Friday, May 22, 2015

Bukan masa berbalah atau gesa sesiapa berundur, kata Najib


Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan rakyat Malaysia sekarang bukan masanya untuk bergaduh sesama sendiri atau menggesa sesiapa meletak jawatan, mengatakan terdapat banyak cabaran di hadapan yang perlu ditangani.

Bercakap di hadapan kira-kira 2,000 orang di Pusat Transformasi Luar Bandar di Gopeng, Perak, beliau berkata, sebagai perdana menteri, beliau bertanggungjawab menyelesaikan banyak perkara, walaupun bukan semuanya masalah beliau.

"Semuanya akhirnya sampai kepada perdana menteri dan dikaitkan dengan perdana menteri," katanya dalam ucapan ketika dalam rangka lawatan ke Perak.

"Longkang tersumbat depan rumah, bekalan elektrik untuk projek perumahan, orang kena culik di Sandakan dan orang Rohingya tidak boleh mendarat... ini belum kira lagi masalah berbangkit yang lain.

"Tetapi saya bukan seorang yang mengelak tanggungjawab... sebab ini sebahagian tanggungjawab perdana menteri, dan saya akan lakukan yang terbaik," katanya.

Katanya, cabaran hari ini berbeza dengan sebelum ini kerana media sosial berupaya menyebarluaskan sesuatu kandungan tulisan atau percakapan.

"Dahulu tidak ada media sosial dan istilah 'viral'. Dulu kalau surat khabar tidak keluar, tidak adalah cerita.

"Tetapi hari ini tulis saja dalam blog, tulis dalam Twitter, dalam Facebook, sudah boleh jadi viral.

"Dan ini adalah cabaran yang ada pada kita, bagaimana kita hendak menangani semua ini," katanya kepada hadirin.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno serta parti komponen yang lain kini membina satu institusi yang tiada tolok bandingnya.

"Saya dah pergi ke banyak negara. Parti-parti lama banyak yang dah terkubur atau hilang kuasa tetapi BN dan Umno masih lagi gagah berdiri, dan ini mesti kita pertahankan," katanya.  - Mkini

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas