KANGAR - Tindakan segelintir peniaga terutama orang Islam menggantung imej atau potret tokoh tertentu sebagai pelaris perniagaan dihukum sebagai haram kerana dikategorikan syirik.
Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya berkata, keputusan berkenan dibuat berdasarkan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat negeri yang bersidang pada 14 dan 15 Jun 2008 apabila sebulat suara bersetuju mengenai perkara itu.
Katanya, antara kandungan keputusan berkenaan ialah tindakan menggantung gambar seseorang tokoh dengan percaya boleh membawa tuah atau menolak sial adalah syirik dan dijatuhi hukum sebagai haram.
“Berikutan itu, semua pihak terutama pemilik premis terutama perniagaan diminta agar mematuhi fatwa berkenaan demi memelihara kesucian akidah.
FATWA larangan gantung gambar dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Perlis.
“Sebagai umat Islam, kita perlu peka dengan perkara seumpama itu kerana tiada istilah menggantung potret (tokoh tertentu) sebagai pelaris jualan,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir peniaga di negeri ini yang masih menggantung potret tokoh tertentu yang sudah meninggal dunia bagi tujuan pelaris.
Tinjauan di beberapa premis terutama kedai makan mendapati ada peniaga yang menggantung potret tertentu antaranya Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah yang juga Sultan Kedah ke-25.
Kebanyakan premis menggantung potret almarhum adalah premis kedai makan dimiliki orang Islam, manakala peniaga bukan Islam menggantungnya di kedai runcit masing-masing.
No comments:
Post a Comment