Seorang bekas pegawai Jabatan Hutan Daerah Hulu Perak dijatuhi hukuman denda RM70,000 atau tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di Ipoh selepas mengaku menerima rasuah RM100,000 daripada seorang kontraktor balak, tiga tahun lepas.
Hakim Rihaida Rafie turut mengarahkan wang tunai RM768,970 milik Amir Sharifuddin Aliman, 61, yang dirampas dari rumah tertuduh serta wang berjumlah RM3,103,324.71 dalam 12 akaun milik isteri dan empat anaknya (jumlah keseluruhan RM3.872 juta) dilucut serta diserah kepada kerajaan Malaysia.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah pada prosiding hari ini.
Sebelum ini, pada 1 Februari 2013, Amir mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM390,000 daripada dua kontraktor balak antara April 2010 dan Januari 2012.
Dia turut berdepan dakwaan gagal menyerahkan pernyataan bersumpah bagi menjelaskan mengenai harta berlebihan yang dimilikinya pada 26 September 2013.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia A. Hafiizh Abu Bakar memohon mahkamah menggugurkan 12 lagi pertuduhan yang dihadapi Amir Sharifud-din itu selepas dia menukar pengakuannya.
Mengikut pertuduhan, Amir menerima wang itu dengan tiadabalasan daripada Ismail Abdul Manas di depan Kafe Bawang Merah, No 8281, Jalan Suda Bahagia, Gerik pukul 9 malam, 3 Januari 2012.
Peguam Saw Hoe Teck pula memohon anak guamnya dikenakan hukuman denda atas alasan Amir menghidap penyakit jiwa iaitu “Kecelaruan Afektif Dwikutub” yang disahkan pakar psikiatri Hospital Fatimah Ipoh dan masih menjalani rawatan susulan.
"Tertuduh dan isterinya juga tidak bekerja. Malah wang yang ada di dalam akaunnya dan anggota keluarganya sudah disita. Mohon hukuman denda yang rendah," katanya.
Hafiizh memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal dan meminta mahkamah mengambil kira 12 pertuduhan yang digugurkan sebagai pemberat ketika menjatuhkan hukuman. – Bernama
No comments:
Post a Comment