Sunday, May 31, 2015

Hairan, Umno tolak Najib, Hadi pertahan

KUALA LUMPUR - Krisis kepimpinan Pas Pusat semakin meruncing menjelang pemilihan parti itu minggu depan apabila Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus-menerus diserang dari pelbagai sudut kerana kelemahannya sebagai Presiden Pas.
 
Belum pun perbalahan dengan timbalannya, Mohamad Sabu selesai, kini giliran Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin pula menyindir kepimpinan Abdul Hadi.
 
Nizar yang juga bekas Menteri Besar Perak melahirkan kehairanannya apabila Abdul Hadi mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ahli dan pemimpin Umno sendiri menolaknya.
 
"Mereka hari ini semakin marahkan Najib, kalau kita lihat apa Najib buat hari ini dengan Tabung Haji, GST dan kes Altantuya, orang Umno dah getik dekat Najib ini.
 
"Tiba-tiba presiden Pas pula kata pertahankan Najib dan mahu kekalkan dia, ini kita tak nak," katanya pada forum bertajuk “Mampukah Pas Dilonjakkan Pasca Jun 2015” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur - Selangor di sini, semalam.

Beliau juga menegaskan kepimpinan Abdul Hadi kian tersasar daripada landasan Pas yang sebenar apabila dengan mudah menggelar ahli parti dengan panggilan buruk dan enggan mengaku kesilapan.
 
"Ada yang mengatakan bahawa parti Islam ini sebagai satu keluarga, presiden ini ayah dia, jadi kita kena sokong ayah kita.
 
"Kalau presiden ayah kita, boleh tak ayah panggil anak dia barua?
 
"Bila kita bagi tahu dekat dia, suruh dia akui benda itu dan mohon maaf, orang akan hormat," ujarnya.
 
Nizar berkata lagi, tindakan Abdul Hadi meletakkan calon Pas di kerusi Dun Kota Damansara pada PRU13 lalu itu adalah perbuatan khianat terhadap rakan PR yang lain.
 
"Kita sudah buat perjanjian, tempat ini diwakili oleh PKR, tiba-tiba Pas letak seorang calon, ini khianat parti terhadap rakan kita, mana boleh," tegasnya.
 
Dalam pada itu, katanya lagi, bekas naib presiden Pas, Ahmad Awang adalah calon terbaik untuk mencabar Abdul Hadi khususnya dari segi penguasaan pelbagai bahasa dan hubungan diplomatik.
 
"Siapa tak kenal ustaz Ahmad Awang, dia baru balik dari Beirut, persidangan antarabangsa di Lubnan, dia dekat situ, dia boleh cakap bahasa Arab dengan baik, malah dia juga boleh berkomunikasi dan bercakap dalam bahasa Inggeris dan dia (Abdul Hadi) tak boleh.
 
"Bukan nak perkecilkan, hari ini politik kontemporari perlukan kualiti ini, kita perlukan mereka yang berkeupayaan, supaya orang akan hormat parti kita, hormat negara kita," katanya. - SH

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas