Friday, May 15, 2015

Sid Vicious...Punk superstar yang mati katak!


 12 Oktober 1978

Pukul 11.00 pagi

          Kaunter Hotel Chelsea di Bandar New York menerima suatu panggilan aduan dari seorang lelaki yang tidak diketahui identitinya memberitahu sesuatu sedang berlaku di bilik 100. Kerani yang menjawab talian berkenaan meminta pertolongan salah seorang bellboy yang bertugas untuk bergegas ke bilik berkenaan. Seketika kemudian, telefon meja kaunter hotel berdering semula, kedengaran suara lemah seorang lelaki berkata “Seseorang sedang sakit, perlukan bantuan..”

Pada ketika itu, bellboy yang naik ke atas tadi telah pun berada di bilik 100. Sebaik memasuki bilik 100, kelihatan darah berlumuran di kebanyakan tempat di atas katil. Bellboy berkenaan tersentap apabila dia menyaksikan seorang gadis berumur awal 20an dengan separuh bogel berlumuran darah terduduk bersandar di dalam bilik mandi.


Kepala gadis berambut blonde platinum itu tunduk menghadap lantai dengan matanya terbuka dibawah sinki. Gadis itu hanya bercoli dan  berseluar dalam berwarna hitam, kedua-duanya dibasahi dengan darah pekat yang berlajau-lajau. Di perutnya tercacak sebilah pisau setebal lima inci.

Beberapa minit kemudian, ambulans tiba bersama pihak polis. Setelah pasukan paramedik mengesahkan kematian gadis tersebut yang bernama Nancy Spungen, polis melakukan pemeriksaan sekitar bilik berkenaan dan menjumpai dadah dan alatan untuk menyuntik,  bersama-sama senjata iaitu sebilah pisau Jaguar K-11 yang dipenuhi dengan darah. Mangsa tinggal dengan teman lelakinya yang sebelum itu ditahan di laluan ruang tamu.

Pasangan ini menginap di suite mewah ala Bohemia, Hotel Chelsea di mana sering mendapat kunjungan bintang-bintang popular seperti Bob Dylan, Eugenne O’Neille, Janis Joplin, Jane Fonda serta beberapa nama besar lain lagi.


 Pasangan ini mendaftar masuk dengan menggunakan nama ‘Mr. And Mrs. John Ritchie’ walhal kedua-duanya masih belum berkahwin. Teman lelaki Nancy adalah Sid Vicious, ataupun nama sebenarnya Simon John Ritchie, superstar punk yang bermain bass untuk kumpulan muzik punk Sex Pistols.

Vicious dijumpai merayau-rayau di laluan ruang tamu, menangis, menggigil-gigil sebaik tibanya polis di tempat kejadian. Wajahnya lebam-lebam seperti dipukul dengan benda yang keras kerana bergaduh dengan seorang petugas hotel malam sebelumnya. Dia ditumbuk dan dibelasah oleh petugas itu kerana cuba menegur bunyi bising kerana pada malam itu bilik 100 berparti sehingga menganggu penginap yang lain.

 Sebelum ketibaan polis, tetamu yang menginap di hadapan bilik Vicious telah keluar melihat kejadian yang berlaku. Vicious menyatakan yang dia tidak membunuh Nancy. Dengan keadaan yang khayal, Vicious memberitahu kepada wanita di hadapan biliknya bahawa Nancy terjatuh di atas pisau. Dia mengatakan dia teramat menyayangi Nancy dan tidak akan melakukan perkara itu terhadap kekasihnya.

Walau bagaimanapun, Vicious digari dan dibawa ke balai polis dengan tuduhan membunuh kekasihnya.


Sid Vicious adalah individu gila yang paling kuat pengaruh serpihan budaya punk pada tahun 70-an. Siapa tak kenal dengan Sid Vicious? Pemain gitar bass kumpulan Sex Pistol ini merupakan ikon kepada dunia punk 70an sehinggalah sekarang.

Terlalu ramai remaja di seluruh dunia menjadikan Sid Vicious  sebagai idola mereka.     Raja penagih heroin ini atau nama sebenarnya Simon John Ritchie lahir pada 10 Mei 1957. Ibunya Anne Ritchie seorang hippie (juga penagih heroin tegar) manakala bapanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di istana Buckingham serta bermain muzik  semi-profesional secara sambilan di London. Walaubagaimanapun, sebaik Sid dilahirkan, kedua ibubapanya berpisah.

          Bapa kandung Sid lari dari tanggung jawab, tinggallah Sid terkontang kanting bersama ibunya. Anne memikul tanggung jawab sebagai ibu dan bapa Sid, bekerja di pub-pub sekitar London sehinggalah ke Ibiza, Sepanyol. Walaubagaimana pun, setelah pulang ke London, Anne turut berkahwin dengan beberapa lelaki lain termasuklah seorang lelaki kaya iaitu Chris Beverly sehingga mampu menghantar Sid ke sekolah swasta.

          Benci dengan persekitaran anak-anak orang kaya, Sid menjadi anak yang agak pasif tetapi liar. Dia mula bercampur dengan remaja-remaja yang rosak akhlak mereka dan terjebak dengan najis dadah. Dia membesar dengan semangat anarki disamping tabiat mencederakan diri sendiri. Semuanya gara-gara heroin. Anne bingung dengan perangai anak bujangnya itu kerana ada-ada saja hal yang dilakukan di sekolah. Akhirnya Sid berhenti sekolah dan bekerja sebagai buruh di sebuah kilang fabrik.

          Ketika zaman remaja, Sid juga pernah mengaku mempunyai nafsu seks songsang terhadap lelaki. “Saya pun tak tahu mengapa saya boleh bernafsu sebegitu, sebenarnya saya gemar bereksperimen dengan seks!” jelasnya yang pernah melakukan hubungan sejenis itu walaupun hanya selama dua bulan sahaja. Pengakuan ini berdasarkan tabiatnya yang gemar memakai pakaian perempuan semasa tidur ketika berumur 14 tahun!


MUZIK PUNK, SEX PISTOLS DAN SID VICIOUS


Kumpulan Sex Pistols sudah ditubuhkan pada tahun 1975, band ini adalah pencetus budaya punk yang bersifat anti kerajaan dan mengamalkan ideologi punk paling kuat. Hanya pada tahun 1977, Sid Vicious menyertai Sex Pistols yang kebetulan pemain bass asal kumpulan ini, Glenn Matlock mengundurkan diri.

Sebenarnya Vicious tidak pandai pun bermain bass. Vicious diterima menyertai Sex Pistols kerana perangai ‘punk’ gilanya yang ‘sejati’. Malcolm Mclaren adalah individu yang bertanggung jawab membawa Sid Vicious ke lembah kemasyhuran dan bertindak selaku pengurus band ini.

Kehadiran Sid telah membuatkan populariti band ini terus melonjak naik dan menjadi bertambah rebel. Ini kerana Sid sendiri seorang yang aggresif dan ganas sesuai dan kena dengan imej Sex Pistols. Gayanya berseluar jeans ketat dan koyak rabak, susuk tubuh kurus sehingga nampak tulang, jalan membongkok, menagih heroin, rambut tidak terurus seperti kena renjatan elektrik, berjaket motosikal yang lusuh serta pin-pin yang menjadi aksesori jaket, memakai rantai besi seperti anjing bersama-sama dengan mangga.

Sid juga banyak mempertonton aksi yang ganas semasa berada di atas pentas seperti mengkelar dada dengan pisau, vandalisme, berperlakuan jijik dengan membuat isyarat lucah serta beraksi kurang ajar seperti suka meludah dan kencing di atas pentas sehingga membuatkan Menteri Pendidikan Britain pada ketika itu melabelkan mereka sebagai 'Agen Keruntuhan Moral Masyarakat'.

Ketika itu, seluruh dunia dahagakan sesuatu muzik rock yang segar, walaupun pada dasarnya mereka hanya memainkan muzik rock yang mudah, cuma kelajuan temponya saja ditambah. Dengarkan saja lagu-lagu daripada album Nevermind The Bollocks, kebanyakannya anak-anak muda di seluruh dunia mula berfikiran haluan kiri setelah ‘karya’ yang menghasut minda dengan lagu-lagu seperti Anarchy in U.K, dan God Save The Queen. Semuanya berunsurkan hedonisme dan mengajak anak-anak muda memberontak. Dia menjadi ikon pada muda-mudi!


          KEMATIAN SID VICIOUS


 Pada suatu petang 1 Februari 1979, sebuah parti kecil diadakan di rumah kekasih Vicious iaitu Michelle Robison untuk meraikannya yang dibebaskan dari Penjara Riker’s Island kerana menyerang adik kepada Patti Smith (penyanyi punk).

          Tempoh 7 minggu pastinya begitu lama buat penagih tegar mengekang dirinya dari sebarang dadah. Malam itu Vicious menyuntik dadah seakan tiada hari esok. Pada malam itu, dia tidur bersama teman wanitanya itu dalam keadaan yang betul-betul khayal.

Keesokan harinya, Vicious tidak lagi bernyawa. Selepas bedah siasat dilakukan, laporan menunjukkan kandungan heroin yang begitu tinggi dalam paru-parunya. Jarum, sudu dan heroin dijumpai berhampiran mayatnya. Sid Vicious dikatakan menyuntik heroine asli pada dos ketiga dan dengan serta merta nyawanya turut melayang. Ya, esok memang tidak ada buatnya.


 Selepas beberapa hari kematian Vicious, ibunya terjumpa sekeping nota bertulis ; ‘kami telah membuat perjanjian untuk sehidup semati, kini giliran aku melaksanakan janji itu. Tolong kebumikan aku bersebelahan dengan cintaku. Tanamlah aku dengan jaket kulitku, jeans dan but motosikalku. Selamat tinggal! Sekian, - Sid’

Mayat Nancy ditanam di tanah perkuburan orang yahudi tetapi Vicious, bukan seorang yahudi tidak boleh dikebumikan di sebelahnya. Akhirnya mayat Vicious dibakar dan abunya ditabur di pusara kekasih cintanya itu. Matilah seorang ‘pesona punk’, anak muda yang kojol pada usia yang muda, terlalu muda (21 tahun) yang diangkat-angkat oleh pengikut-pengikut punk.



Kredit: KL Thugs


No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas