah lagi Selangor sebagai pasukan Liga Super, belum pernah bertemu lawan yang juga naib juara Liga Perdana itu pada musim ini.
"Menentang lawan yang tidak biasa ditemui sebelumnya dalam musim ini pasti sukar dan saya akui Sime Darby punya kekuatan dan kelebihan tertentu tetapi kami tetap turun dengan misi memburu kemenangan, tidak kurang daripada itu," ujar anak jati Selayang berusia 24 tahun ini.
Seperti Selangor yang dihukum kerana kelekaan pertahanan, jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria menyeru anak-anak buahnya supaya tidak lagi mengulangi kesilapan sama kerana memberikan gol kepada Johor biarpun setelah bermain bagus di gelanggang lawan, Sabtu lalu.
"Kami wajar berhati-hati dengan Selangor kerana pasukan yang belum pernah menang selepas dua perlawanan kumpulan ini, pasti lebih garang dan kami pula bakal kehilangan pemain import dari Togo, Togaba Kontiwa (penjaring dua gol ke atas ATM) yang tercedera kali ini.
"Justeru bagi bahagian tengah saya akan cuba tampilkan gandingan Muhd. Syuhur Saidin dan Fadzli Saari bagi menampung ketiadaannya," kata Ismail yang masih boleh menarik nafas lega untuk menurunkan penyerang dari Croatia, Karlo Primorac - penjaring terbanyak Liga Perdana 2013.
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment