Seramai 35 wanita pelbagai warganegara yang dipercayai menjadi mangsa kegiatan pemerdagangan manusia diselamatkan polis dalam operasi serentak di tiga pusat urut di Platinum Walk, Setapak di sini,Khamis lepas.
Dalam serbuan pukul 8 malam itu, tiga wanita warga Vietnam, 10 wanita warga China, 12 wanita warga Thailand dan 10 wanita warga Filipina berusia lingkungan 20 dan 30 tahun diselamatkan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat(D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, SAC Roslee Chik berkata hasil siasatan mendapati wanita berkenaan dipercayai masuk ke negara ini menggunakan laluan darat dan udara, lapor Bernama.
“Kesemua wanita berkenaan memasuki negara ini sejak lima bulan lalu dengan menggunakan visa lawatan sosial, visa pelajar serta visa pembantu rumah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Beliau berkata polis turut menahan enam suspek iaitu empat lelaki tempatan, seorang lelaki warga Myanmar dan seorang wanita warga Filipina yang dipercayai terlibat dalam kegiatan memperdagangkan wanita berkenaan.
“Modus operandi mereka (suspek) adalah memperdaya mangsa dengan menawarkan kerja urut tetapi akhirnya paksa mangsa lakukan pelacuran… Ada mangsa yang dikenakan ikatan hutang antara RM5,000 hingga RM13,000, di mana mangsa terpaksa melakukan kegiatan tidak bermoral itu untuk melangsaikan hutang ejen”.
Roslee berkata polis turut merampas wang tunai sebanyak RM3,720 serta paket-paket kondom, buku daftar dan pasport di lokasi berkenaan.
“Ketiga-tiga pusat itu yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah, mengenakan kadar bayaran RM100 hingga RM200 untuk perkhidmatan mengurut serta seks,” katanya.
Roslee berkata kesemua enam suspek kini ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.
Kesemua mangsa ditempatkan di rumah perlindungan sehingga 9 Jan, katanya.
No comments:
Post a Comment