Seorang warga emas Thailand ditahan kerana disyaki membunuh isterinya dan mencampak mayat wanita terbabit ke dalam tasik.
Namun, selepas ditangkap, Sombot Samuk mendakwa dia memang mahu menyerah diri kepada polis kerana tidak tahan menanggung gangguan mendiang isterinya melalui mimpi.
Kata Sombot, 68, sejak membunuh Orn Donkanha, 67, hidupnya tidak tenteram dan sentiasa dihantui dengan pelbagai ketakutan.
Sombot berkata, Orn sering memarahinya, tetapi dia tetap bersabar sehinggalah ketika dalam perjalanan pulang dari menemani wanita terbabit menghadiri satu majlis di kampung mereka.
“Dalam perjalanan pulang Orn menghina keluarga dan saya dan anak kami.
Dia juga menghalau saya keluar dari rumah,” katanya.
Disebabkan hilang sabar Sombot memukul Orn dua kali menggunakan kayu.
Wanita itu rebah dan mati di tempat kejadian sebelum Sombot mencampakkan mayat wanita itu ke dalam tasik.
Mayat Orn ditemui di dalam tasik berhampiran Wat Santikaram pada 15 April dengan kesan hentakan di bahagian kiri kepalanya menggunakan objek tumpul.
Polis percaya wanita itu dibunuh tiga hari sebelum ditemui.
Pada mulanya polis tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai pembunuhan itu, tetapi kemudiannya menjadikan Sombot sebagai suspek.
Pasangan terbabit pernah berkahwin dengan orang lain sebelum ini.
Sombot berkata, selepas kejadian itu dia sering bermimpi didatangi Orn yang memaksanya menyerah diri.
“Dia mengugut untuk terus mengganggu saya jika saya terus bersembunyi,” katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment