KUALA LUMPUR - Harga runcit bagi petrol RON 95 dan RON 97 diturunkan sebanyak 35 sen, masing-masing kepada RM1.91 seliter dan RM2.11 seliter, mulai 1 Januari 2015.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, harga runcit bagi diesel pula diturunkan sebanyak 30 sen kepada RM1.93 seliter.
Pada Disember 2014, harga runcit bagi RON 95, RON 97 dan diesel pada RM2.26 seliter, RM2.23 seliter dan RM2.46 seliter.
"Harga-harga bagi petrol dan diesel ini dibuat berdasarkan kepada purata harga kos produk sepanjang bulan Disember 2014 dan kadar pertukaran mata wang," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata, kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga kos produk dan kadar pertukaran mata wang setiap masa untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel bagi bulan-bulan berikutnya.
"Semua syarikat minyak serta pengusaha stesen minyak diingatkan agar mematuhi penetapan harga baru ini dan tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang melanggar peraturan harga baharu ini," tambahnya. - Bernama
No comments:
Post a Comment