BIRMINGHAM - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers mahu pemainnya mengekalkan momentum dan meningkatkan prestasi menjelang pertemuan dengan musuh ketat, Manchester United hujung minggu ini.
Kelmarin, The Reds meneruskan permulaan cemerlang apabila melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam musim baru Liga Perdana Inggeris dengan menundukkan Aston Villa 1-0.
Jaringan tunggal penyerang, Daniel Sturridge di Villa Park sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata buat The Reds.
Kemenangan itu membolehkan mereka mengutip enam mata maksimum daripada dua perlawanan. Kemenangan kedua ini, selepas terdahulu menumpaskan Stoke City juga menerusi keputusan 1-0 memberi amaran kepada pencabar lain bahawa Liverpool bakal menjadi pencabar utama bagi merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
Namun, pertembungan dengan United di Anfield, Ahad ini bakal menguji keupayaan sebenar Liverpool. Ia menjadi peluang terbaik mereka untuk mengelak daripada mengulangi detik hitam musim lalu, apabila memulakan musim dengan prestasi hambar dan gagal memenangi sebarang perlawanan sehinggalah 29 September.
Ini merupakan kali pertama dalam tempoh lima tahun, Liverpool berjaya memenangi kedua-dua perlawanan awal serta mengelak sebarang kekalahan dalam 10 aksi terakhir.
"Pemain semakin menunjukkan kekuatan mental dan ini cukup penting bagi memastikan kami mampu kekal konsisten pada perlawanan-perlawanan akan datang.
"Kami tidak bermula dengan baik tahun lalu dan sebaik memulakan saingan tahun ini, kami bertambah baik dalam setiap perlawanan, " kata Rodgers.
Pemain antarabangsa England, Sturridge yang menjaringkan lapan gol dalam tujuh penampilan bersama Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) melakukan gerakan solo yang menarik pada minit ke-21 dengan melepasi kawalan dua pertahanan lawan serta penjaga gol, Brad Guzan sebelum menyepak masuk bola ke dalam gawang.
"Secara taktikalnya, kami perlu bermain berbeza daripada perlawanan-perlawanan sebelum ini dan saya cukup bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pemain.
"Aston Villa telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam dua perlawanan sebelum ini. Mereka cukup berbahaya dalam situasi serangan balas dan mempunyai kualiti mengatur serangan.
"Pada separuh masa pertama, kami mengawal permainan dan ruang sepenuhnya tetapi memasuki babak kedua kami terpaksa sedikit bertahan serta cuba menafikan ruang untuk pemain lawan bergerak dan berlari, " katanya.
Selepas menang penuh bergaya ke atas Arsenal dan memberi tentangan sengit sebelum kalah 2-1 kepada Chelsea, skuad bimbingan Paul Lambert terpaksa akur dengan kekebalan pertahanan dan kecemerlangan penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet.
"Kami sentiasa bersaing dalam perlawanan ini dan kami hanya ditewaskan dengan satu jaringan oleh pihak lawan.
"Saya tidak boleh terlalu kritikal terhadap pemain kerana mereka telah memberi segalanya dan skuad ini terdiri ramai daripada pemain muda, " katanya. - AFP
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment