Sunday, February 15, 2015

Takziah Dari 3 Tanah Suci


Semalam, pada saat ini, Syeikh Ismail Haniyeh, bekas perdana menteri Gaza, Palestin menghubungi saya daripada bumi Gaza untuk menyampaikan salam takziah daripadanya mewakili umat Islam Gaza di atas kembalinya ke rahmatillah ayahanda tuan guru 3 hari lepas.

Beliau berpesan agar keluarga saya tabah menghadapi ketentuan Allah dan berdoa semoga ayahanda diampuni dan dirahmati Allah dan ditempatkan bersama para solihin.

Saya begitu gembira menerima panggilan daripada syeikh Ismail Haniyeh. Begitu terasa kehangatan persaudaraan di antara kita di Malaysia dan rakyat Gaza di serambi Baitul Maqdis. Semoga ayahanda juga ditulis oleh Allah sebagai antara para pejuangNya yang berjuang untuk membebaskan bumi Palestin daripada penjarahan Yahudi.

Saya juga mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada seseorang yang telah bersusah payah menyampaikan berita kematian ayahanda kepada seorang syeikh yang sedang mengajar di Masjid Nabawi di kota Madinah, lalu diumumkan dan didoakan oleh syeikh bersama ahli jamaah Masjid Nabawi yang lain.

Ia suatu penghargaan yang sukar diungkapkan. Semoga ayahanda termasuk daripada kalangan para pencinta Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan diberi segala kelebihan pahala sebagaimana yang dijanjikan olehNya ke atas para pencinta al Rasul. Sepanjang hidupnya ayahanda banyak menghabiskan usianya berjuang menegakkan al Quran dan Sunnah baginda.

Saya juga yakin seluruh rakyat Malaysia di kota Makkah yang sedang menunaikan ibadah umrah turut mendoakan untuk ayahanda di hadapan kaabah agar diampuni dan rahmati Allah.

Salam takziah dari tiga bumi suci!

Oh Tuhan, ampunilah dan rahmatilah ayahanda kami dengan syafaat kecintaan seluruh makhlukMu kepadanya.


Petang tadi, dalam kunjungan takziah rombongan pegawai kerajaan ke rumah kami, seorang daripada mereka telah menceritakan kepada saya bagaimana beberapa hari lepas, beliau telah bermimpi beliau dikhabarkan oleh kawannya (dalam mimpi) bahawa RasuluLllah صلى الله عليه وسلم sedang datang bertandang ke bumi Kelantan. Beliau terjaga dengan rasa gembira walaupun kurang mengerti maksud mimpi tersebut sehinggalah mendengar berita kematian ayahanda beberapa hari kemudian.

Saya terharu dan begitu sukacita mendengarnya. Semoga ia adalah basyarah (berita gembira) buat perjalanan ayahanda menuju Allah dan bertemu al Rasul kecintaannya.

Oh Tuhan, adakah ayahandaku telah menemui kekasihnya itu? Gembirakan aku dan dia sebagai pencinta kekasihMu itu...

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
AJK Pas Pusat
Ahli Parlimen Pasir Mas

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas