Tuesday, July 7, 2015

Pelajaran bahasa pada anak-anak.

Pelajaran bahasa pada anak-anak|Kepada semua ibubapa, silalah ajar anak-anak anda cara berbahasa yang betul. Anak-anak kecil ini tidak tahu apakah yang betul dan apakah yang salah ketika berbahasa. Mungkin ada ibubapa yang kerap menggunakan perkataan tidak elok dan ianya menjadi ikutan pada anak-anak.

Ada sesetengah ibubapa, yang seakan-akan merelakan atau membenarkan anak-anak mereka menggunakan bahasa yang tidak elok. Yang menjadikan ianya lebih parah adalah, bahasa itu digunakan pada mereka yang lebih tua dari mereka ataupun kepada orang-orang dewasa. Tidakkah ianya akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan mereka yang mendengarnya?

Aku sendiri pernah mengalaminya. Perasaan aku apabila berhadapan dengan situasi ini tak dapat aku gambarkan. Bayangkan anak kecil dengan angkuhnya, mengeluarkan bahasa yang sememangnya tidak layak digunakan oleh mereka. Yang menjadikan aku lebih pelik adalah bilamana ibu atau bapa mereka, merelakan sahaja perilaku anak mereka. Apa sudah jadi?

Perkataan pertama yang wujud di dalam minda aku ketika itu adalah, adakah ibubapa kanak-kanak ini tidak mengajarkan kepada anak mereka, cara untuk berbahasa? Disinilah pentingnya pelajaran bahasa kepada anak-anak.

Aku sangat menitik beratkan penggunaan bahasa kepada anak-anak aku. Aku akui, aku sendiri kerap menggunakan bahasa yang tidak elok *apabila berhadapan dengan situasi tegang* tetapi aku mengakui silap aku itu dengan anak sendiri. Aku memberitahu mereka perkataan itu tak sepatutnya aku guna, tetapi disebabkan oleh perasaan amarah, ianya terpaksa digunakan.

Aku pelik. Sungguh aku pelik bila berhadapan dengan situasi yang mana ibubapa langsung tidak memarahi anak kecil mereka, yang terang-terangan salah di dalam penggunaan bahasa. Apakah yang mereka cuba sampaikan? Adakah ingin menunjukkan mereka cerdik di dalam mengajar anak mereka? Ataupun mereka ingin memberitahu yang mereka mengajar anak mereka supaya tidak mudah di tindas oleh orang lain. Apakah yang sebenarnya ingin di sampaikan oleh mereka?

Pelajaran bahasa tidaklah sesukar mana. Cukup sekadar memberitahu apakah yang benar dan apakah yang salah. Cukup sekadar itu. Sentiasa dengar apakah yang dituturkan anak-anak. Dan perbetulkan jika ada yang salah. Bahasa kita sungguh indah. Ianya di mulakan dengan pengajaran ibubapa. Janganlah merosakkan bahasa kita dengan membiarkan sahaja anak-anak dengan penggunaan bahasa yang salah.

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas