Sunday, May 20, 2012

Senario Antara Hibah Dan Wasiat

PENGERTIAN HIBAH
Hibah ialah pemberian atau hadiah yang diberi oleh pemilik harta kepada seseorang semasa hayatnya secara percuma.


ASAS HIBAH
- Seseorang itu boleh menghibahkan / menghadiahkan seberapa banyak harta miliknya kepada sesiapa
sahaja yang boleh menerimanya semasa hayatnya.

- Harta yang sudah dihibah akan terus menjadi milik penuh penerima hibah berkuat kuasa serta merta.

- Maka itu pemberi hibah sudah tidak mempunyai apa-apa hak lagi ke atas harta tersebut.

- Dengan itu sekiranya berlaku kematian kepada pemberi hibah, harta yang telah dihibahkan tidak akan menjadi harta pusaka pemberi hibah lagi.

- Dan sekiranya penerima hibah pula meninggal dunia sebaik sahaja menerima hibah maka harta hibah yang diterimanya itu akan termasuk dalam harta pusakanya

- Harta yang telah dihibah tidak boleh ditarik balik.


SYARAT HIBAH
1) Pemberi hibah
2) Barang yang dihibah
3) Penerima hibah
4) Akad hibah


ANTARA HIBAH DAN WASIAT
- Hibah adalah pemberian yang dilaksanakan semasa hayat seseorang pemilik harta. Oleh itu jumlah harta yang boleh dihibah adalah mengikut kehendak pemberi hibah, tiada had minimum atau had maksimum.

- Wasiat adalah pesanan yang dibuat semasa hidup manakala pemberiannya akan dilaksanakan selepas kematian pemilik harta tersebut. Nilai had maksimum harta yang boleh diwasiatkan ialah 1/3 daripada keseluruhan harta dan harta itu diwasiatkan untuk bukan waris sahaja.
Manakala baki 2/3 daripada harta itu pula bolehlah diwasiatkan kepada para waris mengikut nilaian faraid
atau persetujuan bersama antara para waris sewaktu pelaksanaan wasiat kelak.

- Kebanyakkan orang ingin membuat wasiat kepada ahli warisnya dan nilai harta yang diwasiatkan pula adalah mengikut kehendaknya. Namun nilai pembahagian harta tersebut tidaklah semestinya diikuti oleh waris-warisnya selepas kematiannya kerana para waris masih boleh berbincang semula sama ada ingin mengikut nilaian lain yang dipersetujui bersama atau mengikut nilaian faraid.

- Ada orang yang keliru dengan kaedah membuat wasiat ini kerana apa yang difahami mereka ialah wasiat hanyalah untuk kepada bukan waris dan nilainya tidak melebihi 1/3 sahaja. Oleh itu mereka membuatsurat hibah bagi menyatakan pemberian harta mereka kepada waris mereka dengan nilaian yang merekatetapkan. Namun mereka lupa bahawa perlaksanaan hibah itu adalah serta merta.

- Sebagai contoh, jika kita membuat surah hibah menyatakan pemberian rumah kita kepada anak perempuan dan anak lelaki tidak dinyatakan apa-apa pemberian maka secara dasarnya surat hibah itu sah kerana pemberian itu sah dan ia berkuatkuasa serta merta. Hanya proses tukar nama rumah sahaja yang belum dilaksanakan. Dengan itu anak perempuan sudah sah memiliki rumah tersebut dan boleh membuat apa sahaja ke atas rumah tersebut. Dan sekiranya berlaku kematian kepada anak perempuan itu sebaik selepas surat hibah itu sah maka rumah itu termasuk dalam kiraan harta pusaka anak perempuan itu walaupun rumah itu masih atas nama kita akibat tidak sempat proses tukar nama.

- Jika seorang suami membuat surat hibah kepada isterinya menyatakan beliau menghibahkan wang KWSP nya kepada isterinya maka perlulah diingat bahawa sekiranya si suami sudah pencen dan boleh mengeluarkan wang KWSP tersebut, si suami tidak boleh mengambil wang KWSP itu kerana ia sudah menjadi hak isteri kerana telah ada surat hibah. Dan sekiranya si isteri pula meniggal dunia sebaik surathibah itu sah sedangkan si suami masih hidup maka sudah tentulah wang KWSP suami itu akan termasuk dalam harta pusaka si isteri.

- Untuk memudahkan perlaksanaan pengurusan harta fahamilah konsep wasiat dan hibah yang asal. Jika kita hendakkan pemberian itu terlaksana ketika hidup, maka buatlah hibah. Jika kita berhasrat hendakkan pemberian kita itu terlaksana selepas kematian kita, maka buatlah wasiat.

- Dalam dokumen wasiat kita bukan sahaja boleh mewasiatkan 1/3 daripada harta kita kepada bukan waris malahan kita boleh meninggalkan pesanan-pesanan lain seperti pesanan takwa, nasihat kebaikan dan juga pesanan bagaimana cara untuk mengagihkan harta yang kita tinggalkan kepada waris-waris sama ada mengikut nilaian faraid ataupun nilaian hasrat kita.

- Dan jika kita hendak memberi harta yang lebih kepada waris kita tanpa terikat dengan nilai faraid maka gunakanlah instrumen Pri-Hibah.

- Pri-Hibah adalah pemberian hibah yang menggunakan konsep amanah di dalmnya. Dengan Pri-Hibah seseorang yang menghibahkan hartanya masih boleh mendapat manfaat daripada harta yang telah dihibahkan selagi hidupnya dan proses tukar milik hanya akan berlaku selepas kematiannya sahaja.

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas