Secara terus terang, seorang pemimpin Umno Pulau Pinang berkata parti itu mempunyai ramai kaki bodek' yang tidak berani mempersoalkan pemimpin mereka.
Memetik kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata ia mencerminkan pendirian tidak berkompromi Umno.
Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata ada pihak dalam Umno yang tidak mahu mempertahankan apa yang betul, termasuk mempersoalkan keputusan pemimpin mereka.
Daripada membodek, tegasnya, ahli perlu lebih pro-aktif dan mempersoalkan apa yang betul dan salah serta apa yang memberi manfaat kepada rakyat.
Khairuddin memberitahu pemberita demikian selepas membuat laporan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi petang tadi.
Beliau juga mendakwa bahawa Umno bahagian Batu Kawan bimbang bahawa beliau akan membangkitkan kemelut IMDB semasa perhimpunan agung tahunan parti itu dan oleh itu tidak mencalonkannya untuk berucap kepada para perwakilan.
Khairuddin berkata, dia diberitahu oleh perwakilan lain supaya tidak menyuarakan perkara itu dan mendakwa jawatankuasa pengurusan tidak membenarkannya membahaskan tentang 1MDB.
Menjangkakan tindak balas dari Umno ekoran laporan polis yang dibuatnya, Khairuddin bagaimanapun, tidak bimbang mengenainya.
Menurutnya, ramai ahli Umno yang tidak mahu beliau membuat laporan sedemikian, terutama apabila ia melibatkan syarikat yang berkait rapat dengan Umno.
Bagaimanapun, kataya, beliau mahu menjelaskan kepada beberapa pemimpin Umno bahawa inilah pendekatan yang Umno harus ambil.
Menurutnya, persepsi awam tentang Umno perlu berubah dan rakyat mesti merasakan bahawa Umno bertanggungjawab untuk semua rakyat Malaysia dan perlu menjadi popular semula.
Khairuddin, yang dikenali sebagai penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad, juga berkata bahawa tidak adil bagi Umno mengambil tindakan tatatertib terhadapnya.
Katanya, beliau bersedia untuk mendengarkan apa yang Majlis Tertinggi Umno dan jawatankuasa disiplin mahu katakan (tentang laporan polis itu).
Sambil bertanya atas asas apa mereka mahu mengambil tindakan terhadapnya, Khairuddin berkata, beliau membuat laporan itu terhadap sebuah syarikat dan bukan terhadap Umno atau pemimpinnya.
Sebelum ini, Dr Mahathir telah menyatakan kekecewaannya kerana isu 1MDB yang tidak dibangkitkan semasa perhimpunan agung Umno itu.
Isu membabitkan 1MDB juga turut dibangkitkan oleh pihak pembangkang, yang telah menggelarnya sebagai "ibu segala skandal".
Sementara itu, dalam emel kepada Malaysiakini kemudian, 1MDB berkata ia yakin laporan polis itu tidak mempunyai asas perundangan.
Menurut emel itu lagi, pihaknya mengalu-alukan sebarang penyiasatan terhadap urusannya dan sebagai peluang untuk menangkis dakwaan jahat. - mkini
No comments:
Post a Comment