Sunday, December 14, 2014

Mahkamah tolak saman fitnah bekas calon PKR

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman fitnah RM2 juta difailkan bekas calon PKR bagi kawasan Dun Bukit Besi Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa turut memerintahkan Mohd Shamsul membayar kos RM10,000 kepada Anggota Parlimen Marang itu.


Peguam yang mewakili Abdul Hadi, Asmuni Awi berkata kepada pemberita, mahkamah menolak saman itu kerana Abdul Hadi selaku defendan diberikan perlindungan bersyarat oleh undang-undang dalam memberikan ucapan ataupun kenyataan atas kepentingan umum.

"Mahkamah mendapati kata-kata yang disebut Abdul Hadi dalam ucapannya pada malam berkenaan adalah sebagai kata-kata yang berunsur fitnah.


"Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa kata-kata itu tidak merujuk kepada pihak plaintif ... pihak plaintif gagal membuktikan bahawa apa yang disebutkan itu memang sebenarnya merujuk kepada plaintif," katanya. 

Mohd Shamsul selaku plaintif diwakili peguam A.Vasudevan hadir manakala Abdul Hadi tidak hadir pada prosiding mahkamah hari ini.

Kira-kira 100 penyokong Abdul Hadi memenuhi bilik mahkamah hinggakan ada yang terpaksa duduk bersila atas lantai manakala kira-kira 100 lagi penyokongnya berada di perkarangan mahkamah.

Pada 23 Februari lepas, Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab atau memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul pada 5 Disember tahun lalu.

Pada 27 Februari lepas, Abdul Hadi memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar itu.

Mohd Shamsul menyaman Abdul Hadi berhubung kenyataannya bahawa ada calon PKR menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum ke-13 tahun lepas sebagai alasan untuk Pas meletakkan calonnya bertanding di Dun Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas