Wednesday, July 29, 2015

97 Rangka Manusia Berusia 5,000 Tahun Ditemui di Timur Laut China

Kawasan tapak 97 rangka manusia ditemui yang dipercayai berusia lebih 5,000 tahun di Timur Laut China.
 
BEIJING: Para pengkaji sejarah telah menemui 97 rangka manusia yang disumbatkan ke dalam sebuah tapak bekas rumah kediaman kecil yang berusia 5,000 tahun di Timur Laut China.

Ia adalah tapak perkampungan pra-sejarah - era di mana tulisan masih belum dicipta lagi.

Rangka-rangka manusia yang ditemui itu termasuklah rangka kanak-kanak, remaja, pertengahan umur - kesemuanya disumbatkan ke dalam sebuah rumah kecil yang berkeluasan  20 kaki persegi.

Kesemua rangka manusia yang ditemui itu tidak ditanam sebaliknya hanya dibiarkan bertimbun di dalam rumah berkenaan.

Para pakar berkata, berdasarkan pemerhatian, mayat-mayat yang diletakkan di tapak rumah berkenaan adalah mangsa kepada satu malapetaka atau wabak yang membunuh.

Kawasan berkenaan yang kini dikenali dengan nama 'Hamin Mangha,' berusia sekurang-kurangnya 5,000 tahun iaitu era tulisan masih belum digunakan sebagai satu bentuk komunikasi.

Ia adalah kawasan petempatan yang kecil dan mereka yang mendiaminya bercucuk tanam dan memburu untuk kehidupan seharian.

Turut ditemui di kawasan perkampungan itu ialah tembikar, alat mengisar, panah dan anak panah - sekaligus menjelaskan tentang aktiviti seharian para penghuninya.

"Hamin Mangha adalah kawasan pra-sejarah yang paling besar dan masih elok terpelihara di kawasan Timur Laut China," jelas pasukan arkeologi di dalam terbitan terbaru makalah Chinese Archaeology.

Mereka melaporkan, rangka-rangka yang ditemui di kawasan itu masih dalam keadaan baik dan lengkap sekaligus memudahkan kajian.

Selepas 5,000 tahun ia dibiarkan begitu dan kini ditemui dalam keadaan yang sama, para ahli antropologi dari Universiti Jilin cuba menentukan apakah sebenarnya yang terjadi kepada manusia purba ini.

Dan mereka membuat rumusan, manusia yang ditemui dalam rumah itu adalah mangsa satu malapetaka yang berlaku 5,000 tahun yang lalu dan mereka kemudiannya disumbatkan ke dalam rumah kecil itu tanpa ditanam.

Jumlah kematian yang berlaku terlalu pantas sehingga penduduk kampung berkenaan tidak sempat untuk menanam lalu hanya melonggokkan mayat-mayat tersebut di dalam rumah berkenaan.

Oleh kerana ia adalah satu ancaman wabak maka mayat-mayat itu dibiarkan begitu sahaja tanpa disentuh oleh mereka yang masih hidup selepas itu.


Sumber: mstar.com.my

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas